Penerbit 4Divinity bersama pembangun Eschatology Entertainment secara rasmi mengumumkan Guns of Eschaton, sebuah permainan bergenre Souls-like FPS yang membawakan latar masa dunia barat bertemakan malapetaka mistik. Permainan ini merupakan dunia asal terakhir yang direka oleh mendiang Viktor Antonov, pengarah seni yang terkenal sebelum ini melalui pembinaan dunia dalam Half-Life 2 dan Dishonored.

Berlatarkan benua Amerika pada abad ke-19, Guns of Eschaton menggabungkan elemen sejarah dan mitos Old West ke dalam dunia fantasi yang dipenuhi unsur seram kultus. Pemain akan memulakan perjalanan dari kawasan Barat menuju ke Pantai Timur merentasi landskap Amerika yang kian hancur, di mana setiap pertempuran dengan musuh memerlukan strategi yang tinggi untuk terus hidup.

Sistem pertempuran dalam permainan ini memfokuskan kepada pengurusan sumber dan perancangan yang teliti. Pemain perlu memanfaatkan penggunaan peluru khas, melakukan parry yang tepat pada masanya, melakukan gerakan dash, serta menggunakan sistem Codex. Melalui mekanik Sequence Points dalam Codex tersebut, kelemahan musuh dapat dikesan untuk membantu pemain di dalam pertempuran yang memerlukan setiap tembakan diambil kira.

Selain itu, Guns of Eschaton turut menyediakan sistem perkembangan watak yang mendalam melalui pengubahsuaian gaya permainan. Pemain boleh mencuba dengan pelbagai jenis senjata api, jenis peluru, kuasa kultus, azimat, perisai, dan barangan kegunaan untuk mencari sinergi aktif serta pasif terbaik. Permainan ini boleh dimainkan secara solo mahupun secara co-op dengan sistem kemajuan penuh disediakan untuk kedua-dua mod tersebut.

Guns of Eschaton kini boleh dimasukkan ke dalam senarai hajat bagi platform PlayStation, Xbox, dan PC (Steam).

Leave a Reply