Skip to main content

Pada tahun 2020, The Last of Us Part II merupakan permainan terbaik pilihan saya, tahun 2024 kita menerima versi terbaik untuk permainan tersebut melalui The Last of Us Part II Remastered. Saya sentiasa berbelah bahagi untuk mengeluarkan ulasan bagi permainan ‘Remastered’ ataupun penambahan-baik, tambahan lagi permainan yang boleh dikatakan sebagai ‘baru’ sahaja dikeluarkan beberapa tahun yang lepas.Oleh kerana itu, saya tidak akan terlalu memfokuskan ulasan ini mengenai penceritaan dan juga tatamain, kerana ia tidak membawa sebarang perubahan berbanding permainan asal, oleh itu ulasan The Last of Us Part II yang saya keluarkan pada tahun 2020 lepas masih lagi boleh digunakan untuk ulasan ini yang anda boleh baca di pautan berikut – Ulasan The Last of Us Part II.

Sebaliknya saya akan memfokuskan kepada dua perkara untuk ulasan ini, iaitu grafik dan juga mod baharu ‘No Return’. Bagi grafik, saya kini diberikan dua pilihan iaitu ‘Fidelity Mode’ dan ‘Performance Mode’ yang sudah menjadi kebiasaan untuk kebanyakan permainan yang dikeluarkan di PlayStation 5. Fidelity Mode memberikan resolusi 4K dengan kadar kelancaran 30FPS, manakala Performance Mode memberikan resolusi 1440p dengan kadar kelancaran 60FPS. Jika anda sudah bermain The Last of Us Part II di PS5 sebelum ini, ia sudah memberikan kadar kelancaran 60FPS dengan resolusi sasaran 1440p, tetapi versi Remastered ini sudah semestinya lebih baik dan prestasi yang lebih tekal. Walaupun bermain di PS4 semasa ia dilancarkan, ataupun bermain versi keserasian belakang, grafik bukanlah masalah bagi saya untuk permainan ini, oleh itu penambah-baikkan ini bagi saya bukanlah perkara yang besar tetapi anda masih lagi akan mendapat versi terbaik untuk permainan ini.

Sudah semestinya penambahan-baikkan grafik tidak melibatkan resolusi ataupun kadar kelancaran sahaja, tetapi perkara lain seperti level-of-detail, kualiti tekstur, pencahayaan, bayang-bayang, animasi kesemua ini dipertingkatkan. Secara jujur daripada pandangan mata kasar, dan berdasarkan ingatan saya daripada permainan ini, saya tidak dapat melihat ataupun ingat perbezaan yang ketara dengan versi sebelum ini. Namun, saya yakin jika versi ini dan versi lama diletakkan secara sebelah menyebelah, perbezaan akan menjadi ketara dan kita boleh katakan ini adalah versi terbaik untuk pemain mendapatkan permainan ini. Saya boleh katakan yang permainan ini adalah lebih baik daripada segala aspek grafik dan animasi, tetapi tidak lebih baik berbanding ingatan pemain mengenai permainan ini, kerana saya tidak mempunyai masalah mengenai grafik ataupun animasi walaupun bagi versi yang terdahulu.

Selain grafik, The Last of Us Part II Remastered ini juga menerima segala kelebihan yang hadir dengan menjadi versi khusus untuk PS5. Ia kini menyokong getaran haptik, picu penyesuai dan pemuatan yang pantas menjadikan pengalaman bermain permainan ini menjadi ketara lebih baik berbanding sebelum ini yang sudah cukup memberikan pengalaman mendalam melalui penulisan dan juga lakonan suara. Ini juga ditambah lagi dengan fungsi kebolehcapaian yang dipertingkatkan lagi dengan menggunakan DualSense. Kandungan tambahan lain yang disertakan, saya juga boleh melalui peringkat yang dibangunkan tetapi tidak disertakan di dalam permainan, mendengar perkongsian oleh pembangun, ‘Guitar Free Play’ dan juga fungsi khusus untuk kaki ‘Speedrun’.

