iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max adalah telefon pintar pertama yang menyokong permainan konsol secara natif. Perkara ini dibolehkan kerana penggunaan cip Apple A17 Pro dengan binaan 3nm dan kuasa GPU yang berprestasi tinggi.
Death Stranding Director’s Cut akan tiba hujung tahun ini, sementara Resident Evil Village akan ditawarkan bermula 30 Oktober untuk iPhone (Mac sudah tersedia) pada harga RM121.90 dan terbaru Resident Evil 4 pula telah mula disenaraikan untuk tiba pada 31 Disember akan datang.

Resident Evil 4 sudah boleh dipra-tempah dan harga yang disenaraikan adalah RM244.90 dengan pek bonus, sementara tambahan RM80.90 untuk dapatkan pek DLC. Harga yang lebih kurang sama pada PC dan konsol. Apple turut memberitahu yang permainan ini digalakkan bermain bersama dengan alat kawalan.
Permainan ini menawarkan akses kepada rentas-pembelian dan rentas-kemajuan, beli di iPhone 15 Pro boleh terus main di Mac dan iPad berbeza dengan Village. Kami sudah mengeluarkan ulasan untuk Resident Evil 4 bagi versi PlayStation 5 yang anda boleh baca di pautan berikut – Ulasan Resident Evil 4.


