Horizon Zero Dawn iaitu permainan yang dikeluarkan secara eksklusif untuk PlayStation 4, membuat kejutan apabila diumumkan akan dikeluarkan untuk PC pada bulan Mac lepas. Sekaligus menjadi permainan pertama sejak Guerrilla Games diambil alih oleh Sony untuk dikeluarkan selain daripada konsol PlayStation.
Dikeluarkan pada 7 Ogos lepas, selepas meluangkan lebih kurang 10 jam bermain, dan saya juga sudah menghabiskan permainan ini bagi versi PS4, berikut adalah ulasan Horizon Zero Dawn untuk PC.

Permainan Dunia Terbuka Tipikal
Sejak dikeluarkan pada 3 tahun lepas lagi, pengisian aktiviti serta perkara yang boleh dilakukan di dalam Horizon Zero Dawn bukanlah yang terbaik berbanding permainan dunia terbuka yang lain, tetapi ia juga tidak banyak berbeza walaupun dengan permainan dunia terbuka terkini. Jika anda sudah biasa dengan genre ini, tidak banyak kejutan yang dilakukan olehnya. Ia adalah satu permainan dunia terbuka yang tipikal.
Mengisi peta yang boleh dikatakan luas ini adalah pelbagai misi sampingan yang walaupun mempunyai penceritaan tersendiri tetapi kebiasaannya ia adalah ringkas serta kurang menarik. Aktiviti sampingan pula adalah tidak menentu, ada masa ia adalah menarik, ada masa ia membosankan.

Tidak membantu juga adalah beberapa pilihan permainan yang bagi saya tidak membawa apa-apa nilai tambah. Contohnya, fast travel memerlukan “fast travel pack”, oleh itu anda tidak boleh melakukannya sesuka hati tetapi kemudian anda boleh menghasilkan “fast travel pack” tanpa had. Ia mungkin disertakan kerana ingin menggalakkan anda mengembara tetapi bagi saya ada pelbagai cara lain untuk melakukannya.
Satu lagi pilihan adalah mengenai bagaimana anda dapat mengisi nyawa. Ia tidak mempunyai pengisian nyawa secara automatik walaupun di luar pertempuran, ia boleh diterima jika permainan ini ingin membuat pemain melakukan pengurusan mikro, akan tetapi hadirnya satu “pepijat”, di mana jika anda menyimpan sesi permainan semasa nyawa kurang, dan memuat semula sesi tersebut, nyawa akan menjadi penuh. Ia menjadikan tiadanya pengisian nyawa secara automatik, adalah pilihan yang aneh.

Penceritaan dan Watak Yang Menarik
Walaupun begitu, penceritaan serta watak-watak yang hadir di dalam permainan ini, berjaya menampung segala kekurangan di atas. Ia membantu untuk membawa permainan ini berada lebih tinggi berbanding permainan dunia terbuka lain. Ia juga menjadi sebab utama, pengalaman bermain adalah satu perkara yang tidak akan dilupakan oleh pemain.
Horizon Zero Dawn adalah mengenai dunia pada kurun 31, di mana dunia yang kita kenali sudah musnah, dan manusia kembali hidup secara berpuak dengan kurangnya penggunaan teknologi. Namun, di dunia ini juga dipenuhi dengan binatang-binatang robotik, yang tiada orang tahu dari mana hadirnya, ataupun mengapa ia wujud.


Watak utama adalah Aloy, atas satu sebab yang tidak dinyatakan dia telah diusir dari kampung tempat dia dilahirkan sejak bayi lagi. Penduduk kampung itu juga diharamkan daripada bercakap ataupun memberi bantuan. Oleh kerana itu, dia hanya dibesarkan oleh Rost yang juga telah diusir dari kampung tersebut.
Gabungan antara misteri mengenai haiwan-haiwan robotik, misteri mengenai Aloy sendiri serta pelbagai kisah lain yang berkait dengan puak-puak yang berbeza, merupakan satu pengalaman yang sangat mengasyikkan. Saya boleh katakan, bagi permainan dunia terbuka, penceritaan Horizon Zero Dawn adalah antara yang terbaik. Aloy juga adalah watak yang dilakukan dengan sangat baik.
Bentuk Pertempuran Yang Mengujakan
Selain penceritaan, bentuk pertempuran juga membantu untuk menjadikan permainan ini menyeronokkan. Sistem senjata yang pelbagai dan menarik, dengan setiap-nya mempunyai gaya serta elemen serangan berbeza, ini ditambah lagi dengan setiap penjahat terutama haiwan-haiwan robotik yang mempunyai kelemahan tersendiri menjadikan setiap sesi pertempuran adalah satu pertempuran strategi.


