The Last of Us adalah permainan terbaik yang saya pernah main, dan kenyataan tersebut masih lagi benar seperti yang saya jelaskan sebelum ini. Oleh itu, apabila diura-urakan sebelum disahkan oleh Naugty Dog yang mereka akan membangunkan “Remake” untuk The Last of Us yang pertama saya teruja tetapi pada masa sama tertanya-tanya jika ia terlalu awal. Namun, selepas saya bermain-nya sendiri, yang menjadikan kali keempat untuk saya menghabiskan permainan ini saya boleh katakan ia masih terlalu awal untuk Remake tetapi pada masa sama saya merasakan ia adalah langkah yang baik.

Naughty Dog mengatakan The Last of Us Part I boleh dikatakan sebagai ‘Remake’ kerana ia menyertakan penambahan yang cukup banyak dan bukan sekadar meningkatkan kualiti grafik dan saya bersetuju. Ia membawa pelbagai perubahan yang menjadikan permainan ini lebih baik. Apabila bercakap mengenai ‘Remake’, The Last of Us Part I adalah berbeza dengan konsep remake yang digunakan oleh permainan seperti Final Fantasy VII Remake, kerana ia bukan saya membawa kualiti grafik yang lebih baik tetapi juga membawa bentuk permainan dan penceritaan yang berbeza. The Last of Us Part I pula masih mengekalkan bentuk permainan, dengan beberapa peningkatan dan penceritaan adalah masih sama.
Tidak mengubah penceritaan bukan lah perkara yang negatif kerana bagi saya perkara utama yang menjadikan The Last of Us masih lagi permainan terbaik adalah penceritaan yang berkualiti dengan perwatakan yang akan dikenang untuk masa yang lama. Bagi yang tidak pernah bermain permainan ini, The Last of Us memfokuskan kepada watak Joel dan Ellie di dunia di mana ketamadunan manusia telah musnah akibat serangan zombi dengan “kerajaan” hanya wujud dalam bentuk kem tentera dan bukan secara negara mahupun negeri.

Joel adalah seorang penyeludup yang membawa barangan keluar dan masuk daripada kem tentera termasuk juga barangan yang tidak dibenarkan. Pada awal permainan, Joel telah diupah oleh organisasi penentang iaitu Firefly untuk menyeludup keluar Ellie seorang remaja berusia 14 tahun atas sebab yang akan diperlihatkan pada awal permainan lagi. Oleh itu, penceritaan adalah mengenai pengembaraan Joel dan Ellie ke destinasi tersebut akan tetapi ia dilakukan dengan sangat baik untuk menjadikan ia adalah antara penceritaan terbaik yang ada di dalam satu permainan video.
Kekuatan utama penceritaan adalah bagaimana setiap watak dilakukan, bagaimana setiap watak dikembangkan. Joel melalui adegan pada pembukaan lagi telah memberi satu pengenalan awal untuknya yang dilakukan dengan cukup baik memberi kesan berpanjangan. Manakala Ellie adalah watak yang mempunyai personaliti jelas, sebagai seorang anak yang dilahirkan selepas berlakunya pandemik zombi, menjadikan dia lebih berdikari dan suka melawan. Perhubungan di antara Joel dan Ellie dikembangkan dengan teliti, dari sekadar seorang penyeludup dengan ‘bahan’ seludup sehinggalah menjadi perhubungan seperti seorang bapa dan anak yang saling perlu-memerlukan. Dua watak ini dilakukan dengan sangat baik, mungkin terlalu baik yang menjadikan ‘masalah’ dengan kejadian yang berlaku di dalam Part II, tetapi sekurang-kurangnya bagi Part I ini, ia adalah perwatakan yang saya boleh katakan hampir sempurna. Watak Ellie juga lebih dikembangkan dengan DLC Left Behind yang disertakan bersama di dalam The Last of Us Part I.


Selain Joel dan Ellie, mereka juga akan berjumpa dengan beberapa lagi watak lain yang walaupun tidak mempunyai masa atau ruang yang lama untuk dikembangkan akan tetapi mereka hadir dengan mencukupi untuk memberi lapisan baharu kepada penceritaan, dan juga membantu lagi untuk mengembangkan watak Joel dan Ellie sendiri. Selain itu, watak-watak ini juga membawa penceritaan mereka sendiri yang memfokuskan kepada sukarnya untuk hidup di zaman pandemik zombi, bukan sahaja kerana masalah zombi tetapi masalah manusia yang menjadi lebih kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Dengan bantuan watak-watak sampingan ini juga membantu untuk menjadikan penceritaan ini mempunyai bahagian pengenalan, klimaks dan penamat di beberapa bahagian. Oleh itu, ia tidak akan terasa terlalu panjang, ataupun terlalu ringkas. Setiap bahagian dihasilkan dengan baik, walaupun ia tidak mempunyai bahagian yang mengatakan ini adalah bahagian ataupun bab yang pertama akan tetapi pemain akan sedari apabila sesuatu pencerita memasuki pengenalan baharu, mencapai klimaks dan tamat sebelum beralih ke satu penceritaan baharu di samping itu terus mengekalkan penceritaan yang lebih besar mengenai Joel dan Ellie yang ingin pergi ke destinasi mereka.

