Pasti ramai yang perasan, Netflix sejak kebelakangan ini memfokuskan kepada banyak kandungan yang sesuai dengan pasaran Asia. Terdapat lambakan siri TV dan filem Korea dan Jepun. Di Asia juga adalah pasaran di mana harga langganan antara yang paling murah, contohnya pelan peranti mudah-alih sahaja.

Tetapi sejak kebelakangan ini, Netflix mengalami kerugian yang teruk. banyak pelanggan yang bertahun setia mula meninggalkan mereka. Sehingga baru-baru ini mereka terpaksa membuang ratusan pekerja. Netflix juga cuba menarik hati orang ramai dengan menawarkan permainan video pula pada platform mereka. Netflix turut menyalahkan pengguna mereka yang berkongsi akaun sebagai faktor kehilangan pelanggan.

Turut tidak terkejut dengan pesaing yang mula menawarkan lebih banyak kandungan menarik, membuatkan pelanggan beralih kepada platform lain seperti HBO Max. Malaysia adalah antara negara yang mempunyai pegangan terbesar untuk Netflix, dengan Viu ditempat kedua.

Dalam satu temuramah Bloomberg bersama Tony Zameczkowski, iaitu naib presiden pembangunan perniagaan Asia Pasifik – walaupun mengalami penurunan pendapatan dan kehilangan pelanggan mereka akan terus melabur kepada pasaran Asia untuk menghasilkan siri TV dan filem Netflix Originals. Pada tahun lepas, mereka membelanjakan sehingga RM2 bilion untuk kandungan Korea.

Kehadiran siri TV seperti Squid Game dan Hellbound turut menyumbang kepada penambahan pelanggan, tetapi itu pun masih tidak menguntungkan. Mereka perlu seimbangkan jumlah pelanggan Asia dengan pasaran Amerika Utara dan Eropah.

Jadi kelak jangan terkejut jika akan ada lambakan lagi pelbagai kandungan untuk pelanggan Asia. Tetapi lambakan kandungan ini turut menjadi masalah, kerana undang-undang dan persepsi masyarakat moden yang semakin sensitif – banyak elemen dalam kandungan mereka terpaksa dibuang kerana sukar diterima orang.

Sohor Kini