Nampaknya dunia filem DC masih serabut dan tidak ada arah tuju. Filem Batgirl yang ramai nantikan telah dibatalkan oleh Warner Bros. Discovery. Walaupun sudah ada CEO baharu, iaitu David Zaslav – yang ramai harapkan mampu dapat pulihkan dunia DC ia masih tidak membantu.

Menurut laporan, Warner Bros. Discovery telah mengadakan ujian tayangan dan ia tidak menerima sambutan yang baik. Filem ini sudah pun hampir siap, di mana berada di fasa akhir pasca-produksi dan telah menelan bajet sebanyak $90 juta iaitu sekitar RM400 juta.

Belum sempat disunting atau melakukan penggambaran semula selepas menerima maklum balas daripada sekumpulan kecil penonton, eksekutif Warner Bros. bercadang untuk terus batalkan filem ini. Pada asalnya filem Batgirl ingin disiarkan secara eksklusif di HBO Max dan turut mempertimbangkan untuk tayangkan di pawagam.

Filem Batgirl ada potensi untuk menjadi hebat dan mengubah hidup Leslie. Ini kerana ramai pelakon hebat menyertai filem ini dan ada harapan juga memulihkan dunia DC. Batgirl turut akan mempunyai penglibatan J.K. Simmons sebagai Commisioner Gordon, Michael Keaton kembali sebagai Batman/Bruce Wayne dan Brendan Fraser sebagai penjahat Firefly. Filem ini diarahkan oleh Adil El Arbi dan Bilall Fallah, iaitu pengarah filem Bad Boys For Life dan antara individu terlibat dengan Ms. Marvel.

Dengan sudah habis sekitar RM400 juta, David yang ingin jimat kos pada filem yang disiarkan ke penstriman mungkin tidak mahu keluarkan lagi bajet untuk lakukan penggambaran semula selepas mendengar maklum balas dari sekumpulan kecil penonton dalam ujian tayangan. Filem ini nampaknya akan terkubur terus dalam arkib Warner Bros. Discovery.

Sohor Kini