Kesemua perkara ini bantu lagi dengan penulisan dan dialog yang sangat-sangat baik. Contohnya Troy Baker untuk Joel dan Ashley Johnson untuk Ellie adalah dua nama yang tidak asing lagi di dalam industri lakonan suara akan tetapi saya boleh katakan prestasi mereka di dalam permainan ini adalah antara yang terbaik di dalam kerjaya mereka. Kedua-dua watak tersebut hidup dan dengan segera memberi impak kepada pemain kerana penyampaian yang cukup baik oleh mereka. Ini juga perkara yang sama untuk watak-watak lain walaupun mereka tiba untuk satu segmen sahaja di dalam penceritaan.
Penceritaan secara amnya tidak mempunyai sebarang perubahan akan tetapi The Last of Us Part I menyampaikan-nya dengan lebih baik melalui kualiti grafik yang lebih berkualiti berbanding The Last of Us Remastered, tambahan lagi berbanding The Last of Us. Antara penambah-baikkan yang paling jelas adalah riak wajah dan juga animasi watak. Wajah untuk watak-watak memperlihatkan emosi dengan jauh lebih baik berbanding sebelum ini. The Last of Us adalah permainan yang mempunyai impak emosi sebelum ini lagi, akan tetapi dengan grafik baharu ini, setiap marah, sedih, takut dan tangisan diperlihatkan dengan lebih jelas memberi pengalaman baharu untuk melihat adegan-adegan tersebut walaupun ini adalah untuk berpuluh-puluh kali saya melihatnya. Satu perkara yang saya rasa mungkin adalah pepijat, walaupun pergerakan mata di dalam versi Remake ini adalah lebih realistik akan tetapi ada masa ia bergerak dengan janggal dan tidak menepati dengan emosi untuk adegan tersebut.

Seterusnya adalah rekaan dunia dan persekitaran juga dilakukan semula, ia masih mengekalkan kawasan yang sama akan tetapi kawasan ini dihasilkan dengan lebih realistik dengan lebih banyak tumbuhan serta kerosakan yang boleh diperlihatkan. Jika sesetengah kawasan sebelum ini sekadar kosong dengan hanya mempunyai kereta rosak, akan tetapi kali ini ia memberi kawasan yang lebih hijau dengan tumbuh-tumbuhan, sesuatu yang masuk akal bagi kawasan yang ditinggalkan oleh manusia. Ini menjadikan pengalaman untuk melalui kawasan-kawasan ini lebih baik. Namun, saya juga adalah melihat yang beberapa perkara di persekitaran yang masih menggunakan tekstur ataupun model yang lama, ia akan menjadikan kelihatan sedikit janggal tetapi tidak terlalu menyerlah.
Penambah-baikkan grafik ini juga sangat jelas diperlihatkan melalui cahaya dan bayang-bayang yang dilakukan dengan lebih baik, menjadikan setiap adegan kelihatan jauh lebih baik sebelum ini. Jika anda mempunyai paparan HDR, ini akan menjadi lebih jelas. Cahaya dan bayang ini juga membantu untuk menjadikan sesuatu adegan tersebut lebih berkesan dan pada masa sama, ia juga menjadikan setiap kawasan kelihatan lebih cantik dengan cahaya matahari memasuki dari tingkap dan terpantul dari lantai ke dinding, ia sangat-sangat cantik yang membuatkan saya kadang-kadang berhenti sekejap untuk menghargainya.

