Informasi Permainan Video Terkini
Ulasan Resident Evil 3 – Pengolahan Semula Yang Kosong Dan Tidak Sebaik Olahan Pendahulu
PC

Ulasan Resident Evil 3 – Pengolahan Semula Yang Kosong Dan Tidak Sebaik Olahan Pendahulu

Diterbitkan pada Apr 7, 2020 oleh .

Seperti tahun lepas, Capcom kali ini membawa kembali salah satu permainan seram klasik yang diolah semula untuk tahun ini iaitu Resident Evil 3 di mana ianya dilancarkan secara rasmi pada 3 April 2020 lepas di konsol PlayStation 4, Xbox One dan PC.

Seperti permainan pendahulu iaitu Resident Evil 2, Resident Evil 3 kali ini diolahkan semula berdasarkan permainan asalnya di konsol PlayStation 1 iaitu Resident Evil 3: Nemesis yang dilancarkan pada tahun 1999. Kali ini, ianya menyertakan bukan sahaja visual grafik baharu dengan lebih cantik melalui enjin permainan RE Engine, malah ianya juga memaparkan bentuk permainan baharu yang lebih beraksi dan terbuka.

Namun begitu, setelah Capcom melancarkan permainan olahan semula Resident Evil 2 tahun lepas, adakah kita masih memerlukan satu lagi permainan olahan semula berdasarkan siri zombi seram ini? Ini adalah ulasan kami untuk Resident Evil 3.

Olahan Penceritaan

Bagi anda yang baru dengan permainan Resident Evil 3, ianya sebenarnya bertempatkan sehari sebelum penceritaan di dalam Resident Evil 2 namun di lokasi yang sama iaitu bandaraya Raccoon City. Akan tetapi, penceritaannya sedikit sebanyak tidak berkaitan antara satu sama lain memandangkan kesemua watak antara kedua-dua permainan tersebut tidak bertemu sesama sendiri.

Dari segi penceritaan utama, Resident Evil 3 memfokuskan watak Jill Valentine yang mula diperkenalkan di dalam permainan Resident Evil pertama sebagai salah seorang anggota polis elit, yang dipanggil STARS (Special Tactics And Rescue Service). Penceritaan ini bermula di mana wabak T-Virus iaitu virus utama yang membuatkan manusia menjadi zombi tersebar di bandaraya Raccoon City, sekaligus membuatkan Jill mengambil keputusan untuk beredar dari bandaraya tersebut.

Secara amnya, penceritaan permainan ini agak ringkas dan semestinya pemain tidak perlu bermain mana-mana permainan Resident Evil sebelum ini untuk memahami keseluruhan penceritaan Resident Evil 3. Akan tetapi, memandangkan permainan ini berkait rapat berkenaan syarikat Umbrella iaitu syarikat “Penjahat” utama yang menghasilkan virus tersebut, ianya pasti akan membantu pemain untuk memahami keseluruhan plot jika pemain sudah biasa dengan siri tersebut.

Bagi peminat yang mengikuti siri Resident Evil sebelum ini juga pasti akan memahami mengapa watak penjahat utama iaitu Nemesis mengejar pemain di dalam keseluruhan permainan ini. Walaupun ianya diterangkan di dalam permainan ini, ianya tidaklah begitu jelas kecuali buat anda yang sudah pun memahami keseluruhan kronologi penceritaan siri Resident Evil. Namun, secara keseluruhan ianya tidaklah begitu memberi kesan terhadap gaya penyampaian penceritaan permainan ini.

Apabila bercakap berkenaan pengolahan semula dari segi aspek penceritaan yang dilakukan oleh Capcom di dalam permainan ini, ianya tidaklah begitu banyak berbeza. Bahkan saya berasa ianya banyak dibuang dan dikurangkan jika ingin dibandingkan dengan permainan asalnya. Tambahan itu, permainan ini juga lebih mendatar dan tidak mempunyai pengakhiran berbeza seperti versi 1999 lepas.

