Konsep permainan olahan semula ataupun “Remake” semestinya tidak asing untuk industri permainan video yang mana permainan-permainan klasik sering sekali diberi nafas baharu dengan teknologi terkini dan ia bukan sahaja dilancarkan semula dengan mengembangkan lagi bentuk permainan dan visual, malah keterangan penceritaan yang lebih mendalam.

Antara senarai permainan yang diolahkan semula untuk tahun ini yang mendapat perhatian ramai semestinya Final Fantasy VII Remake yang baru sahaja dilancarkan minggu lepas dan boleh dikatakan ia satu olahan semula yang sangat baik oleh Square-Enix.

Walaupun begitu, hari ini saya tidak akan bercakap berkenaan siri tersebut dan akan memfokuskan satu lagi siri permainan olahan semula yang juga dilancarkan bulan ini iaitu Resident Evil, di mana 3 April 2020 lepas, Capcom baru sahaja melancarkan permainan olahan semula Resident Evil 3 berdasarkan permainan Resident Evil 3: Nemesis di konsol PlayStation 1 pada tahun 1999 lepas.

Semestinya ini bukanlah satu rencana ulasan untuk permainan tersebut dan bagi anda yang ingin membaca ulasannya, anda boleh ke artikel ini. Apa tujuan artikel ini hari ini adalah saya ingin mengupas berkenaan olahan semula buat siri tersebut atas sebab baru-baru ini kita mendapat pelbagai laporan berkenaan Capcom ingin melancarkan satu lagi permainan olahan semula untuk Resident Evil 4 yang akan dibangunkan oleh M-Two, iaitu studio pembangun permainan oleh Tatsuya Minami, bekas pembangun dari Platinum Games dan penerbit siri Resident Evil dari Capcom sendiri.

Ura-Ura Masa Hadapan Siri Resident Evil

Untuk rujukan, laporan berkenaan permainan olahan semula buat permainan Resident Evil 4 adalah daripada Video Games Chronicle yang mana mereka melaporkan permainan tersebut dirancang untuk dilancarkan pada 2022 ini.

Menariknya, melalui laporan tersebut, Shinji Mikami iaitu pengarah asal untuk permainan Resident Evil 4 memberi kebenaran dan nasihat arah permainan terhadap Capcom untuk membawa kembali permainan tersebut. Akan tetapi, Shinji Mikami menolak tawaran untuk melibatkan diri di dalam pembangunannya.

Akan tetapi, dari segi informasi lanjut berkenaan pembangunan ataupun olahannya, setakat ini tiada laporan tambahan lain.

Sebelum ini, kita juga dilaporkan yang mana Capcom juga sedang membangunkan permainan Resident Evil 8 ataupun Resident Evil Village dengan penamaan nombor roman VIII di dalam tajuk tersebut, akan dilancarkan sekitar tahun hadapan.

Apa yang menariknya berkenaan laporan tersebut adalah Resident Evil 8 akan mengekalkan bentuk dan konsep permainan pandang pertama seperti Resident Evil 7, namun menyertakan beberapa elemen baharu seperti halusinasi seperti Resident Evil 3.5 dan musuh mistik seperti serigala jadian yang boleh dikatakan agak berlainan berbanding siri Resident Evil lain yang memfokuskan elemen zombi.

Selain itu, terdapat beberapa laporan juga menyatakan yang mana Resident Evil 8 akan sekali lagi memfokuskan watak Ethan Winters dan juga watak Chris Redfield dengan meletakkan di persekitaran perkampungan yang seakan sama dengan Resident Evil 7 dan Resident Evil 4. Berdasarkan khabar angin juga, Resident Evil 8 asalnya dibangunkan sebagai permainan Resident Evil Revelation 3, namun ditukarkan pembangunannya ke Resident Evil 8 selepas beberapa perubahan.

Kita sendiri tahu yang mana siri Resident Evil ini sudah pun mempunyai pelbagai permainan sampingan dan merupakan salah satu siri yang sangat terkenal secara global sehingga ianya juga mempunyai filem aksi-nyata sendiri oleh Paul W.S. Anderson dan juga filem animasi. Walaupun filem aksi-nyata tersebut tidak berkaitan dengan permainan, filem animasi seperti Resident Evil Degeneration, Damnation dan Vendetta adalah berkaitan dengan siri utama permainan tersebut dan antara aspek perkembangan penceritaan yang penting untuk keseluruhan siri permainan Resident Evil.

Satu Lagi Permainan Olahan Semula Resident Evil?

Tetapi, berbalik kepada topik utama artikel ini, adakah kita perlukan lagi permainan olahan semula buat siri Resident Evil ini?

Jika anda mengikuti siri Resident Evil ini, anda sendiri semestinya tahu yang mana permainan olahan semula Resident Evil 2 yang dilancarkan tahun lepas bukanlah tindakan pertama untuk bentuk “olahan semula” oleh Capcom di mana di konsol Wii beberapa tahun lepas, Capcom juga melancarkan permainan Resident Evil: The Darkside Chronicles yang memfokuskan beberapa penceritaan saat genting dari insiden Raccoon City dan permainan Resident Evil: Code Veronica.

Jika ingin menyenaraikan keseluruhan permainan Resident Evil, ianya telah pun mempunyai lebih dari 20 permainan dan suku daripadanya hanyalah permainan yang diolahkan semula. Tidak dicampurkan juga dengan permainan yang dilancarkan semula di konsol-konsol generasi kini dengan sokongan resolusi yang lebih tinggi dan beberapa pernambah-baikkan, yang saya sendiri boleh katakan untuk keseluruhan siri utama Resident Evil bermula Resident Evil Zero sehinggalah Resident Evil 7, boleh dimainkan dan dimiliki di konsol PlayStation 4.

