Permainan video FIFA World Cup: Launch Edition akan dilancarkan secara eksklusif di platform Netflix Games pada 11 Jun. Berbeza dengan permainan football simulation tradisional, judul baharu ini menggunakan telefon pintar pemain sebagai alat pengawal yang disambungkan ke televisyen pintar melalui imbasan kod QR.

Sistem kawalannya dipermudahkan dengan mekanik leretan pada skrin telefon pintar untuk membuat hantaran dan menendang bola ke arah gol. Reka bentuk kawalan ini membolehkan sesiapa sahaja, termasuk individu tanpa sebarang pengalaman bermain permainan video, untuk terus mengawal perlawanan dengan pantas.

Dari segi kandungan, pemain boleh memilih daripada kesemua 48 pasukan kebangsaan yang dijadualkan bertanding dalam kejohanan FIFA World Cup 2026. Permainan ini turut memuatkan 16 buah stadium kejohanan dan menawarkan lebih daripada 1,200 pemain bola sepak untuk dikawal. FIFA World Cup: Launch Edition juga menyokong sesi perlawanan multiplayer yang membenarkan sehingga empat orang bermain secara serentak di hadapan televisyen yang sama.

Judul ini ditawarkan tanpa sebarang kos tambahan bagi pelanggan yang mempunyai pelan langganan Netflix sedia ada. Walaupun keluaran awal ini memfokuskan kepada mekanik asas yang ringkas dan mudah dimainkan, kemas kini masa hadapan telah dirancang untuk menambah ciri baharu dan memperluaskan lagi sistem permainannya.

Leave a Reply