Mod baharu untuk permainan ini ialah No Return yang menurut Naughty Dog mod yang dihasilkan khusus untuk menjadi penawaran tambahan bagi versi Remastered ini. Mod ini adalah mod permainan di dalam genre roguelite. Saya boleh memilih untuk menggunakan salah satu daripada beberapa watak di dalam permainan akan tetapi bermula dengan Ellie dan Abby, selepas menggunakan mereka dan menyelesaikan objektif tertentu saya boleh dapatkan watak-watak lain, contohnya menggunakan Ellie akan memperoleh Dina, menggunakan Abby akan memperoleh Lev dan saya boleh dapatkan watak lain seperti Jesse, Yara, Tommy, Mel, Joel dan Manny. Setiap daripada mereka mempunyai kemahiran dan cara bermain yang berlainan. Setiap daripada watak ini juga mempunyai objektif tersendiri yang akan memberikan barangan kosmetik berlainan, ia memberi sebab tambahan untuk menggunakan watak yang sama berulang-ulang kali

Selepas memilih watak, saya akan bermula di Jackson ataupun Seattle, dan perlu melalui kawasan berlain yang akan mempunyai puak penjahat berlaina seperti WLF, Infected ataupun Seraphites. Jenis ‘encounter’ juga berlainan contohnya Assault, penjahat akan datang secara bergilir-gilir mengikut Wave, manakala Hunted, perlu bertahan sehingga masa tertentu. Bergerak dari satu tempat ke tempat seterusnya, pemain kebiasaannya diberikan pilihan beberapa cabang dengan setiapnya mempunyai puak penjahat dan jenis encounter yang berlainan, ia juga memberi ganjaran-ganjaran berbeza iaitu bekalan yang boleh mempertingkatkan tahap. Saya boleh memilih untuk mempertingkatkan tahap senjata ataupun tahap watak bergantung kepada jenis permainan. Jika pemain mati, pemain akan bermula semula daripada awal. Selain bermain ‘Standard Run’, terdapat juga pilihan untuk bermain Custom Run di mana saya boleh memilih sendiri pelbagai tetapan untuknya, dan juga Daily Run yang memerlukan saya untuk bermain satu ‘Run’ dan menghabiskannya dalam masa 24 jam, akan disertakan Leaderboards untuk memperlihatkan prestasi saya.

Penambahan mod No Return ini adalah sangat baik, beberapa jam saya mencuba menggunakan beberapa watak berbeza adalah menyeronokkan, akan tetapi ia bergantung kepada anda menyukai ataupun tidak dengan sistem pertempuran yang disertakan di dalam permainan ini. Seperti saya nyatakan di dalam ulasan asal, Part II membawa pertempuran yang lebih lancar dengan turut mementingkan pergerakan pantas, oleh itu ia adalah lebih menarik berbanding Part I, akan tetapi masih terdapat banyak bahagian yang dihasilkan dengan menjadikan menyelinap sebagai fokus, dan saya rasakan bahagian tersebut terasa sedikit perlahan. Oleh itu, mod ini saya menyukainya dan satu penambahan yang baik, akan tetapi kerana saya tidak sepenuhnya menyukai sistem pertempuran yang disertakan ia bukan mod yang saya akan bermain untuk waktu yang lama. Saya mungkin akan bermain-nya dengan lebih lagi apabila The Last of Us Part II ini dikeluarkan untuk PC kelak.

Akhir kata, ini adalah versi terbaik untuk permainan yang saya anggap sebagai permainan terbaik pada tahun 2020. Ia masih membawa penceritaan yang mendalam walaupun mungkin sukar untuk diterima oleh sesetengah pemain, tetapi oleh kerana ia membawa penceritaan yang baiklah, ia terus menjadi perdebatan. Tatamain juga adalah seperti sebelum ini, ia adalah baik akan tetapi saya merasakan bahagian menyelinap sedikit perlahan. Manakala grafik kini menjadi lebih baik walaupun mungkin tidak secara jelas, tetapi ia adalah versi terbaik untuk permainan ini. Ditambah lagi dengan sokongan fungsi-fungsi PS5 yang lain seperti pemuatan pantas dan DualSense.

The Last of Us Part II Remastered akan dilancarkan pada 19 Januari 2024 dengan harga bermula RM209 dan RM40 bagi yang sudah memiliki The Last of Us Part I secara fizikal ataupun digital.

Penafian: Kod permainan The Last of Us Part II Remastered disediakan oleh Sony Interactive Entertainment bagi tujuan ulasan ini.

The Last of Us Part II Remastered
Ini adalah versi terbaik untuk permainan yang saya anggap sebagai permainan terbaik pada tahun 2020. Menyertakan grafik yang lebih baik, tatamain lebih lancar dan pelbagai kelebihan PS5 digunakan dengan tambahan mod baharu No Return.
Positif
Penceritaan mendalam dan menyentuh jiwa
Penambah-baikkan yang baik untuk grafik
Mod No Return adalah menarik
Negatif
Tiada naik taraf percuma
9

Leave a Reply