Skip to main content

Mohit Kumawat merupakan Ketua Kawalan Kualiti (QA) di Double Eleven Malaysia di mana beliau menyertai studio tersebut pada akhir tahun lepas tetapi sudah terlibat dengan industri permainan video sejak 8 tahun yang lepas bersama dengan Ubisoft dan membangunkan permainan seperti Far Cry 5, Far Cry 6, dan Ghost Recon Breakpoint.

Sebagai ketua kawalan kualiti, Mohit Kumawat bertanggungjawab untuk mengurus dan memerhati pasukan QA yang terlibat dengan pelbagai projek bagi memastikan strategi pengujian dilakukan dengan betul agar dapat memaksimumkan efisiennya. Beliau juga menyokong pasukan-pasukan lain seperti Kod, Rekaan, dan Karya.

Mohit Kumawat adalah graduan jurutera elektrikal akan tetapi tidak pernah menyukai bidang tersebut. Sebaliknya lebih banyak meluangkan masa bermain permainan seperti Dota 2 dan Counter Strike. Melihat dirinya telah meluangkan masa yang lama bermain permainan video, beliau merasakan yang mengapa tidak menjadikannya satu karier.

Beliau bermula sebagai QA Tester dan ada mencuba untuk menjadi pereka akan tetapi dia menyedari yang kemahiran pemerhatiannya adalah lebih baik, oleh itu beliau terus terlibat dalam bidang QA.

Pengalaman Bekerja Dengan Double Eleven

Saya ingin berkongsi mengenai pengalaman bekerja di dalam industri permainan video di India dan bandingkannya dengan Double Eleven yang bagi saya mempunyai perbezaan besar. Di dalam industri permainan video, bekerja untuk satu masa yang panjang telah menjadi satu perkara yang dijangkakan tetapi menyertai Double Eleven dan melihat bagaimana mereka mengetengahkan budaya anti-crunch adalah sangat unik dan sesuatu yang saya sangat gemari. Tambahan pada itu, Double Eleven juga terbuka kepada setiap pasukan dengan memastikan arahan sentiasa jelas dan sebarang perbincangan mengenai projek lebih memfokuskan kepada aspek kreatif untuk projek tersebut.

Kerjasama Dengan Pasukan atau Bahagian Lain

Saya bekerjasama dengan pelbagai pasukan lain seperti penerbit, artis, pengaturcara dan juga produksi di Malaysia dan juga dengan pereka yang bertempat di UK.

Bekerja Dengan Pembangun Di UK

Kami sentiasa bekerja bersama dengan pasukan di UK. Perbezaan masa di antara dua negara adalah satu kelebihan kepada kami kerana ia memberikan kami jumlah waktu produksi selama 13 jam termasuk juga 3 jam di mana kedua-dua cawangan sedang beroperasi.

Ini memberi kelebihan kepada kami kerana apabila pasukan di Malaysia menamatkan hari kerja mereka, ia akan disambung pula oleh pasukan di UK. Oleh itu, kami jarang perlu bekerja lebih masa melainkan sesuatu tugasan itu bergantung kepada individu tertentu. Namun sebagai ketua QA, saya akan rancangkan masa pasukan agar mereka tidak perlu bekerja lebih masa.

Cabaran Dan Pencapaian Terbaik Di Dalam Karier

Cabaran untuk saya adalah menggunakan pengalaman saya sebagai QA Tester untuk mengurus pasukan QA dan juga perlu memastikan yang saya memberi motivasi yang baik kepada pasukan. Pencapaian utama saya adalah penglibatan saya dengan Rust Console Edition di Double Eleven. Keperluan untuk memahami permainan yang kompleks ini dan menyertakan sokongan kepada pasukan lain agar kami dapat mencapai sasaran sebagai satu pasukan.

Nasihat Untuk Terlibat Dengan Industri Permainan Video

Bagi saya, saya cadangkan kepada yang berminat untuk terlibat dengan bahagian QA untuk terus bermain permainan video – tidak kira permainan yang besar ataupun kecil. Anda perlu tahu genre-genre permainan yang ada di pasaran dan yang mana yang anda suka agar dapat memahami dengan lebih lanjut mengenai permainan tersebut.

Waktu sekarang terdapat juga pelbagai rujukan untuk belajar mengenai sesuatu permainan – terdapat buku, video YouTube dan juga tutorial. Ia juga adalah penting untuk berhubung dengan orang yang sudah berada di dalam industri ini agar dapat belajar mengenai kemahiran yang diperlukan. Jika anda mempunyai mentaliti yang tepat dan minat untuk membangunkan permainan video, perkara lain seperti belajar kemahiran teknikal boleh dilakukan semasa anda sedang bekerja.

Terima kasih Double Eleven Malaysia kerana memberi kami peluang untuk menemubual, mengenali dan belajar mengenai pembangunan permainan video. Mohit Kumawat adalah salah seorang yang terlibat di dalam temubual ini dengan temubual bersama Jeff Mahadi (Ketua Artis Konsep) dan Mau Iida (Ketua Pengaturcara) sudah dikeluarkan serta Zarifah Ismail (Pembantu Penerbit) akan diterbitkan tidak lama lagi.

Leave a Reply