Semasa Horizon: Zero Dawn dilancarkan, ia merupakan antara permainan dengan grafik terbaik di PlayStation walaupun dengan beberapa masalah seperti animasi semasa perbualan akan tetapi jika anda ingin mencari kekurangan permainan tersebut, grafik bukanlah sesuatu yang akan disenaraikan. Oleh itu, mungkin ramai yang tertanya apakah yang cuba diselesaikan melalui versi terbaru permainan ini iaitu Horizon: Zero dawn Remastered?
Telah menjadi kebiasaan untuk PlayStation melancarkan beberapa versi berlainan bagi permainan mereka, kita sudah melihat bagaimana perkara ini berlaku untuk The Last of Us, yang kemudiannya menjadi The Last of Us Part I manakala The Last of Us Part II menerima versi Remastered dan kini Horizon: Zero Dawn pula menerima versi Remastered.


Setiap kali perkara ini dilancarkan, antara soalan yang akan ditanya adakah ia perlu? Secara jujur-nya, saya secara peribadi tidak mempunyai masalah untuk bermain permainan lama dengan grafik yang sedia ada, ia mungkin kelihatan kurang menarik berbanding dengan permainan sekarang akan tetapi ia adalah grafik yang saya pada suatu masa dahulu tidak mempunyai masalah, oleh itu ia tidak akan menjadi masalah walaupun untuk waktu sekarang.
Pada masa yang sama, terdapat juga pemain-pemain yang tidak pernah mencuba Horizon: Zero Dawn, dan mereka tidak berminat untuk mencuba kerana sudah terdapat jarak di antara grafik sekarang dengan grafik di permainan tersebut oleh itu, Remastered ini bagi saya adalah dihasilkan khusus untuk pemain-pemain tersebut dan saya tidak mempunyai sebarang masalah untuknya.


Tambahan lagi, jika anda sudah memiliki Horizon: Zero Dawn sebelum ini, anda boleh sekadar membayar naik taraf sahaja iaitu RM40 dan PlayStation 5 dan juga PC dan saya ia satu harga yang baik terutama dengan kualiti penambah-baikkan yang disertakan. Kualiti grafik yang disertakan akan membuatkan pemain yang pertama kali bermain tidak akan merasa sebarang perbezaan jika selepas menghabiskan versi Remastered ini, kemudian meneruskan dengan Horizon: Forbidden West ia menjadi seakan-akan satu permainan yang dilancarkan secara serentak.
Versi Remastered ini membawa perubahan grafik yang sangat jelas jika diletakkan sebelah dengan versi asal, ini melalui tekstur yang lebih berkualiti tinggi yang menjadikan pakaian pada watak, persekitaran dan juga bangunan yang ada kelihatan lebih menarik dan lebih cantik. Watak secara sendirinya juga kelihatan lebih baik, dengan warna kulit dan juga reaksi wajah kelihatan lebih realistik – kejanggalan sesetengah reaksi wajah masih ada tetapi kurang jika ingin dibandingkan dengan sebelum ini.
Saya memulakan permainan ini di PlayStation 5 kemudian saya beralih ke PlayStation 5 Pro, dan kedua-dua konsol memberikan pilihan tetapan yang sama iaitu Favor Performance, Favor Graphics dan Balanced, akan tetapi di PS5 Pro, setiap tetapan ini mempunyai ‘Pro’ di depannya, menggambarkan yang tetapan adalah lebih baik berbanding versi PS5.


Daripada tiga tetapan ini, ia mempunyai kadar kelancaran yang sama untuk kedua-dua konsol iaitu Favor Graphics dihadkan kepada 30FPS, Balanced dengan 40FPS dan Favor Performance 60FPS. Namun, di PS5 Pro ia menyasarkan resolusi grafik yang lebih tinggi berbanding di PS5 yang akan menggunakan resolusi dinamik, PS5 Pro akan memberikan kualiti grafik yang stabil.
Selain daripada penambahan grafik, versi ini juga menambah-baik audio dengan segala audio dipertingkatkan untuk menyampaikan keadaan persekitaran yang immersive. Tambahan itu, ia juga membawa pelbagai tetapan daripada Forbidden West, termasuk juga untuk tetapan kebolehcapaian dan pelbagai lagi tetapan tatamain yang boleh memudahkan permainan mengikut keinginan pemain, termasuk juga mod koperasi jika ingin dua pemain boleh mengawal (baik untuk bermain bersama kanak-kanak).


Bagi tatamain, versi Remastered ini tidaklah menyertakan sesuatu yang baharu oleh itu ia akan membawa perkara yang sama seperti permainan asal, dan anda boleh baca ulasan saya untuknya melalui versi PC sebelum ini – secara ringkasnya saya boleh katakan yang ia satu permainan dunia terbuka yang mempunyai dunia yang menarik, penceritaan yang mendalam serta perwatakan yang pelbagai akan tetapi pengisian dunia terbuka kurang menarik semasa dilancarkan, tambahan lagi sekarang.
Akhir kata, perbincangan mengenai adakah versi Remastered ini perlu ataupun tidak akan mempunyai pelbagai pendapat dan tiada jawapan yang lebih tepat berbanding yang lain, akan tetapi saya boleh katakan yang ini adalah versi terbaik dan bayaran RM40 untuk mendapat versi ini, adalah satu penambahan nilai yang baik dan jika ini adalah pertama kali anda akan mencuba permainan ini, ia adalah versi yang tepat untuk bermula.