Antara terkesan adalah beberapa aspek penceritaan seperti lokasi menara jam dan taman dari permainan asal, dibuangkan yang mana saya sendiri memahami mengapa ianya diperlakukan sedemikian atas sebab ia cuba untuk kembangkan penceritaan di satu lokasi tersebut yang mana saya pasti tidak akan membeberkannya. Akan tetapi, ianya juga memberi kesan terhadap penceritaan permainan ini yang berasa terlalu ringkas dan pendek, yang mana saya sendiri habiskan permainan Resident Evil 3 ini dalam tempoh masa sekitar 5 jam sahaja.

Namun begitu adakah ianya adalah satu penceritaan yang teruk? Tidak semestinya. Secara akarnya, penceritaan permainan olahan ini tidaklah begitu berbeza dengan permainan asal. Bahkan watak-watak asal seperti Brad Vickers, Carlos Oliviera dan Nikolai Zinoviev masih lagi terdapat di dalam permainan ini dan diterjemahkan seakan sama saja dengan permainan asal tanpa sebarang perubahan besar. Namun saya masih lagi menghargai beberapa aspek “perkembangan watak” yang dilakukan di dalam permainan ini walaupun ianya tidaklah begitu besar.

Oleh sebab itu, saya juga tidak boleh katakan ianya bagus atas sebab buat mereka yang pernah bermain permainan asal Resident Evil 3: Nemesis dan ingin mencari sesuatu kelainan dari segi penceritaan buat permainan ini, anda mungkin akan sedikit kecewa.

Walaupun begitu, Capcom masih lagi menyertakan beberapa perbezaan lain yang lebih memfokuskan kepada gaya penyampaian permainan dan bentuk permainan yang akan saya terangkan di bahagian kawalan permainan di bawah.

Visual Grafik Dan Prestasi

Apa yang saya boleh katakan untuk visual grafik dan prestasi permainan Resident Evil 3 ini semestinyalah ia memaparkan visual yang sangat menawan dan begitu menakjubkan sekali seperti permainan pendahulu iaitu Resident Evil 2 yang dilancarkan awal tahun lepas.

Bahkan saya berasa visual permainan ini adalah lebih baik atas sebab segala rekaan kedai-kedai dengan tanda lampu Neon yang diperlihatkan daripada permainan asal juga disertakan dengan rekaan terkini yang sangat menawan. Bukan setakat itu sahaja, gaya permainan ini menggunakan aspek lampu, bayang-bayang dicampur dengan bentuk gaya letak kamera, terus membuatkan elemen seram permainan ini ditingkatkan lagi.

Selain itu, rekaan watak dan ekspresi riak wajah permainan ini juga adalah di tahap tertinggi sekali dengan mana saya boleh katakan, ianya pasti tidak langsung akan mengecewakan peminat. Bercakap berkenaan rekaan watak, saya juga sangat menyukai beberapa aspek perubahan dari segi reka watak dan kostum yang diperlihatkan di dalam permainan ini. Ianya bukan sahaja lebih sesuai dari segi aspek permainan moden, malah ianya berasa tepat dengan tema permainan beraksi ini.

Namun bagi pemain yang ingin bermain dengan rekaan kostum asal, Capcom juga menyertakan pilihan kostum asal buat kedua-dua watak Jill Valentine dan Carlos Oliviera yang dihasilkan dengan rekaan yang sangat tepat dengan rekaan asalnya.

Dari segi prestasi, saya boleh katakan sekali lagi enjin permainan RE Engine tidak mengecewakan saya di mana sepanjang sesi permainan, saya tidak langsung menemui sebarang masalah dari segi prestasi, kelancaran mahupun sebarang masalah kadar bingkai sesaat yang mana tepat dimainkan dengan kadar 60FPS dengan resolusi 4K ataupun 1080p di PlayStation 4 Pro dengan baik sekali.

