Ulasan untuk Final Fantasy VII Remake ini mungkin mengandungi beberan yang kecil
Diumumkan hampir pada 5 tahun lepas, Final Fantasy VII Remake akhirnya bakal dikeluarkan secara rasmi pada 10 April ini secara eksklusif untuk PS4. Bagi tujuan ulasan ini, Square Enix dan SIE telah memberikan kami kod ulasan.
Saya mengambil masa hampir 35 jam untuk menghabiskan penceritaan utama dan menyelesaikan 80% misi sampingan (yang tersenarai) dengan tahap kesukaran “Normal”. Berikut adalah ulasan penuh saya.
Bagi penceritaan, dan saya rasa pelbagai lagi bahagian lain, persoalan utama yang ditanya adalah adakah ia mengikut penceritaan asal ataupun tidak. Saya boleh katakan kebanyakannya mengikut penceritaan asal tetapi disertakan dengan pelbagai penambahan kerana ini adalah permainan yang akan mempunyai beberapa bahagian. Oleh kerana itu, Square Enix perlu menyertakan pelbagai kandungan tambahan.
Bagi saya kebanyakan penambahan yang disertakan adalah satu penambahan yang baik, ia memberi tambah nilai kepada penceritaan asal untuk Final Fantasy VII.
Contohnya, watak-watak asal “dikembangkan kembali watak mereka” dengan cara yang sangat baik. Saya merasakan pemain yang menyukai watak-watak di dalam permainan ini, akan terus menyukai watak tersebut di dalam versi Remake, bahkan lebih menyukai mereka. Manakala pemain-pemain baharu, akan mula menyedari mengapa Cloud, Aerith, Tifa contohnya, adalah watak kegemaran ramai pemain.
Mereka bukan sahaja mengembangkan watak utama, tetapi watak-watak sampingan tidak kira protagonis ataupun jahat juga diberikan peluang untuk bersinar walaupun sekejap sahaja. Watak-watak tersebut juga memberi lebih impak kepada penceritaan, tidak kira daripada segi penggerakan penceritaan ataupun emosi.
Walaupun saya serba sedikit sudah mengetahui apa yang akan berlaku, tetapi apabila ia berlaku ia masih lagi memberi satu pengalaman penceritaan yang baru kepada saya, dan merasakan ia juga akan membantu untuk membawa penceritaan ini kepada pemain baharu.
Penambahan ini juga, bagi saya membantu untuk memastikan pacing penceritaan tidak terlalu laju dan memberi ruang kepada pemain untuk “bertenang”. Bagi yang sudah tahu mengenai permainan ini, mungkin tidak terlalu kisah, tetapi bagi pemain-pemain baharu saya merasakan penceritaan akan terus membuatkan mereka minat dengan “penceritaan besar” tetapi pada masa sama boleh fokus kepada “penceritaan-penceritaan kecil” yang sedang berlaku sekarang, dan tidak terlalu keliru dengan segalanya.
Walau-bagaimanapun saya merasakan ada beberapa bahagian yang mungkin tidak diterima dengan baik oleh pemain asal permainan ini dan saya sendiri, walaupun, bukanlah “peminat besar” siri ini, tertanya perlu ke perubahan tersebut disertakan?
Dengan pelbagai penambahan baharu, mereka juga mengekalkan banyak adegan ataupun kejadian di dalam permainan asal, bahkan mengembangkannya untuk menjadi lebih menarik, dan sudah tentu lebih panjang.
Secara keseluruhan, saya boleh katakan jika Final Fantasy VII sebelum ini dipuji kerana penceritaan yang menarik, Final Fantasy VII Remake saya boleh katakan layak untuk mendapat pujian yang sama. Namun, oleh kerana ia adalah satu bahagian daripada beberapa bahagian yang masih tidak tahu bila akan dikeluarkan, ia mungkin membawa sedikit perasaan resah, terutama untuk pemain yang baru bermain Final Fantasy VII ini.
