Capcom ketika acara State of Play telah mengumumkan yang 25 September 2026 sebagai tarikh pelancaran rasmi untuk permainan terbaharu mereka, Onimusha: Way of the Sword. Permainan bergenre Sword-Fighting Action ini akan ditawarkan di platform PlayStation 5, Xbox Series , dan PC. Demo permainan ini juga sudah boleh dimainkan.

Melalui versi demo tersebut, pemain diberi peluang mencuba peringkat awal permainan yang berlatarkan Kuil Kiyomizu-dera. Sesi percubaan ini merangkumi pelbagai mekanik pertempuran asas dan diakhiri dengan perlawanan menentang watak Sasaki Ganryu. Pemain yang menyimpan fail simpanan dari versi demo di dalam konsol atau PC mereka akan menerima item dalam permainan yang eksklusif, iaitu azimat ‘Charm: Kubi Akari’, apabila versi penuh dilancarkan kelak. Walau bagaimanapun, kemajuan dari demo tersebut tidak boleh dipindahkan ke versi penuh permainan.

Onimusha: Way of the Sword berlatarkan era awal zaman Edo di Kyoto. Pemain akan mengawal protagonis Miyamoto Musashi yang dilengkapi senjata Oni Gauntlet dalam misinya menghapuskan makhluk iblis yang dikenali sebagai Genma. Berdasarkan maklumat dari treler terbaharu, permainan ini bakal memperkenalkan kawasan pergunungan Mount Oe sebagai salah satu lokasi utama, berserta pendedahan bos antagonis utama bernama Shuten Doji. Makhluk iblis spesies Oboro Garasu turut disahkan sebagai salah satu jenis musuh yang akan ditemui.

Sistem pertempuran kali ini memperkenalkan mekanik seperti ‘Reflex Combo’, di mana pemain boleh membina momentum tumpuan melalui elakan untuk melancarkan serangan berangkai. Musashi juga mempunyai akses kepada kuasa ghaib yang terbahagi kepada dua kategori utama. ‘Oni Strength’ membolehkan pemain menggunakan kekuatan fizikal yang tinggi untuk memecahkan benteng pertahanan musuh, manakala ‘Oni Agility’ memberikan kelebihan kelajuan dan mobiliti yang membolehkan Musashi berlari di atas permukaan dinding tertentu.

Pemain sudah boleh membuat pra-tempahan untuk Onimusha: Way of the Sword bermula hari ini di semua platform digital. Pemain yang membuat pra-tempahan akan menerima ganjaran awal berupa rekaan senjata kosmetik ‘Sealed Curse’ dan azimat ‘Lion Dog’. Permainan ini ditawarkan dalam tiga pilihan edisi: Standard Edition (tersedia secara fizikal dan digital untuk PlayStation 5, digital untuk platform lain), Deluxe Edition (digital sahaja), dan Premium Deluxe Edition (digital sahaja). Edisi Deluxe dan Premium Deluxe masing-masing menyertakan pelbagai penambahan kosmetik eksklusif termasuk pakaian alternatif untuk karakter dan pilihan muzik latar belakang mini.

Leave a Reply