Kesan Seram Audio

Permainan seram yang bagus semestinya akan ditemani dengan kesan audio dan bunyian yang baik di mana seperti permainan olahan pendahulu Resident Evil 2 tahun lepas, Resident Evil 3 kali ini tidak mengecewakan peminat. Bukan sahaja dari segi aspek muzik yang diterjemahkan dengan baik, malah segala kesan bunyian zombi dan suara latar dihasilkan dengan baik sekali.

Jadi untuk memberi beberapa ulasan tambahan, saya sendiri tidak pasti apa yang saya boleh katakan berkenaan kesan audio permainan ini yang mana boleh saya katakan sudah cukup baik sekali. Bak kata pepatah jika tidak rosak, kenapa perlu dibaiki? Bunyi letupan, tembakan dan kesan-kesan audio lain boleh di katakan adalah salinan daripada permainan sebelum ini yang sudah tidak perlu diubah atas sebab ianya sudah memadai untuk permainan ini.

Manakala watak Nemesis pula boleh dikatakan satu tambahan baru yang sangat menarik dari segi aspek audio kerana selain daripada mendengar tapak kaki beliau bergerak ke arah pemain, anda juga akan mendengar bunyian suara beliau yang sering mengulangi ayat “STARS” setiap kali beliau menghampiri pemain.

Kesan ini bukan sahaja menambahkan gerun buat saya sendiri, malah ianya berasa sangat nyata dan menakutkan atas sebab anda sering mendengarinya ketika sedang dikejar oleh raksasa besar tersebut.

Akan tetapi, jika terdapat satu aduan utama, saya akan menyatakan bentuk untuk mengubah ke kesan audio asal yang disertakan di dalam Resident Evil 2 sebelum ini, tidak disertakan di dalam Resident Evil 3. Namun itu hanyalah satu aduan kecil sahaja yang mana ia tidak langsung memberi kesan terhadap keseluruhan aspek audio permainan ini.

Kawalan Dan Aspek “Aksi” Permainan

Walaupun formula permainan ini adalah sama dengan permainanan olahan pendahulu Resident Evil 2 sebelum ini, Capcom kali ini masih lagi menyertakan beberapa aspek perubahan kecil buat kawalan dan bentuk permainan ini, terutamanya aspek bentuk permainan beraksi yang sering diperkatakan oleh pembangun.

Tetapi jika ingin dibandingkan permainan asal yang dilancarkan pada 1999 lepas, semestinya ianya adalah sangat berbeza dengan perubahan bentuk penembak pandang ketiga dan bentuk kamera yang lebih bebas dengan tiada lagi kawalan seakan kereta kebal.

Jadi untuk memudahkan anda, segala bentuk permainan asas seperti penembakan, penyimpanan barang mahupun pertempuran, segalanya adalah sama sahaja dengan Resident Evil 2. Bahkan aspek menyasar seperti jika anda tidak bergerak dan sasaran anda menjadi semakin tepat juga disertakan di dalam permainan ini. Termasuklah juga aspek untuk memeriksa barangan, susunan kelengkapan dan juga pergerakan watak sama ada berlari, menerokai kawasan dan sebagainya.

Walaupun begitu, melalui Resident Evil 3 ini Capcom juga banyak menyertakan beberapa perubahan kecil yang mana boleh katakan mengapa membuat permainan ini berasa lebih beraksi dan pada masa yang sama lebih pantas jika ingin dibandingkan dengan Resident Evil 2.

Perkara pertama yang akan saya tekan adalah kali ini ketika permulaan permainan pemain tidak diberi pilihan untuk menggunakan dua watak berbeza seperit Leon dan Claire dalam permainan sebelum ini. Walaupun pada pertengahan permainan Resident Evil 3 ini pemain akan mengawal watak Carlos Oliviera, ianya masih lagi sebahagian daripada penceritaan utama permainan dan bukanlah pilihan pemain. Ini juga mengapa ianya berasa agak mendatar memandangkan pemain tidak mempunyai pilihan dari segi kemajuan penceritaan sekaligus membuatkan ianya berasa mendatar seperti yang saya terangkan di atas di bahagian penceritaan.