Berbanding dengan perkara-perkara lain seperti cerita ataupun bentuk permainan sendiri, saya boleh katakan anda suka ataupun tidak sistem pertempuran akan menentukan sama ada anda akan suka ataupun tidak dengan permainan ini. Ia akan menyertakan banyak, BANYAK, pertempuran, selain adegan, saya boleh katakan lebih 70% aktiviti di dalam permainan ini adalah anda bertempur.
Bagi saya pula, secara jujur, pertama kali saya mencuba demo saya tidak menyukainya. Namun, apabila menghabiskan mungkin lebih 25 jam bertempur di dalam permainan ini, sistem pertempuran menjadi lebih menarik apabila anda faham selok-belok sistem tersebut, walaupun tidak mahir sepenuhnya.
JRPG dengan pertempuran aktif, bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi cara Final Fantasy VII Remake lakukan ia memberi sedikit “rasa” seperti permainan asal. Walaupun satu-dua watak lain di dalam kumpulan anda bergerak secara sendiri tetapi anda masih perlu memberi arahan untuk mereka bertindak. Ia juga penting jika anda inginkan melakukan sebarang combo bagi menghasilkan “staggered”. Jika tidak, mereka akan sekadar melakukan serangan biasa.
Pada awalnya, saya berasakan yang mereka tidak berguna kerana sekadar melakukan serangan biasa, dan menantikan arahan anda, jika tiada input daripada anda, mereka akan meneruskan serangan biasa yang di kebanyakan tempat tidak berguna.
Kemudian, selepas lebih lama mencuba saya mula menyukai sistem ini, melebihi daripada sistem di mana kita boleh tetapkan secara am apa yang dilakukan oleh watak tersebut. Ia menjadikan saya sentiasa di dalam kawalan dan menjadikan ia lebih menarik. Apabila saya mengetahui segala shortcut, saya merasakan pertempuran menjadi lebih aktif dan sangat menyeronokkan untuk mencuba pelbagai kombinasi berbeza.
Menyerang menggunakan watak yang anda kawal, di samping itu memikirkan apa yang boleh dilakukan oleh pasukan lain, memberi perasaan yang anda sentiasa perlu mengetahui segala maklumat pada setiap masa. Ia sangat mendebarkan, terutama melawan boss ataupun penjahat yang kuat.
Namun, saya merasakan ada sesetengah pemain yang inginkan kita boleh tetapkan watak-watak tersebut akan memfokuskan serangan ataupun bertahan, dan bertindak seperti fokus tersebut.
Anda juga boleh menukar untuk menggunakan watak secara terus semasa pertempuran, ia bukan sahaja berguna untuk mencuba bentuk serangan berbeza, tetapi saya juga merasakan ia sangat berguna sebagai salah satu strategi pertempuran. Secara langsung, ia juga akan memastikan pengalaman yang berbeza semasa pertempuran dan terus mengekalkan kesegaran sistem ini.
Seperkara yang saya rasa sangat mengganggu semasa pertempuran, adalah, apabila anda melakukan sesuatu serangan, ia tidak boleh dibatalkan sehingga serangan tersebut selesai. Banyak kali apabila saya melakukan serangan, penjahat menyerang beberapa saat kemudian, yang membuatkan saya tidak dapat untuk mengelak ataupun menahan menggunakan blocking kerana animasi serangan masih berlaku.
Bagi saya, sebagai permainan aksi, pembatalan serangan dan blocking adalah perkara asas, kerana ia memberi pengalaman yang lebih responsif. Namun, saya merasakan yang mereka menyertakan perkara ini secara sengaja untuk menjadikan pertempuran lebih sukar, ia juga serba sedikit membuatkan saya lebih berwaspada untuk melakukan serangan dan sentiasa kena perhatikan lawan agar mereka tidak melakukan sebarang serangan berbahaya.
Sistem tahap adalah seperti mana-mana permainan RPG ataupun JRPG, anda bertempur anda dapat Experience dan anda meningkatkan tahap secara sendiri. Namun, seperkara yang menarik mengenai tahap, adalah senjata yang anda gunakan juga mempunyai tahap tersendiri. Bahkan pokok kebolehan adalah untuk senjata dan bukan untuk watak. Walaupun senjata yang anda pertama kali dapat, masih berguna walaupun di peringkat akhir permainan jika anda meningkatkan tahapnya.