Perkara yang sedikit mengecewakan adalah ia masih lagi terhad kepada 60FPS sahaja, dengan dua pilihan tetapan grafik iaitu Fidelity dan Performance. Saya mencuba mod Fidelity akan tetapi tidak menyukai kadar kelancaran yang rendah mereka menyasarkan 40FPS tetapi ada masa ia lebih rendah, oleh itu kebanyakan sesi saya bermain menggunakan mod Performance yang menyasarkan 60FPS. Dengan sokongan baharu untuk PS5, pemain juga boleh memilih untuk menggunakan tidak menghadkan kadar kelancaran melalui penggunaan kadar segar semula boleh ubah ataupun variable refresh rate.
Jika dibandingkan dengan The Last of Us dan The Last of Us Remastered ia sudah semestinya memperlihatkan perbezaan grafik yang ketara tetapi bagaimana dengan The Last of Us Part II, saya masih tidak melakukan perbandingan sebelah menyebelah akan tetapi saya boleh katakan yang Part II mungkin kelihatan lebih baik akan tetapi saya merasakan ia lebih kerana penggunaan lampu yang lebih baik di dalam Part II selain itu, ia juga adalah permainan yang lebih “gelap”, menjadikan ia kelihatan lebih baik. Namun, saya merasakan melihat perbandingan sebelah menyebelah akan menjadikan ia lebih jelas untuk perbandingan.

Bagi bentuk permainan, terutamanya pertempuran secara umumnya saya boleh katakan masih mengekalkan daripada permainan asal. The Last of Us Part II membawa beberapa penambah-baikkan antaranya seperti meniarap, pergerakan yang lebih baik serta rekaan kawasan persekitaran yang lebih mesra untuk pemain bergerak akan tetapi kesemua perkara tersebut tidak di bawa ke dalam permainan ini. Walaupun, dibangunkan semula ataupun remake, akan tetapi saya merasakan ia masih menggunakan kod asal permainan oleh itu perkara-perkara tersebut mungkin memakan masa yang lebih lama untuk disertakan. Oleh itu, ia sedikit mengecewakan akan tetapi saya tidak mempunyai masalah yang besar.
Oleh itu, saya mempunyai rungutan yang sama dengan semasa saya bermain The Last of Us dan juga The Last of Us Remastered, ada masa pertempuran menjadi terlalu perlahan. Di dalam permainan ini, pemain akan bertempur dengan manusia ataupun zombi, dan di kebanyakan tempat, manusia dan zombi ini akan berada di kedudukan dan pergerakan tertentu, oleh itu saya boleh memilih untuk terus menembak menggunakan pelbagai jenis senjata yang ada, ataupun bermain secara menyelinap dengan melakukan stealth kill. Melakukan serangan terus adalah cara yang cepat akan tetapi oleh kerana peluru dan peralatan untuk menghasilkan bom contohnya adalah terhad, ia bukan sesuatu yang sentiasa boleh dilakukan.

Manakala menyelinap adalah cara terbaik, terutama apabila bermain dengan tahap kesukaran yang tinggi. Namun, seperti saya katakan sebelum ini, ia adalah perlahan dan mungkin terlalu perlahan. Ini mungkin kerana cara kawasan direka dan juga pergerakan AI. Contohnya, walaupun saya sudah melakukan bunyi yang bising di sesuatu tempat, kerana melakukan serangan terus, berbanding kesemua penjahat datang ke tempat tersebut, sentiasa ada AI yang masih lagi berada di luar kawasan tersebut yang bagi saya agak aneh secara logiknya, dan ia juga menjadi sebab mengapa sesi permainan menjadi perlahan.
Di dalam Part II perkara ini sudah diselesaikan dengan AI akan lebih bertindak balas dengan apa yang berlaku di sekitar, tambahan itu, pemain juga boleh bergerak serta bersembunyi dengan lebih cepat apabila penjahat mengejar menjadikan permainan lebih rancak, di dalam Part I ia tidak memberi perkara yang sama. Namun, kekurangan penambahan untuk pertempuran di tambah-baik dalam bentuk pelbagai tetapan yang boleh diubah oleh pemain mengikut tahap kesukaran. Secara lalai ia mempunyai 6 pilihan kesukaran berbeza iaitu yang paling senang ‘Very Light’ sehinggalah paling sukar iaitu ‘Grounded’ tambahan pada itu ia juga mempunyai ‘Custom’. Di dalam custom, saya boleh mengubah tahap kesukaran untuk lima perkara iaitu Player, Enemies, Allies, Stealth dan Resources.

