Mau Iida merupakan Ketua Pengaturcara (Code Lead) di Double Eleven dan telah bersama dengan studio ini lebih tiga tahun. Sebelum ini, beliau sudah terlibat dengan industri permainan video selama 16 tahun antaranya bersama dengan studio permainan video dari Jepun iaitu ‘Yuke’s’ yang membangunkan permainan seperti UFC dan WWE.
Semasa seorang pelajar, Mau Iida belajar di dalam bidang Arkitek akan tetapi pembelajaran tersebut hanya bertahan selama 6 bulan sebelum beliau menukar jurusan kepada pengaturcaraan kerana tidak mempunyai minat di dalam bidang tersebut sebaliknya lebih suka meluangkan masa untuk bermain permainan video seperti Diablo 2 dan permainan sejarah China.

Pada awalnya, beliau ingin menjadi pereka permainan video dan melancarkan permainan sendiri akan tetapi semasa menjadi pengaturcara, beliau lebih meminati untuk belajar mengenai teknologi dan bahasa pengaturcaraan dan memilih menjadi pengaturcara permainan video sebagai kerjaya.
Sebagai Ketua Pengaturcara, Mau Iida bertanggungjawab untuk menyelia sistem permainan, pelaksanaannya dan memastikan ia boleh dijalankan dan berfungsi dengan baik. Beliau juga bekerja bersama dengan bahagian lain seperti Rekaan, Seni dan QA serta terlibat dengan pembinaan dan penyahpepijatan kod dan juga pengoptimuman prestasi.
Pengalaman Bekerja Dengan Double Eleven
Pengalaman saya di dalam industri permainan video sedikit berbeza kerana saya pernah bekerja di Jepun. Studio permainan di Jepun bekerja keras dan sering bekerja lebih masa. Namun, sejak bersama dengan Double Eleven pengalaman adalah berbeza kerana keseimbangan kehidupan bekerja menjadi keutamaan di dalam budaya anti-crunch studio ini. Kami tidak akan meminta pasukan untuk bekerja lebih masa, melainkan di dalam situasi-situasi yang tertentu. Ia juga dibantu oleh pasukan HR yang menjaga setiap staf dengan baik, memastikan keadaan yang terbaik termasuk juga dari segi kesihatan mental.
Kerjasama Dengan Pasukan atau Bahagian Lain
Bagi pengaturcara, ia bergantung kepada fasa di mana sesuatu projek itu berada. Semasa kami memulakan projek baharu, pengaturcara akan bekerja bersama dengan pereka untuk konsep permainan dan menghasilkan prototaip untuk mencubanya. Selepas kami telah hadir dengan konsep yang baik, kami akan bekerjasama dengan artis untuk mengembangkan lagi permainan tersebut dan juga melihat bagaimana grafik boleh disertakan di dalam prototaip tersebut.
Selepas sudah ada prototaip yang memuaskan, pereka akan memperhalusi dokumen rekaan dan mengintegrasikannya ke dalam permainan. Pada waktu inilah pasukan QA akan menguji binaan tersebut dan memastikan setiap bahagian berfungsi dengan baik.

Bekerja Dengan Pembangun Di UK
Bagi pengaturcara, kami mengambil masa yang lebih lama sebelum menghantarnya ke pasukan yang lain, akan tetapi ia juga bergantung kepada keadaan semasa dan setiap keadaan mempunyai masa yang berlainan.
Cabaran Dan Pencapaian Terbaik Di Dalam Karier
Cabaran utama bagi saya adalah apabila saya mula mengurus pembangun lain dan juga pasukan saya sendiri. Semasa saya bermula, fokus saya adalah memastikan kod yang saya hasilkan digunakan dengan baik di dalam permainan video. Selepas saya menjadi pengurus untuk pasukan sendiri, saya perlu mengurus fungsi permainan yang lebih rumit dan juga perlu memastikan pasukan saya dapat bekerjasama dengan baik untuk mencapai sasaran projek.
Nasihat Untuk Terlibat Dengan Industri Permainan Video
Bagi sesiapa yang ingin menjadi pengaturcara, perkara yang paling penting adalah untuk belajar enjin permainan dan bermula dengan kecil-kecilan. Tidak mempunyai pengalaman di dalam pengaturcaraan bukan satu masalah, kerana anda boleh belajar asas untuknya secara sendiri. Selepas mula memahami mengenainya, boleh mencuba pengaturcaraan dengan lebih mendalam dan memperluaskan portfolio.

Terima kasih Double Eleven Malaysia kerana memberi kami peluang untuk menemubual, mengenali dan belajar mengenai pembangunan permainan video. Mau Iida adalah salah seorang yang terlibat di dalam temubual ini dengan temubual seterusnya bersama Jeff Mahadi (Ketua Artis Konsep) yang sudah diterbitkan sebelum ini dan Mohit Kumawat (Ketua QA) serta Zarifah Ismail (Pembantu Penerbit) akan diterbitkan tidak lama lagi.