Jeff Mahadi merupakan Ketua Artis Konsep bersama dengan Double Eleven Malaysia. Beliau menyertai studio ini pada tahun 2021 akan tetapi sudah terlibat dengan industri permainan video lebih kurang 16 tahun yang lepas iaitu sejak tahun 2006 lagi.
Beliau tidak bermula dengan latar belakang permainan video, sebaliknya mempunyai ijazah di dalam animasi dan pernah menghasilkan filem dan animasi. Beliau pernah terlibat dengan industri filem dan animasi buat seketika bersama dengan Les’ Copaque untuk projek “Upin dan Ipin” dan pelbagai projek lain.
Namun, selepas beralih ke industri permainan video, beliau mendapati yang industri ini terasa lebih memberi ‘ganjaran’ – apabila membangunkan permainan video dan melihat orang bermain permainan tersebut ia memberi kepuasan, menurutnya.
Bagi Jeff Mahadi, permainan video juga mempunyai lebih banyak interactivity di antara pemain dan juga pembangun dan melihat perkara tersebut memberi lebih kepuasan kepadanya.
Sebagai Ketua Artis Konsep, Jeff Mahadi bertanggungjawab untuk mengurus, menyokong dan membangunkan pasukan karya konsep. Beliau sendiri juga terlibat di dalam penghasilan menghasilkan konsep untuk Double Eleven.
Pengalaman Bekerja Dengan Double Eleven
Double Eleven adalah satu studio yang sangat terbuka dan memberi sokongan yang baik kepada staff terutama staf yang baharu. Mereka juga menyediakan peralatan, tunjuk ajar, dan masa untuk staf belajar dan berkembang. Double Eleven boleh dianggap sebagai satu studio pembangunan penuh dan berbeza dengan kebanyakan studio pembangunan di Malaysia yang kebiasaannya memfokuskan kepada satu perkhidmatan sahaja, Namun, di Double Eleven kesemua bahagian pembangunan dilakukan sendiri. Oleh itu, studio ini mempunyai kesemua bahagian, dan setiap orang di sini saling bantu-membantu tidak kira dari KL ataupun UK. Kami menganggap sebagai diri kami sebagai satu kumpulan berbanding dua studio di lokasi berbeza.
Kerjasama Dengan Pasukan atau Bahagian Lain
Pasukan produksi akan memastikan semua yang terlibat adalah mengikut jadual dan bajet bagi projek tersebut. Secara ringkasnya, pembangunan permainan video bermula dengan binaan yang kecil – yang mengandungi tatamain asas, pereka kemudian akan menggunakan peralatan untuk menghasilkan prototaip dan pengaturcara akan menghasilkan sistem yang khusus untuk permainan tersebut. Bagi artis, kami akan memastikan permainan dipertingkatkan dengan visual dan QA akan memastikan kualiti permainan terjamin.
Bekerja Dengan Pembangun Di UK
Bagi pasukan seni, kebanyakan tugasan adalah diberikan secara khusus kerana mereka mempunyai kebolehan dan juga kepakaran untuk melakukan tugasan tersebut. Oleh itu, ia akan mengambil masa yang lama sebelum tugasan tersebut dikongsi dengan pasukan lain. Kebanyakan masa, tugasan tersebut akan dilakukan dari awal hingga akhir secara bersendirian.
Cabaran Dan Pencapaian Terbaik Di Dalam Karier
Bagi saya cabaran dan juga pencapaian terbaik adalah pertama kali terlibat dengan pembangunan untuk permainan konsol. Saya bermula dengan pembangunan untuk permainan PC dan juga menghasilkan permainan kasual. Akan tetapi apabila saya terlibat dengan permainan untuk konsol, saya mula menyedari kelainan dan juga cabaran pembangunan yang lebih kompleks.
Cabaran utama adalah untuk membawa permainan PC ke konsol kerana konsol mempunyai hadnya tersendiri. Kami juga perlu memastikan permainan menyeronokkan dan boleh dimainkan di pelbagai platform yang berbeza. Oleh itu, ia adalah satu cabaran yang akan menjadi pencapaian apabila berjaya dilakukan.
Nasihat Untuk Terlibat Dengan Industri Permainan Video
Nasihat saya kepada pelajar yang ingin terlibat di dalam seni adalah bermula secara kecil-kecilan. Ia adalah satu perkara yang sangat penting. Kebiasaan, pelajar ingin bermula dengan idea yang besar kerana mereka sangat teruja dan bercita-cita tinggi. Contohnya, apabila pelajar bermain Fortnite dan mereka ingin menghasilkan permainan seperti Fortnite. Ia tidak mustahil, akan tetapi adalah lebih baik jika bermula dengan perkara yang kecil terlebih dahulu.
Jika anda bermain permainan seperti Rust untuk PC contohnya, anda boleh bermula dengan menghasilkan mod, kostum, peralatan, senjata dan juga fungsi-fungsi tertentu dan anda boleh mencubanya secara terus di dalam permainan. Jika anda melihat rekaan tersebut di dalam permainan video, itu secara sendirinya sudah mencukupi untuk memberi motivasi dan inspirasi bagi menghasilkan karya lain di dalam permainan video. Daripada itu, anda boleh kembangkan kemahiran dan juga terus belajar daripada orang lain. Anda boleh merujuk buku untuk belajar dan melihat bagaimana artis hadir dengan karya berdasarkan idea mereka.
Terima kasih Double Eleven Malaysia kerana memberi kami peluang untuk menemubual, mengenali dan belajar mengenai pembangunan permainan video. Jeff Mahadi adalah salah seorang yang terlibat di dalam temubual ini dengan temubual seterusnya bersama Mau Iida (Ketua Pengaturcara), Mohit Kumawat (Ketua QA) dan Zarifah Ismail (Pembantu Penerbit) akan diterbitkan tidak lama lagi.