Ulasan Resident Evil 4

Percaya atau tidak Resident Evil 4 (RE4) adalah permainan yang membuatkan aku jatuh minat kepada konsep zombi, permainan tembakan third person dan terus kepada francais Resident Evil yang lain baik animasi, siri TV atau filem. Aku masih ingat lagi pengalaman aku main RE4 di PlayStation 2, ia adalah permainan video pertama aku yang aku main dari awal sehingga habis. Ia juga adalah permainan yang memperkenalkan aku kepada GameShark untuk melakukan mod, hack dan menipu dalam permainan apabila ingin ulang main.

Selepas aku main Resident Evil Village yang menimgbau kembali banyak kenangan RE4 aku benar-benar merindukan permainan ini. Sehinggalah suatu hari aku dengar ura-ura yang RE4 turut akan diolah semula aku menjadi teruja dan tidak percaya. Apabila permainan ini masuk sahaja akaun Aksiz aku terus menawarkan diri untuk main dan ulas.

Permainan Apakah Ini?

Resident Evil 4 adalah permainan survival horror yang mana watak utama perlu cuba usaha selamatkan diri dari serangan zombi dan pelbagai makhluk mutasi lain sambil perlu menyelamatkan anak Presiden AS. Hero ini adalah Leon S. Kennedy dan beliau di hantar ke Sepanyol untuk menyelamatkan Ashley Graham. Leon kemudiannya bertemu dengan orang-orang Los Illuminados di Valdelobos yang memuja Plagas.

Orang-orang Los Illuminados ini telah dijangkiti dengan virus yang menjadikan mereka kuat dan boleh mutasi menjadi makhluk pembunuh. Mereka turut memuja pelbagai perkara dan turut terlibat dengan Umbrella pencipta virus.

Dalam permainan ini jugalah Leon bertemu dengan Ada Wong seorang gadis hot yang handal beraksi seorang diri, Jack Krauser yang melatih Leon, Ingrid Hunnigan, Osmund Saddler, Ramón Salazar, Luis Sera dan juga penjual senjata yang entah bagaimana boleh berurusan dengan Leon tanpa dibunuh oleh zombi.

Resident Evil 4 menceritakan kisah enam tahun selepas bencana Raccoon City dan Leon telah terlibat dengan pelbagai misi dan kini ditugaskan untuk menyelamatkan anak Presiden. Dalam misi Leon beliau bertembung dengan pelbagai jenis makhluk baik yang aneh, mutasi tahap dahsyat atau yang seram ngeri semuanya beliau perlu tewaskan.

Dalam permainan ini Leon turut perlu bekerjasama dengan Ashley bagi memastikan mereka boleh selamatkan diri. Resident Evil 4 adalah permainan yang akan membuatkan anda bermimpi di siang hari yang anda adalah seorang ejen perisik hebat menyelamatkan seorang gadis ala James Bond.

Mengimbau Kenangan Silam

Aku berikan rating kepada Resident Evil Village (RE8) skor 8.5 dalam ulasan dua tahun lepas. Permainan ini mengimbau kembali kenangan aku bermain Resident Evil 4. Kini selepas main semula Resident Evil 4 dalam konsol generasi terkini iaitu PlayStation 5 mata aku berair kerana dapat main permainan kegemaran aku dalam grafik yang lebih realistik.

Permainan ini secara keseluruhan masih sama dengan yang lama. Awal bermain aku hanya ingat-ingat lupa tetapi selepas berjam aku habiskan masa memori aku disegarkan semula dengan pengalaman aku dengan RE4 ketika zaman sekolah.

RE4 menggunakan konsep survival horror third-person. Bermakna pemain akan nampak keseluruhan watak dari kamera pandangan belakang. Berbeza dengan RE8 yang menggunakan konsep first-person. Semasa aku mulai main permainan ini jantung aku terus berdegup kencang. RE4 Reamke adalah lebih ngeri, seram dan mendebarkan.

