Minggu ini adalah Minggu Netflix Geeked 2022. Banyak yang Netflix telah kongsi kepada umum seperti rekaan kapal untuk siri aksi nyata One Piece, musim kedua untuk siri zombi Korea All of Us Are Dead, rekaan watak Wednesday Addams lakonan Jenny Ortega, siri antologi seram Mike Flanagan The Midnight Club dan juga treler musim ketiga Locke And Key.

Ada banyak lagi sebenarnya yang diumumkan Netflix, berikut adalah lanjutan daripada pengumuman mereka;

Resident Evil

Treler baru kali ini mendedahkan lebih banyak zombi, raksasa, kejahatan Wesker, anjing zombi, raksasa yang jelas sekali adalah Licker serta Wesker yang mungkin bereksperimen ke atas diri beliau denag T-Virus. Siri ini akan disiarkan pada 14 Julai akan datang.

The Sandman

The Sandman adalah antara siri yang ramai juga nantikan. Ia adalah adaptasi aksi nyata daripada karya Neil Gaiman yang terkenal dengan judul sama. Treler yang didedahkan nampak cukup menarik dengan visual sedikit menyeramkan, misteri dan seakan mimpi – memberi identiti kepada pari-pari Sandman. Ia akan disiarkan pada 5 Ogos akan datang.

Guillermo Del Toro Cabinet Of Curiosities

Nampaknya Mike Flanagan akan mempunyai pesaing untuk siri antologi seram. Siri ini ditulis oleh penulis filem seperti  MandyThe Vigil, The Babadook dan banyak lagi penulis filem seram hebat. Tidak banyak yang didedahkan, tetapi ia nampak cukup mengerikan dan menyeramkan membuatkan aku yang peminat kandungan seram ngeri tidak sabar untuk menantikannya. Sayang sekali tiada tarikh yang diberikan.

Sweeth Tooth Musim Ke-2

Baca: Apa Kami Tonton Minggu Ini? #3 – Bram Stoker’s Dracula, MCU Fasa 1, Record of Ragnarok Dan Sweet Tooth

Sweet Tooth adalah siri TV fantasi mengenai dunia pasca-malapetaka, di mana bayi yang dilahirkan menjadi hibrid manusia dan haiwan kerana serangan virus. Ia adalah produksi daripada Robert Downey Jr. Ia akan meneruskan kisah Gus seorang manusia hibrid rusa yang ingin mencari ibunya dan merungkai misteri di sebalik kejadian malapetaka yang berlaku.

Warrior Nun Musim Ke-2

Siri ini adalah kisah biarawati yang menentang dengan pelbagai makhluk dari neraka, Ava Silva. Beliau menggunakan kuasa ghaib untuk menyelamatkan dunia. Aku yang belum tonton musim pertama terus menjadi tidak sabar untuk maratonton kerana treler musim kedua ini nampak cool dan gempak dengan penglibatan sihir, penjahat yang lebih dahsyat dan aksi hebat. Siri ini akan disiarkan pada sekitar musim sejuk akan datang.

Shadow And Bone Musim Ke-2

Dengan ancaman dari Shadow Fold, Alina terpaksa menyertai pasukan askar Grisha yang melatih askar dengan kuasa unik. Kerana beliau mempunyai kuasa yang begitu dahsyat sehinggakan ramai dengki dan cuba menghentikan beliau. Siri ini diadaptasi daripada novel dengan judul sama oleh Leigh Bardugo dan musim kedua nampaknya akan tiba tidak lama lagi kerana sesi penggambaran sudah pun selesai.

Klip Khas Kediaman Baharu Pasukan Umbrella Academy Untuk Musim Ke-3

Kita tahu apa yang berlaku dengan Umbrella Academy dalam musim kedua. Disebabkan mereka mengubah garis masa dengan merentas masa serta bertemu dengan bapa angkat beliau, dunia mereka sekarang tiada Umbrella Academy, tetapi Sparrow Academy. Ciapan baharu mereka mendedahkan kediaman baharu untuk mereka tinggal. Adakah Umbrella vs Sparrow sepanjang musim atau mereka akan berganding bahu menentang musuh lebih hebat? Ia akan disiarkan pada 22 Jun akan datang.

Manifest Musim Ke-4

Manifest adalah siri TV yang dihasilkan oleh NBC dengan tiga musim. Ia tamat dengan musim ketiga dan menjadi popular ketika pandemik tengah dahsyat melalui Netflix. Nampaknya kisah mereka belum tamat dan kini ia menjadi siri Netflix Originals untuk musim baharu. Ia adalah kisah bagaimana penumpang dalam kapal terbang hilang dan merentas masa dan mempunyai konspirasi. Boleh kata seakan Lost untuk era baru?

1899

Ingat lagi siri Dark di Netflix? Ia adalah siri yang membabitkan sekumpulan remaja merentas masa melalui gua. Ia cukup popular dan menarik untuk ditonton. Daripada pencipta yang sama, mereka hadir dengan 1899 pula. Ia adalah satu lagi siri seram dan misteri dan dilihat dalam treler akan ada banyak kematian dan mungkin juga bermain dengan masa.


Ini adalah antara apa yang kami rasakan di Aksiz menarik untuk dilayan akan datang. Ada banyak lagi yang Netflix Geeked 2022 dedahkan. Anda tidak sabar untuk tonton yang mana?

Sohor Kini