Ini menjadikan sistem senjata “jual yang lama, beli yang baharu” tidak lagi diperlukan, anda akan simpan kesemua senjata yang anda dapat ataupun beli, setiap-nya mungkin ada kegunaan untuk di pertempuran yang berlainan. Setiap senjata juga hadir dengan satu “skill” tetapi apabila pemain mencapai 100% proficiency, skill tersebut akan terus kekal walaupun ada menukar senjata lain. Bagi saya, sistem ini menggalakkan saya untuk mencuba senjata-senjata baharu tetapi pada masa sama, tidak menjadi masalah apabila ingin menggunakan kembali senjata sebelum ini. Sistem Materia juga kembali dalam versi Remake ini, dan saya boleh katakan ia lebih kurang dengan sistem yang digunakan permainan asal.
Bagaimana dengan tahap kesukaran? Saya bermain secara normal dan bagi saya ia agak sukar, dan penjahat akan menghukum jika anda tidak mengelak (ataupun tidak dapat mengelak), ataupun mengambil terlalu lama untuk mengalahkannya, serta tidak menggunakan rakan sepasukan dengan efisien. Saya tidak bercakap mengenai semata-mata boss, penjahat biasa yang pemain akan jumpa semasa mengembara pun boleh menjadi menyusahkan jika tidak bersedia.
Sebagai perkara yang “make or break” permainan ini, saya boleh katakan yang sistem pertempuran di dalam versi remake ini adalah perkara yang baik secara tersendiri. Ia tidak sempurna, dan mungkin boleh ditambah-baikkan tetapi ia masih-lah pengalaman yang mengasyikkan dan merupakan tunjang bagi permainan ini.
Perkara yang saya suka mengenai bentuk permainan adalah ia mempunyai struktur yang boleh dikatakan konsisten, ia dibahagikan kepada beberapa Chapter, dan setiap chapter mempunyai struktur yang lebih kurang sama dan pemain sudah boleh jangkakan apa yang berlaku. Struktur yang konsisten mengelak daripada permainan menjadi bercelaru.
Anda boleh menjangkakan akan ada pengembaraan daripada satu tempat ke tempat yang lain, pertempuran biasa, pertempuran melawan boss dan di-antaranya disertakan pelbagai adegan penceritaan.
Secara keseluruhan, pengembaraan di dalam permainan ini adalah agak linear, pemain akan melalui satu kawasan untuk daripada A ke B, dan kawasan tersebut adalah kawasan tersendiri dengan perjalanan yang straight forward, akan tetapi, di kawasan tersebut juga disertakan pelbagai cabang, yang menyertakan barangan rahsia seperti Chest. Selain itu, ia juga menyertakan pelbagai tekaria, sama ada yang baru dan juga berdasarkan permainan asal tetapi dilakukan dengan cara yang lebih baik ataupun lebih masuk akal. Ia sekurang-kurangnya menjadikan sesuatu pengembaraan yang linear tersebut lebih menarik.
Ia bukanlah permainan dunia terbuka, tetapi jika anda tidak merujuk peta, anda masih boleh sesat terutama semasa berada di kawasan penempatan ataupun kawasan kedai. Bagi saya sistem pengembaraan yang disertakan walaupun tidaklah membawa perkara yang baharu, ia masih seronok untuk dilakukan tambahan banyak perkembangan watak berlaku semasa pengembaraan ini.
Pertempuran semasa mengembara adalah seperti permainan terkini JRPG anda akan dapat melihat penjahat, apabila menghampiri mereka, pertempuran akan bermula, anda boleh melarikan diri jika ingin, kecuali di kawasan yang memerlukan anda turun tangga ataupun melompat kerana ia tidak boleh dilakukan selagi masih di dalam pertempuran.