Bagi saya perkara ini adalah sangat baik, contohnya saya merasakan sistem menyelinap di dalam permainan ini menjadikan sesi permainan perlahan oleh itu saya boleh mengubah Enemies menjadi ‘Grounded’ menjadi penjahat lebih sukar untuk dibunuh dan lebih agresif, akan tetapi saya kemudiannya menetapkan Resources dengan tetapan ‘Very Light’ menjadikan saya dapat mencari peluru dengan mudah. Ini menjadikan sesi permainan yang lebih rancak tetapi masih mempunyai cabaran tersendiri. Kesemua tetapan ini boleh diubah pada awal permainan lagi, ataupun semasa sedang bermain oleh itu anda boleh melakukannya pada bila-bila masa sahaja, ia juga tidak memberi kesan kepada trofi.
Jika anda sudah menghabiskan sesi permainan buat pertama kali, tetapan ‘Gameplay Modifiers’ juga akan dibuka, melaluinya anda boleh mengubah pelbagai tetapan lain, contohnya menyertakan mod Bullet Speed yang akan memperlahankan pergerakan semasa membidik, dengan kawalan di dalam permainan ini masih kurang baik, ia sangat membantu. Membawa dari apa yang disertakan di dalam Part II, The Last of Us Part I juga adalah mesra untuk pemain yang kelainan upaya terdapat pelbagai pilihan kebolehcapaian termasuk juga menggunakan getaran haptik untuk memberi gambaran emosi kepada pemain yang tidak dapat melihat.
Selain membuka Game Modifier, menghabiskan permainan buat pertama kali juga akan membolehkan pemain untuk tukar pakaian, beg dan juga hiasan senjata untuk Joel dan Ellie.


Satu lagi perkara yang juga di bawa daripada Part II adalah bagaimana mengubah suai senjata dilakukan, di dalam The Last of Us termasuk juga versi Remastered, ia sekadar memperlihatkan paparan antaramuka sahaja, tetapi di dalam Part I setiap ubah suai akan diperlihatkan dengan animasi tersendiri, contohnya saya ingin menjadikan shotgun boleh diisi dengan jumlah peluru yang lebih, Joel akan mengubah chamber shotgun tersebut, ia bukan sahaja seronok untuk dilihat tetapi juga akan menjadikan senjata kelihatan berlainan secara visual. Ketelitian ini sangat saya hargai, tambahan itu semua senjata yang digunakan akan diperlihatkan walaupun ketika tidak menggunakannya.


Elemen penting lain bagi bentuk permainan untuk The Last of Us adalah pengembaraan, dan seperti pertempuran ia tidak berbeza berbanding permainan asal, namun ia adalah perkara yang bagi saya menarik walaupun tidak seperti Part II yang mempunyai kawasan yang lebih luas. Oleh itu, ia masih cukup baik untuk dilakukan ditambah dengan grafik serta rekaan persekitaran yang lebih baik pengembaraan menjadi lebih menyeronokkan. Pengembaraan adalah penting atas dua perkara, mencari peluru dan bahan untuk crafting, dan juga ia mempunyai pelbagai dialog-dialog serta adegan yang tersembunyi.
Saya sudah bermain The Last of Us empat kali, tetapi bagi sesi kali ini saya masih lagi menjumpai dialog-dialog yang saya tidak pernah dengan sebelum ini. Saya tidak pasti jika ia adalah dialog tambahan yang disertakan khusus untuk versi ini ataupun saya tidak menjumpainya sebelum ini. Dengan kata lain, permainan ini akan memberi ‘ganjaran’ yang baik bagi pemain yang mengambil masa untuk pergi ke tempat yang wajib untuk diteroka.

Sebagai rumusan saya boleh katakan The Last of Us Part I, membawa perkara sama dengan permainan asal yang menjadikan ia adalah antara permainan terbaik pernah dikeluarkan dan melalui versi ini, ia ditambah baik dengan grafik serta pelbagai tetapan yang boleh menjadikan ia seperti yang pemain inginkan. Dengan kata lain, ia adalah permainan semua harus cuba.
Namun, adakah berbaloi untuk membayar hampir RM300 untuk permainan berasaskan permainan dikeluarkan beberapa tahun yang lepas? Bagi saya ya, permainan ini mempunyai pengalaman yang mencukupi untuk menjadikan ia permainan yang terbaik dikeluarkan di PlayStation 5 setakat ini. Pada masa sama, jika anda sudah bermain, saya tidak merasakan yang permainan ini memberi sebab yang mencukupi untuk memerlukan anda bermain buat masa sekarang. Anda boleh menunggu lebih lama ataupun apabila versi PC dikeluarkan kelak yang berkemungkinan besar akan memberikan pengalaman yang lebih berbeza.
Manakala bagi anda yang tidak pernah bermain, saya boleh katakan ia adalah permainan yang anda harus main.
Penafian: Kod permainan The Last of Us Part I disediakan oleh Sony Interactive Entertainment untuk tujuan ulasan ini. The Last of Us Part I akan dilancarkan untuk PlayStation 5 pada 2 September 2022.