Manakala perkara kedua adalah bentuk kutipan barangan dengan lebih pantas. Seperti anda tahu, permainan Resident Evil sebelum ini banyak menanyakan soalan buat pemain sama ada mereka ingin mengutip barangan yang pemain jumpai ataupun tidak. Namun melalui Resident Evil 3 kali ini, bagi barangan yang pemain sudah pun temui sebelum ini, jika terdapat ruangan di dalam slot inventori pemain, jika pemain klik sahaja butang mengutip, ianya akan terus dimasukkan di dalam slot inventori pemain. Ini sekaligus bukan sahaja memberi bentuk penerokaan permainan yang lebih pantas, malah ianya berasa lebih senang dan kurang menjengkelkan.

Perkara ketiga pula adalah fungsi mengelak yang asalnya juga mula diperkenalkan di dalam permainan Resident Evil 3: Nemesis di konsol PlayStation 1 lepas. Fungsi ini sedikit sebanyak adalah seakan fungsi mengelak seperti permainan Bayonetta di mana jika pemain menekan butang R1 (Di PlayStation 4) tepat pada masa sebelum zombi ataupun Nemesis menyerang, pemain berupaya untuk mengelak secara sempurna tanpa sebarang kecederaan. Menariknya juga jika pemain terus menekan butang L2 selepas berjaya melakukan elakkan tersebut, permainan ini juga akan memperlahankan masa supaya pemain lebih mudah untuk menyasarkan tembakan ke arah musuh.

Seperti yang saya katakan, fungsi ini sedikit sebanyak seakan Witch Time di dalam permainan Bayonetta di mana pada awalnya ianya agak sukar untuk dilakukan. Namun setelah pemain biasa dengan kawalan ini, ianya sebenarnya agak mudah untuk dilakukan. Menariknya juga, bagi watak Carlos Oliviera, selain daripada mengelak beliau juga akan menumbuk zombi tersebut, sekaligus memudahkan pemain untuk melarikan diri.

Seterusnya pula adalah fungsi pisau yang terdapat di dalam permainan Resident Evil 3 ini tidak lagi mempunyai bentuk yang sama dengan permainan Resident Evil 2. Jika anda pernah bermain permainan olahan semula tersebut tahun lepas, anda sendiri pasti sering menyimpan beberapa pisau di dalam slot inventori permainan anda kerana ianya boleh digunakan untuk mengelak daripada diserang oleh zombi. Namun kali ini melalui Resident Evil 3, Jill dan Carlos tidak boleh menggunakannya untuk mengelak daripada serangan zombi tetapi ianya ditukarkan kepada butang ‘adegan’ yang pemain perlu sentiasa tekan untuk mengurangkan jumlah serangan yang pemain hadapi. Aspek ini tidaklah berasa terlalu berbeza namun ianya berasa agak janggal memandangkan Resident Evil 2 sebelum agak menekan fungsi tersebut.

Kelima pula semestinya saya ingin bercakap berkenaan watak Nemesis yang sering mengejar pemain. Jika saya ingin simpulkan aspek ini, saya boleh katakan Nemesis kali ini berasa agak hambar jika ingin dibandingkan dengan Mr. X daripada Resident Evil 2. Ya betul, Nemesis kali ini dilengkapkan dengan pelbagai senjata seperti penyembur api, bazooka dan juga tentakel yang berupaya untuk menarik pemain jika pemain berada jauh dari sekeliling beliau.

Namun apa yang membuatkan ianya berasa sangat kecewa adalah kerana Nemesis hanya akan mengejar anda untuk beberapa bahagian permainan sahaja dan walaupun dimainkan secara tahap kesukaran biasa, Nemesis sebenarnya tidaklah begitu sukar untuk dielakkan. Bahkan saya berasa kehadiran beliau tidak menyeramkan langsung seperti Mr. X.