Setiap adegan permainan dan lokasi yang Leon pergi semuanya secara automatik muncul dalam ingatan aku. Ini secara tidak langsung memudahkan aku main permainan ini dengan penuh imersif dan fokus. Ini turut membolehkan aku habiskan permainan ini dalam masa kurang 18 jam dengan skor B. Tahap kesukaran aku juga bertukar-tukar dari yang biasa ke yang ada bantuan. Ini adalah kerana aku kejar dateline untuk terbitkan ulasan aku. Jika tidak aku akan bertukar antara mod biasa ke mod sukar.

Apabila aku kembali ingat pengalaman bermain RE4 tetapi memori telah digantikan dengan imej-imej berkualiti tinggi dan video yang membuatkan aku mimpi ngeri. Tidak dinafikan yang permainan ini benar-benar seram. Capcom turut ada melakukan perubahan pada tatamain RE4 ini. Aku masih ingat majoriti tekaria dari versi asal, versi olahan semula ini ada yang lain sedikit dan ada juga yang lebih mencabar.

Untuk musuh-musuh dalam permainan ini semuanya masih sama. Yang paling jelas dalam ingatan aku adalah Del Lago ikan besar yang mengancam nyawa Leon ketika dalam kapal. El Giagnte dan Bitores Mendez pun antara musuh yang dulu dalam RE4 lama nampak ngeri apatah lagi dalam PS5 yang nampak lebih cantik dan penuh butiran – bawak ke mimpi woi!.

Garrador si mutasi buta yang aku sukar sebab musuh ini tidak mengenali kawan atau lawan jadi banyak zombi lain turut dibunuh oleh Garrador. Musuh yang membuatkan aku ulang main beberapa kali adalah Verdugo. Binatang ini tidak mahu mati jadi perlu kalahkan dengan cecair nitrogen. Kalau aku tidak salah dalam permainan lama perlu tembak tong cecair nitrogen tetapi dalam RE4 Remake ini perlu tekan butang aksi untuk siram cecair sejuk beku ini.

Musuh yang aku tidak berapa ingat adalah El Gigante berperisai. Dalam RE4 lama seingat aku ia muncul lewat tetapi dalam RE4 baharu ia membuat penampilan khas kepada Leon dalam satu misi. Apa yang aku ingat adalah pertempuran dengan kedua-dua El Gigante. Cuma aku ketika itu ada pelancar roket jadi tidak dapat melihat cutscene Luis membantu Leon dengan TNT.

Olahan Terbaik

Apabila melihat kembali RE4 asal yang dilancarkan pada tahun 2005 tatamainnya agak aneh. Ini kerana Leon tidak boleh bergerak seperti berjalan sambil menembak. Beliau kaku di satu lokasi sahaja. Kali ini boleh berjalan dan berlari sambil menembak musuh. Memberikan pemain kebebasan bergerak dan sambil menewaskan musuh sambil itu boleh menerokai lokasi permainan.

Dalam RE4 asal aku masih ingat lagi di lokasi kawasan perkampungan aku gemar panjat atap dan tembak musuh dari atas. Tetapi Capcom tahu strategi aku yang aku yakin ramai pemain lakukan perkara sama. Tetapi perubahan telah dilakukan yang mana atap atau tempat jalan boleh runtuh. Satu kelemahan kepada Leon dan satu cabaran kepada pemain.

Capcom turut tidak lupa dengan dialog menarik seperti “Hey, it’s that dog!” ketika lawan El Gigante. Leon ucapkan ayat ini kerana telah menyelamatkan seekor anjing. Sementara ayat “Where’s everyone going? Bingo? adalah ketika orang-orang kampung terus kaku dan berjalan ke gereja dan terus hilang.

Pertempuran Leon dengan Jack Krauser juga menarik kerana ada adegan lawan pisau. Lokasi ikonik seakan kawasan piramid yang penuh dengan perangkap kini semakin mencabar. Ramón Salazar pula kini boleh terbang dari satu lokasi ke satu lokasi. Musuh ini juga antara yang membuatkan aku main berkali-kali.

