Zarifah Ismail merupakan Pembantu Penerbit yang secara khususnya terlibat dengan projek Rust Console Edition. Beliau menyertai Double Eleven sebagai studio sulung di dalam industri permainan video dengan sebelum ini terlibat di dalam sektor korporat selama 4 tahun dan merupakan graduan dalam bidang perakaunan.
Bagi Zarifah Ismail keinginan untuk menyertai industri permainan video tiba kerana perasaan ingin tahu. Beliau telah bermain permainan video sejak kecil lagi dan daripada inilah menghasilkan perasaan ingin tahu mengenai bagaimana sesuatu permainan itu dihasilkan.

Oleh itu, boleh dikatakan yang beliau telah mempunyai perasaan ingin tahu mengenai industri ini lebih 20 tahun, dan terlibat dengan industri ini adalah satu perkara yang tidak dijangkakan tetapi perasaan ingin tahu itu telah membawa ke mana beliau berada sekarang.
Sebagai pembantu penerbit, Zarifah Ismail bertanggungjawab untuk memastikan kerjasama di antara pasukan di KL dengan pasukan di UK berlaku dengan baik – dengan mengurus komunikasi di antara pasukan dan juga membantu di dalam perancangan dan mengurus senarai kerja projek.
Pengalaman Bekerja Dengan Double Eleven
Semasa saya menyertai industri ini buat pertama kali, sudah ada persepsi mengenai perlu bekerja lebih masa dan saya juga sudah menjangkakannya. Double Eleven ada menyatakan mengenai budaya anti-crunch akan tetapi tidak menjangkakan yang ia benar-benar berlaku semasa saya menyertai mereka. Setakat ini, pengalaman berkerja di Double Eleven adalah sangat baik. Tambahan pada itu, setiap staf juga sangat terbuka dan mesra. Setiap orang bersedia untuk membantu dan mengajar kerana saya masih baharu di dalam industri ini. Terdapat banyak perkara yang saya tidak tahu, dan berbanding saya diminta untuk mengetahui kesemua perkara, saya diberikan masa untuk belajar apa yang saya perlu tahu untuk melakukan tugasan saya ini.
Cabaran Dan Pencapaian Terbaik Di Dalam Karier
Pencapaian terbaik saya bagi karier adalah bekerja dengan Double Eleven kerana sejak daripada kecil lagi saya mempunyai cita-cita untuk bekerja di dalam industri permainan video. Ia juga hadir dengan cabaran tersendiri, terutama kerana saya menyertai industri ini daripada industri yang berlainan. Berada di studio ini membolehkan saya belajar banyak mengenai industri ini – bagaimana setiap pasukan bekerjasama, bagaimana permainan dibangunkan, dan juga selok belok mengenai industri. Berada di Double Eleven juga memberi peluang kepada saya untuk berkembang secara profesional dan juga peribadi.
Nasihat Untuk Terlibat Dengan Industri Permainan Video
Sebagai pembantu penerbit, anda tidak perlu tahu secara mendalam mengenai kemahiran teknikal dan juga kreatif kerana ia lebih memfokuskan kepada orang dan juga pengurusan projek. Oleh itu, ia adalah penting untuk mempunyai kemahiran di dalam pengurusan projek dan pada masa sama mengetahui mengenai kitaran pembangunan permainan video agar dapat memastikan kesemua perkara berjalan seperti yang dirancangkan.
Saya juga banyak terlibat menjadi perantara di antara semua pasukan yang terlibat dengan sesuatu projek, oleh itu anda perlu sentiasa cakna dengan perkembangan terbaru dan juga mempunyai kemahiran untuk melakukan beberapa tugasan pada satu masa, agar apabila pasukan memerlukan sesuatu informasi, anda bersedia dengan informasi tersebut.

Terima kasih Double Eleven Malaysia kerana memberi kami peluang untuk menemubual, mengenali dan belajar mengenai pembangunan permainan video. Zarifah Ismail adalah salah seorang yang terlibat di dalam sesi temubual bersama dengan pembangun Double Eleven. Selain beliau, kami juga menemubual Jeff Mahadi (Ketua Artis Konsep), Mohit Kumawat (Ketua QA) dan Mau Iida (Ketua Pengaturcara).