Betul, setiap kali Nemesis mengejar anda ianya berasa agak mendebarkan atas sebab ia mempunyai pelbagai jenis serangan yang mengejut. Tetapi memandangkan pemain Nemesis tidak mengejar pemain sepanjang penerokaan permainan seperti Mr. X, ia berasa agak kosong.

Tidak dicampur juga aspek jika pemain menumpaskan Nemesis dengan menembak penjana elektrik berdekatan ataupun terus membaling bom, yang mana pada pendapat saya berasa ia amat mudah untuk dan terlalu ringkas. Namun, sekurang-kurangnya jika pemain berjaya menumpaskan beliau seketika, pemain juga akan diberi ganjaran seperti alat pernaik-tarafan senjata dan sebagainya yang mana saya berasa satu bentuk yang memuaskan.

Selain itu, setelah pemain tamat bermain permainan ini, pemain juga akan menyah-kunci satu fungsi “kedai permainan” yang pemain boleh membuka beberapa aspek permainan seperti kostum tambahan, senjata tanpa had dengan membelinya menggunakan poin yang pemain dapatkan berdasarkan pencapaian pemain.

Dari segi aspek lain, tidak banyak yang saya boleh tekankan. Memandangkan permainan ini menyertakan mod multi-pemain yang akan saya terangkan di bawah, Resident Evil 3 kali ini berasa lebih kecil jika ingin dibandingkan dengan permainan Resident Evil 2. Seperti anda sedia maklum, Resident Evil 2 menyertakan pelbagai kandungan tambahan seperti The Ghost Survivor dan mod ekstra, ianya sekaligus membuatkan pelancaran permainan ini berasa tergesa dan lebih kecil, bahkan saya berasa ianya lebih sesuai untuk dilancarkan sebagai kandungan tambahan ataupun DLC buat Resident Evil 2 sahaja.

Bentuk Multi-Pemain Resident Evil Resistance

Jadi seperti yang saya katakan di atas berkenaan permainan Resident Evil 3 yang agak pendek, untuk memperbanyakkan kandungan permainan, Capcom juga menyertakan permainan tambahan khas iaitu Resident Evil Resistance secara bersama yang mana ianya memfokuskan bentuk multi-pemain. Walaupun aplikasi permainan ini di PlayStation 4 adalah berlainan dengan permainan Resident Evil 3, ianya sememangnya merupakan sebahagian daripada permainan tersebut yang disertakan bersama buat mereka yang membeli Resident Evil 3.

Namun begitu, adakah permainan Resident Evil Resistance ini adalah satu pernambahan kandungan yang berbaloi untuk permainan olahan semula ini? Jawapan singkat saya adalah tidak.

Ini kerana mod multi-pemain Resident Evil Resistance ini pada pendapat saya seakan satu kandungan tambahan yang disertakan secara lewa sahaja. Bukan sahaja ianya mempunyai bentuk permainan yang bosan dan lari daripada tema asal permainan seram pertahan hidup, malah atas sebab tidak ramai pemain bermain, sebahagian daripada sesi permainan saya hanya menunggu dan mencari sesi permainan untuk bermain yang mengambil masa yang sangat lama.

Jadi untuk menerangkan secara ringkas, Resident Evil Resistance adalah permainan multi-pemain yang memfokuskan 4 pemain untuk bertempur dengan 1 pemain di dalam 3 peringkat permainan. ‘

4 Pemain tersebut iaitu “Survivor” terdiri daripada beberapa watak yang pemain boleh pilih pada permulaan sesi permainan yang mana setiap satunya mempunyai kemahiran tersendiri. Pemain kemudian perlu melarikan diri dari “makmal” yang terbahagi kepada 3 peringkat dan setiap jalan keluarnya terkunci dan pemain perlu melakukan sebilangan tugasan seperti mencari kunci, merosakkan Bio-Core dan sebagainya.

Untuk melengkapkan misi “Survivor” seperti yang saya katakan tadi ianya perlu pemain melarikan diri dari makmal tersebut. Namun, ianya juga mempunyai tempoh masa yang terhad dan jika masa tersebut tamat, pasukan “Survivor” akan tewas.

