Hampir 13 tahun lalu saya mengulas Assassin’s Creed IV Black Flag di PlayStation 3 yang saya nobatkan sebagai AC yang terbaik setakat itu. Ia sangatlah terbaik saya habiskan ratusan jam memburu kapal dan haiwan walaupun selepas semua aktiviti siap dilakukan. Permainan ini menjadi peneman utama di rumah semasa saya menjaga anak yang baru sahaja lahir.
Kita kini di tahun 2026. Anak yang dahulunya sebesar bantal kini sudah besar dan anak saya sedang memainkan beberapa misi Assassin’s Creed Black Flag Resynced semasa artikel ulasan ini sedang ditaip. Satu putaran lengkap sudah berlaku di sini dan seperti saya lebih 12 tahun lalu, anak saya juga mengatakan ini ialah permainan AC yang terbaik pernah dia mainkan.

Assassin’s Creed Black Flag Resynced ialah olahan semula Assassin’s Creed IV Black Flag dengan grafik dipertingkatkan, beberapa misi ditambah, beberapa elemen dibuang dan tidak semua elemen baharu yang diberikan akan menggembirakan peminat permainan asal.
Mulakan dengan grafik terlebih dahulu kerana ini penambahbaikan yang paling ketara dilakukan oleh Ubisoft. Resolusi lebih tinggi, tekstur generasi semasa, kesan ombak/air yang sangat realistik, kemampuan mengubah waktu siang/malam dan kadar bingkai tinggi diberikan. Walaupun pada PS5 asas yang sudah berusia enam tahun, Resynced memberikan kadar bingkai hampir konsisten 60FPS berbanding kadang kala 30FPS pada versi PS3.

Grafik dalam permainan kini setanding grafik dalam treler pengumuman asal Black Flag dahulu. Maka dalam sesi permainan hampir 40 jam untuk mengulas Resyched, setiap saat terasa seperti dalam sebuah filem sinematik.
Kadar bingkai lebih tinggi bukan sahaja memberikan pengalaman yang lebih menyeronokkan, tetapi juga terasa lebih pantas. Dahulunya dalam pertempuran antara kapal, kadar bingkai jatuh mendadak jika ada letupan meriam, kepulan asap dan hujan turun melimpah dari langit. Misi boleh gagal kerana permainan tersekat-sekat. Kali ini misi tidak gagal tetapi hanya bulu roma di tangan meremang kerana pertempuran nampak sangat realistik lebih-lebih lagi jika dilakukan pada waktu malam.
Sisi kapal musuh menyala merah sebelum meriam memuntahkan peluru berapi. Tempat mortar dan peluru menghentam kapal dapat dilihat merah menyala dalam kegelapan malam. Letupan nampak lebih realistik dengan air melimpah di atas geladak berkilat dilimpahi cahaya daripada dua lampu minyak teroleng-oleng di tiang layar. Seperti kata Martin Scorcese, ini ialah CINEMA.

Corak permainan old school dikekalkan. Tiada elemen RPG yang memerlukan musuh level tinggi dibantai 100 kali sebelum boleh ditikam sehingga meninggal. Saya tahu ada dua jenis peminat siri Asssasin’s Creed. Kumpulan yang gemarkan gameplay sebelum AC Origins dan satu lagi kumpulan yang sukakan AC Origins serta permainan lain selepas itu.
Jika anda dalam kumpulan pertama, tahniah gameplay lama kembali dan ia masih penuh aksi seperti dahulu. Jika anda dalam kumpulan kedua, Resynced akan terasa terlalu mudah. Satu butang untuk tikam, satu butang untuk tusuk, satu butang untuk senjata sekunder dan satu butang untuk halang serangan. Tiada keperluan mengingati kombinasi kombo seperti Shadows. Tiada keperluan melihat statistik senjata seperti Valhalla. Tiada sistem serangan ninja paranormal Mirage. Yang diperkenalkan ialah kemampuan melakukan sepakan Sparta dan sepak kaki untuk menjatuhkan musuh sebelum dibunuh menggunakan hidden blade.

Butang kawalan juga turut diubah dengan empat butang muka (kotak, segitiga, bulat, X) digantikan dengan butang bahu. Sebelum mengulas Resyched saya mainkan semula Black Flag. Akibatnya perubahan ini membuatkan misi awal terasa kekok. Resynced menawarkan ciri mengubah tetapan setiap butang secara manual sekiranya and merasakan konfigurasi baharu ini mengelirukan. Aneh tiada tetapan automatik untuk menggunakan konfigurasi lama seperti ditawarkan oleh Tomb Raider Trilogy Remastered.
Bagi peminat permainan Skull and Bones, Resynced tidak meminjam pelbagai ciri menarik kustomasi kapal yang diperkenalkan. Tiada torpedo, meriam dengan kemampuan aneh dan kosmetik yang melampau. Yang diambil hanya krew tambahan meningkatkan kemampuan Jackdaw bertarung, haiwan peliharaan dan senjata dengan mod sekunder.

Lagi perubahan dilakukan pada UI dengan tiada lagi peta mini di bucu bawah kiri skrin. Ini adalah perubahan yang paling kurang saya gemari kerana ia menyukarkan nagivasi dalam bandar dan di atas laut yang luas. Dahulu kedudukan kapal musuh, pulau, bangunan, lokasi penting dan pelbagai objek lain dapat dilihat dalam peta mini. Tanpa peta ini, saya kerap kali terpaksa membuka peta (tekan pad sesentuh DualSense) untuk melakukan navigasi asas serta ketika bertempur dengan 5 kapal.
Beberapa kali kapal Jackdaw musnah kerana sedang sibuk menyerang kapal di kanan, saya tidak sedar ada pulau di kiri. Jackdaw tersekat dan kemudian dihentam oleh mortal dan puluhan meriam Man-O-War di belakang.

Jalan cerita masih kekal sama cuma tanpa elemen dunia sebenar di dalam pejabat Abstergo. Semua maklumat yang dahulunya diperoleh daripada dunia sebenar kini dikumpul dalam bentuk Animus Shard yang ditaburkan di seluruh peta. Saya tidak merindui elemen dunia sebenar kerana ia hanya mengacau keseronokan menjadi lanun paling keji di Caribbean. Tetapi mengumpul elemen Animus Shard dalam sebagai pengganti terasa seakan kosong tanpa konteks asal. Ia sekadar tangkap muat.
Saya tidak akan spoiler bagaimana elemen dunia sebenar yang penting di akhir Black Flag disentuh dalam Resyched, tetapi saya boleh katakan ia berjaya diselitkan supaya selari dengan jalan penceritaan yang diperkenalkan menerusi AC Origins, Odysssey, Valhalla, Mirage dan Shadows

Untuk siapakah Assassin’s Creed Black Flag Resynced dihasilkan? Jawapannya ialah untuk peminat-peminat AC yang meninggalkan siri kerana tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan selepas Syndicate. Ia kembali kepada permainan penuh aksi yang menjadikan Assassin’s Creed antara siri permainan yang amat dinantikan setiap tahun.
Jika anda suka dengan Assassin’s Creed IV Black Flag hampir 13 tahun lalu, Resynced menawarkan 90% apa yang ada sukakan dengan peningkatan grafik, audio, gameplay dan pelbagai ciri baharu untuk menjadikannya selari dengan citarasa moden. Saya berharap Resynced mendapat sambutan peminat kerana ia akan membuka peluang Assassin’s Creed asal diolah semula dengan grafik lebih baik.