Untuk menjawab soalan di atas, pada pendapat saya sendiri secara jujur saya akan cakap tidak. Siri Resident Evil tidak perlu satu lagi permainan olahan semula dan pada pendapat saya Capcom perlu memfokuskan kembali ke akar permainan tersebut dengan apa yang membuatkan siri Resident Evil ini sangat menarik.

Saya akui, tahun lepas kita sendiri dikejutkan dengan permainan olahan semula Resident Evil 2 yang mana saya boleh katakan adalah satu permainan seram pertahanan hidup yang terbaik oleh Capcom di mana ianya bukan sahaja dihasilkan kembali dengan kesan ngeri yang baik malah penceritaan dan kandungan yang menghormati permainan asal. Namun, dukacitanya permainan seterusnya iaitu Resident Evil 3, berasa agak mengecewakan jika ingin dibandingkan dengannya.

Akan tetapi, ini tidak bermakna saya setuju dengan tindakan Capcom untuk membawa kembali permainan sebelum ini sebagai satu permainan olahan semula, seperti yang dilaporkan berkenaan Resident Evil 4 di atas termasuklah juga tindakan Capcom untuk ke arah “mistik” yang menyertakan bentuk halusinasi dan raksasa serigala jadian.

Betul, eksperimen dan perubahan di dalam satu siri permainan adalah bagus jika ianya ke arah yang baik. Namun, sejak pelancaran Resident Evil 4 ke atas, siri ini semakin berubah dengan apa yang membuatkan siri permainan seram ini menarik. Bukan sahaja ianya menjadi terlalu beraksi, malah perubahan besar seperti elemen virus zombi dengan elemen kawalan minda, kultus dan sebagainya, membuatkan siri ini seolah ke arah fantasi.

Berkenaan Resident Evil 4 pula, saya sendiri berasa permainan tersebut sepatutnya dikekalkan begitu sahaja. 2005 lepas, saya sangat menyukai permainan tersebut dan walaupun selepas 15 tahun ianya dilancarkan, saya berasa permainan tersebut masih lagi relevan sekarang ini walaupun ianya mempunyai bentuk permainan yang agak kuno dan terhad jika ingin dibandingkan dengan siri Resident Evil moden.

20 tahun lepas, setiap kali jika saya sebut tajuk Resident Evil, saya mesti akan teringat akan suasana gelap, sempit, kelengkapan terhad, tekaria yang sangat mencabar minda dengan koleksi barangan kunci dan semestinya zombi yang menakutkan. Dengan tidak menjadi keterlaluan dari segi plot, pada pendapat saya Resident Evil 2 adalah satu penterjemahan yang sangat baik untuk siri tersebut dan boleh dikatakan apa yang saya berhasrat untuk Capcom fokuskan.

Semestinya Resident Evil 7 mempunyai beberapa aspek elemen yang sama, namun penceritaan permainan tersebut juga ditambah dengan pelbagai aspek plot yang saya boleh katakan agak lari dari akar utama siri tersebut. Dengan laporan berkenaan siri Resident Evil 8 akan terus ke arah mistik, lagi membuatkan saya berasa semakin kecewa dengan arah tujuan siri ini.


Walaupun begitu, semestinya ini hanyalah pendapat saya sendiri dan berkenaan laporan permainan olahan semula Resident Evil 4 dan kandungan mistik Resident Evil 8, ianya hanyalah satu ura-ura sahaja setakat ini dan Capcom mungkin tidak akan berbuat demikian.

Akan tetapi, menurut laporan Rely On Horror, Capcom juga tampaknya mengadakan sesi soal selidik berkenaan olahan semula yang mana mereka menanyakan soalan buat pemain di pasaran Asia, adakah mereka berminat untuk sebarang permainan olahan semula untuk siri Resident Evil. Semestinya dengan tindakan ini, kita mungkin akan melihat beberapa olahan semula buat siri Resident Evil lain akan kembali pada masa akan datang.

Jika ingin bercakap berkenaan siri olahan semula ini, saya lebih suka jika Capcom fokuskan dengan siri lain terdahulu seperti Onimusha, Dino Crisis ataupun mana-mana hak intelek mereka yang sering dipinggirkan. Setidaknya, Capcom juga boleh mengambil langkah ke belakang dan fikirkan semula kembali bagaimana mereka perlu bawakan kembali aspek seram dan ngeri buat siri Resident Evil supaya ianya tidaklah terlalu pesong dengan elemen “zombi” dan tidak mencuba untuk menjadi permainan seram lain seperti Silent Hill mahupun Outlast.

Dengan ini, saya akhiri rencana ini dengan harapan agar Capcom untuk terus membawa pelbagai lagi permainan yang menarik untuk peminat seperti saya sendiri dan sekali lagi, ini hanyalah pendapat kecil saya sahaja untuk masa hadapan buat siri Resident Evil.

Sejujurnya, jika Capcom berfikir yang mana saya sendiri sebagai seorang peminat, akan habiskan wang saya untuk dapatkan edisi terhad buat permainan olahan semula Resident Evil 4 jika ianya dilancarkan, tindakan mereka semestinya sangat tepat sekali di mana suka ataupun tidak, sebagai peminat siri Resident Evil, saya pasti akan dimakan umpan sekali lagi, walaupun seteruk mana pun siri tersebut terpesong, mereka pasti akan terus mencetak wang melalui siri yang berusia lebih dari 20 tahun ini.

Sohor Kini