Netflix sebelum ini telah mengumumkan yang mereka kehilangan 200 ribu pelanggan untuk suku ini, dan menjangka kehilangan 2 juta pelanggan lagi pada suku depan.
Mereka mengatakan yang ini adalah disebabkan peperangan yang berlaku di Ukraine dan Rusia, di mana mereka menghentikan operasi di negara tersebut. Selain itu, mereka juga mengatakan persaingan yang semakin bertambah serta perkongsian akaun adalah sebab lain yang menyebabkan pengurangan ini.
Sebagai salah satu cara untuk mengekalkan pelanggan dan memberi nilai tambah kepada mereka, Netflix juga telah mula menawarkan permainan mudah alih. Mereka telah mengambil alih tiga studio permainan video iaitu Boss Fight Entertainment, Night School Studios dan Next Games.
Menurut The Washington Post, Netflix juga ingin menawarkan permainan video bersama dengan siri TV ataupun filem sepertimana yang dilakukan untuk Stranger Things dan Exploding Kittens di mana ia akan menerima permainan mudah alih dan juga siri animasi.
Laporan tersebut mengatakan yang Netflix menyasarkan untuk mempunyai 50 permainan mudah alih pada akhir tahun ini, dengan ia kini mempunyai 18 permainan, kita boleh jangkakan yang ia akan menerima sekurang-kurangnya 32 permainan lagi sepanjang tahun ini.