Bagi pemain penjahat pula ataupun “Mastermind” pemain akan diberi tugas untuk menghalang 4 pemain lain untuk melarikan diri. Dari segi kawalan, Mastermind hanya membenarkan pemain untuk mengawal kamera litar tertutup dan bergerak dari satu kamera ke satu kamera dan meletakkan beberapa perangkap untuk menghalang “Survivor” tersebut.

Dari segi aspek ini, ianya agak kompleks jika pemain mula bermain atas sebab pemain tidak boleh sesuka hati meletakkan perangkap dan ianya terdapat beberapa had penggunaan dan tempoh masa yang dibenarkan. Mastermind juga berupaya untuk mengawal watak zombi dan sebagainya, untuk memberi lagi cabaran buat pemain. Selain itu, pemain “Mastermind” juga mempunyai beberapa pilihan watak yang pemain boleh lakukan di mana setiap satunya juga mempunyai kemahiran tersendiri seperti keupayaan untuk mengawal watak Mr.X ataupun Tyrant daripada Resident Evil 2.

Jadi secara keseluruhan bentuk multi-pemain ini, apa yang saya boleh katakan ianya sangat mengecewakan. Walaupun ianya menyertakan pelbagai pengubah-suaian watak dengan beberapa aspek kandungan kemajuan watak dengan pelbagai kemahiran yang boleh dipelajari, ianya masih lagi berasa kosong dan membosankan.

Tambahan itu dengan aspek mikro-transaksi yang menyertakan barangan “RP-Booster” yang akan mempercepatkan pernaik-tarafan kemajuan, merasakan permainan ini seakan satu jalan pintas Capcom untuk membuat wang tambahan melalui siri Resident Evil.

Tidak dapat dilupakan juga jumlah pemain yang berkurang sehingga saya sendiri hanya berupaya untuk bermain sebagai “Mastermind” di dalam mod latihan sahaja, yang mana pasti membuatkan mod multi-pemain permainan ini berasa sangat mengecewakan.

Kesimpulan

Jadi untuk mengakhiri ulasan saya, Resident Evil 3 boleh dikatakan satu permainan olahan yang baik sahaja. Walaupun ianya mengekalkan beberapa aspek akar penceritaan utama, ianya masih lagi mengubah sesetengah lokasi permainan yang membuatkan permainan ini berasa agak kurang berbanding permainan asal.

Dicampur pula aspek kejar mengejar Nemesis yang agak hambar, permainan ini berasa lebih kosong jika ingin dibandingkan dengan permainan olahan pendahulu sebelum ini yang mana boleh dikatakan satu permainan seram pertahan hidup terbaik pernah saya mainkan. Saya akui di mana konsep utama permainan Resident Evil 3 kali ini adalah lebih kepada permainan beraksi, tetapi untuk memesongkan terus apa yang membuatkan siri menarik berasa agak mengecewakan.

Tambahan juga kandungan multi-pemain Resident Evil Resistance yang berasa seolah satu kandungan tambahan sambil lewa sahaja, membuatkan saya sendiri berasa permainan ini tidak berbaloi untuk dibeli dengan harga yang penuh. Bahkan saya sendiri lebih suka jika Resident Evil 3 ini dilancarkan sebagai satu penambahan DLC sahaja untuk Resident Evil 2 memandangkan permainan ini berasa sangat kecil dengan kandungan yang berkurangan jika dibandingkan permainan sebelum.

Walaupun bagaimana pun, sebagai seorang peminat siri Resident Evil, saya sendiri berasa Capcom telah melakukan tugas yang baik untuk mengolahkan semula Resident Evil 3 ini bukan sahaja untuk peminat permainan zombi, malah buat mereka yang inginkan kelainan buat siri tersebut.

Penafian: Kod Ulasan Resident Evil 3 disediakan oleh Capcom


TIPS & ULASAN