Anda juga mempunyai pelbagai perangkap untuk digunakan, ini akan memberi ruang untuk melakukan eksperimentasi dengan gaya serangan yang berbeza. Perlawanan melawan penjahat yang sama, akan menjadi lebih mudah apabila mula memahami setiap gaya serangan serta kelemahan yang hadir. Walaupun hadir haiwan robotik yang besar, dengan memahami setiap kelemahan, ia tidak menjadi terlalu menakutkan bahkan membuatkan anda teruja untuk mencari cabaran seterusnya.
Walaupun Bermasalah, Versi Terbaik Adalah PC
Horizon Zero Dawn, walaupun permainan yang boleh dikatakan sudah berusia 3 tahun, ia masih lagi mempunyai rekaan dunia dan persekitaran yang sangat menakjubkan. Persekitaran nampak sangat cantik, rekaan haiwan-haiwan robotik sangat teliti. Ia adalah antara permainan dengan kualiti grafik terbaik di PS4, dan begitu juga apabila dimainkan di PC. Walaupun ada beberapa bahagian seperti rekaan riak wajah yang sedikit mengecewakan, namun ia tidak sangat menjejas pengalaman.


Bagi prestasi, saya boleh katakan Horizon Zero Dawn sangat memerlukan kuasa yang tinggi. Bahkan lebih tinggi jika ingin dibandingkan dengan Death Stranding. Ini boleh dikatakan kerana Horizon adalah satu port yang kurang dioptimumkan oleh kerana Death Stranding mempunyai rekaan grafik yang lebih terbaru dan lebih baik.
Terdapat empat pratetap berbeza bagi kualiti grafik iaitu Favour Performance (tetapan rendah), Original (tetapan sederhana/versi PS4), Favour Quality (tetapan tinggi) dan Ultimate Quality (tetapan sangat tinggi).
Dengan menggunakan PC spesifikasi seperti berikut Ryzen 5 3600, Geforce RTX 2060 dan 16GB RAM, berikut adalah tanda aras untuk setiap tetapan kecuali Favour Performance, dengan resolusi HD Penuh;



Bagi prestasi sebenar pula, ini adalah bersama dengan menggunakan Geforce Experience untuk merakam sesi permainan- semasa saya bermain Ultimate Quality, saya boleh katakan kadar kelancaran di kebanyakan tempat adalah dalam lingkungan 50 – 60FPS, manakala Favor Quality pula lingkungan 55 – 65FPS dan Original 60 – 70FPS. Bagi saya ia sedikit mengecewakan dan mengharapkan kadar kelancaran yang lebih tinggi, terutama jika saya ingin bandingkan dengan Death Stranding yang menggunakan enjin permainan yang sama.
Oleh kerana saya lebih mementingkan kelancaran berbanding grafik realistik, saya hanya menggunakan tetapan Original yang bagi saya sudah cukup cantik walaupun boleh dikatakan kualiti yang sama dengan PS4 Pro. Namun, kerana kadar kelancaran di konsol tidak melebihi 30FPS, jadi ia masih lagi memberi satu pengalaman bermain yang lebih baik.
Walaupun terdapat juga beberapa masalah lain, seperti tekstur lambat dimuat, ada masa anda menjadi kaku tanpa sebab, kadar kelancaran yang tidak menentu, tetapi ia masih lagi versi terbaik untuk bermain permainan ini. Kadar kelancaran memainkan peranan penting, kebebasan anda untuk mengubah pelbagai tetapan juga sangat membantu untuk memberi anda pengalaman terbaik.
Seperkara lagi yang menjadikan ia adalah versi terbaik adalah tetapan FOV yang boleh diubah. Pada awal pengumuman, mereka mengatakan yang ia tidak akan menyokong tetapan ini, akan tetapi selepas permintaan ramai, mereka menyertakannya dan saya boleh katakan ia adalah keputusan yang sangat baik.


Seperti anda lihat di atas, perbezaan tetapan asal FOV, berbanding tetapan tertinggi iaitu 100, memberi pengalaman bermain yang lebih baik terutama untuk permainan yang anda sentiasa perlu melihat kawasan sekitar, tambahan lagi semasa pertempuran.
Bagi kawalan pula, saya boleh katakan secara keseluruhan mengawal menggunakan alat kawalan adalah lebih mudah, kerana banyak tempat anda akan menekan banyak butang pada satu masa. Namun, sudah semestinya menyasar menggunakan tetikus adalah lebih mudah. Jika anda berhajat untuk menggunakan papan kekunci dan tetikus, pastikan anda menetapkan tetapan kekunci yang anda mudah untuk ingat serta biasakan diri, kerana ia akan menentukan mudah ataupun sukar sesuatu pertempuran.
Versi PC Untuk Anda?
Jika anda tidak pernah mencuba Horizon Zero Dawn dan mempunyai PC ataupun laptop yang mempunyai spesifikasi minima (anda boleh rujuk di Steam), saya sangat mengesyorkan permainan ini. Ia ditawarkan dengan harga sangat berpatutan iaitu RM80 sahaja yang juga disertakan dengan DLC. Bagi permainan sebaik ini, dengan kandungan yang boleh mencecah puluhan jam, harga tersebut sangat-sangat berbaloi.
Manakala jika anda sudah menghabiskannya di PS4 sebelum ini, saya hanya syorkan untuk anda bermain sekali lagi, jika anda mempunyai PC ataupun laptop yang sekurang-kurangnya dapat memainkan permainan ini dengan tetapan Original dan kadar kelancaran 60FPS ke atas, kerana barulah ia akan memberikan satu pengalaman yang lebih baik.