Akhir sekali pertempuran bos utama iaitu Osmund Saddler adalah pertempuran yang aku sentiasa ingat. Terdapat adegan Ada Wong membantu Leon dengan memberikan beliau pelancar roket. Tahap kesukaran untuk menewaskannya lagi-lagi dengan nyawa sedikit dan stok peluru yang tidak banyak.

Banyak aspek dalam permainan ini kekal sama tetapi diolah menjadi lebih baik dan mengerikan. Aku suka setiap kali aku kalah dan ketika ingin ulang main jantung aku berdebar kencang. Permainan ini memberi adrenalin kepada aku untuk lebih semangat menewaskan musuh. Permainan ini turut membuatkan aku kembali berangan aku adalah perisik hebat seakan Leon di dunia sebenar.

Kawalan dengan DualSense Edge pada aku agak memuaskan. Setiap butang aku gunakan dengan baik, cuma aku sedar permainan ini tidak memanfaatkan pad sesentuh alat kawalan. Tetapi tidak mengapa kerana ia memudahkan cara bermain dan memberikan pengalaman bermain dengan kawalan yang tidak merumitkan.

Apa Olahan Semula Seterusnya Resident Evil?

Dengan RE2, RE3 dan kini RE4 telah diolah semula apa pula permainan Resident Evil seterusnya yang akan diolah. Aku ingin main RE5 dan RE6 dalam PS5 kerana aku tidak habis main dua permainan ini dan dulu pun aku main pada komputer rumah yang tidak mempunyai grafik hebat. Jadi agak menarik jika dua RE ini diolah semula untuk konsol generasi baharu.

Aku turut ingin lihat jika RE seterunya masih dalam pembangunan sekurang-kurangnya RE4 Remake ini ada DLC baharu di masa akan datang mengembangkan lagi dunia permainan RE4. Aku tahu sudah ada DLC percuma The Mercenaries yang ada watak Hunk dan Albert Wesker. Tetapi aku ingin lain mungkin misi khas Ada, misi khas Ashley atau mungkin Luis?

Kesimpulan

Resident Evil 4 2023 atau RE4 Remake secara keseluruhan adalah permainan sama aku main di PlayStation 2 lebih 10 tahun lalu. Dengan olahan semula yang lebih menyeramkan, butiran yang lebih mengerikan dan tatamain yang lebih mencabar Resident Evil 4 Remake adalah permainan survival horror terbaik pernah aku mainkan setakat ini. Aku adalah individu yang main konsol setahun atau dua tahun sekali sahaja. Percaya atau tidak RE8 adalah permainan terakhir aku main – dua tahun lalu.

Peminat Resident Evil wajib main RE4 Remake kerana ia akan mengimbau kembali kenangan indah anda bermain permainan ini pada PS2. Permainan ini juga kali pertama aku tidak menggunakan panduan di web untuk main sehingga habis. Disebabkan aku sudah lama tidak main konsol skor permainan aku hanyalah B dan aku habiskan masa sekitar 18 jam.

Resident Evil 4 boleh dibeli sejak 24 Mac lepas dengan harga RM244. Anda boleh dapatkannya di PC, PS5, PS4 dan juga Xbox.

Resident Evil 4 Remake
Dijual sejak 24 Mac
Residentil Evil 4 2023 adalah olahan semula kepada permainan sama tahun 2005. Kali ini ia hadir dengan grafik lebih tinggi, pengalaman lebih menyeramkan dan mengerikan, tatamain yang lebih mencabar dan ada potensi membawa ke mimpi ngeri. RE4 mengekalkan banyak elemen klasik yang anda akan ingat dahulu cuma kini dalam pengalaman bermain yang lebih imersif dan mendebarkan.
Positif
Mengimbau kembali kenangan silam
Pengalaman bermain yang lebih mencabar dan menyeramkan
Tatamain yang lebih menarik memberi kepuasan tambahan
Negatif
Beberapa aspek side quest agak mencabar dan membazir masa
9

Sohor Kini