Disember lepas, Capcom mengumumkan secara rasmi Resident Evil 3 akan kembali di konsol dan PC yang mana ianya adalah olahan semula berdasarkan permainan asal Resident Evil 3 yang dilancarkan pada 1999 lepas di konsol PlayStation 1.

Minggu ini, melalui temubual di majalah Famitsu, penerbit permainan tersebut iaitu Masao Kawada dan Peter J. Fabiano berkongsi sebilangan informasi lanjut berkenaan permainan tersebut dan beberapa perubahan yang mereka bawa di dalam permainan ini.

Perkara pertama yang kami ingin tekankan di dalam temu bual tersebut adalah pembangunan Resident Evil 3 kini berada di dalam pelarasan akhir dan hampir sudah siap untuk dibangunkan, sekitar 90%. Menurut mereka, di dalam keadaan sekarang mereka menyatakan permainan tersebut tidak langsung akan ditunda dan pasti akan tiba April ini.

Dari segi perubahan daripada permainan asal, antara yang ditekankan adalah watak-watak di dalam permainan ini iaitu Jill Valentine dan Carlos Oliveira.

Seperti anda lihat di video acah sebelum ini, Jill Valentine sememangnya mempunyai perubahan dari segi kostum yang mana menurut penerbit Resident Evil 3, perubahan ini adalah sangat penting untuk bentuk permainan yang lebih beraksi, sekaligus mereka berasa kostum tersebut perlu diubah dari pakaian skirt kepada seluar untuk tidak kelihatan kurang selesa ketika adegan-adegan beraksi.

Dari segi watak Carlos pula, Capcom bukan sahaja mengubah rupa keseluruhan beliau malah personalitinya. Ini kerana mereka ingin tekan watak tersebut dan kembangkan lagi perhubungan beliau dengna Jill dan pada masa yang sama masih mengekalkan personaliti baiknya terhadap teman ahli pasukan UBCS beliau.

Dari segi penceritaan, Capcom mengesahkan Resident Evil 3 masih akan mengekalkan penceritaan asal namun mereka membuat sebilangan perubahan yang mana pemain asal pasti akan menyukai bentuk penyusunan semula yang dihasilkan.

Selain itu, Capcom juga menyatakan yang mana permainan Resident Evil 2 sebelum ini lebih memfokuskan ketakutan terhadap zombi, namun buat Resident Evil 3 ini ianya akan memfokuskan lebih kepada aksi. Ini sekaligus membuatkan tema utama Resident Evil 3 akan berlainan, terutamanya watak Nemesis yang mempunyai sedikit perubahan.

Konsep utama Resident Evil 3 juga diperkatakan sebagai melarikan diri, juga perkara yang sama buat mod multi-pemain, Resident Evil Resistance yang akan disertakan bersama permainan ini. Namun dari segi penceritaan untuk kedua-dua mod tersebut, Capcom sahkan ianya tidak berkaitan dan Resident Evil 3 dan Resident Evil Resistance mempunyai penceritaannya tersendiri.

Semestinya sebagai peminat siri Resident Evil, kami sendiri di Aksiz tidak sabar untuk bermain Resident Evil 3 ini. Dengan olahan yang sangat bagus oleh Capcom sebelum ini di Resident Evil 2, kami percaya Resident Evil 3 pasti akan menjadi satu lagi permainan yang menarik oleh mereka.

Resident Evil 3 akan dilancarkan secara rasmi pada 3 April 2020 ini di konsol PlayStation 4, Xbox One dan PC.

Leave a Reply