Misi utama dilakukan dengan sangat baik, ia sangat padat dengan pelbagai perkara yang perlu dilakukan, variasi perkara yang anda perlu lakukan untuk setiap misi utama adalah antara kekuatan permainan ini. Pengembaraan dan pertempuran mungkin perkara yang berulang, tetapi aktiviti misi utama, kebiasaan hanya sekali sahaja dilakukan dan ia sangat menarik.
Manakala misi sampingan akan hadir di beberapa tempat tertentu, di mana ia akan disenaraikan dan anda perlu mencari pemberi misi untuk mengetahui lanjut mengenainya. Misi sampingan kebiasaan mencari barangan tertentu ataupun mencari orang, tetapi majoriti adalah anda perlu bertempur dengan seseorang.
Ia mungkin terasa bosan untuk dilakukan, tetapi jika anda menyelesaikan misi-misi sampingan ini, anda mungkin akan mendapat penambahan penceritaan ataupun dialog. Selain itu, satu misi sampingan juga mungkin membawa ke beberapa misi sampingan lain yang lebih menarik.
Namun, ada masa misi sampingan tidak memberi penerangan yang jelas mengenai apa yang perlu dilakukan dan akan menyukarkan keadaan terutama jika misi adalah mencari barangan atau orang.
Bagi saya, aktiviti serta misi yang disertakan melalui penceritaan utama sudah cukup padat, tetapi jika anda tidak merancang untuk bermain dengan cepat, misi sampingan adalah sesuatu yang berbaloi untuk dilakukan.
Tidak cukup dengan itu, seperti permainan asal Final Fantasy VII, ia juga menyertakan banyak permainan-mini yang boleh dilakukan untuk mendapatkan pelbagai ganjaran seperti bertempur di Arena ataupun “push-up”.
Selain sistem pertempuran, Final Fantasy VII Remake juga mempunyai bentuk permainan yang menarik. Ia mengisi “permainan yang dipanjangkan” ini dengan baik. Dengan kata lain, seperti yang diperkatakan oleh Square Enix, ia adalah satu permainan “penuh” walaupun sebahagian daripada beberapa bahagian.
Grafik di dalam permainan ini dilakukan dengan sangat berkualiti, terutama rekaan watak, pakaian dan senjata, tetapi ia adalah satu perkara yang sudah dijangkakan daripada permainan oleh Square Enix. Walaupun kita sudah menerima filem animasi Advent Children tetapi rekaan grafik untuk permainan ini membawa Final Fantasy VII ke satu tahap yang baharu.
Adegan yang disertakan sangat memukau, sehinggakan saya berharap ada adegan yang sejam-dua untuk ditonton. Ia dilakukan dengan teliti, ditambah lagi dengan pergerakan yang menarik terutama untuk adegan pertempuran, ia juga banyak elemen komedi yang akan mencuit hati.
Daripada segi kelancaran pula, ia adalah stabil, semasa pertempuran yang menjadi sangat sibuk dengan letupan, kesan kuasa dan pelbagai pergerakan masih memberi kelancaran yang sangat baik.
Pengembaraan juga menjadi lebih menarik kerana kawasan-kawasan yang kita sekadar melihat semasa di dalam permainan lama, kini dihidupkan dengan rekaan yang lebih menakjubkan. Namun, ada masa beberapa kawasan terasa seperti rekaan yang berulang dan sedikit membosankan.
Selain itu, terdapat juga beberapa benda yang tekstur tidak dilakukan dengan baik, pintu nampak pecah, persekitaran juga ada yang menggunakan tekstur yang resolusi rendah, walaupun ia bukan barang yang penting, ia memberi kesan kepada pengalaman secara keseluruhan. Cermin di dalam permainan ini juga nampak pelik, masalah lain yang biasa seperti NPC tiba-tiba muncul kerana baru sahaja di muat, juga berlaku.
Saya merasakan perkara-perkara ini akan diperbaiki apabila permainan ini dilancarkan kelak melalui tampalan.
Untuk lakonan suara bagi bahasa Inggeris, saya sangat menyukainya, tiada watak yang saya rasa kurang baik. Ini walaupun ada pelbagai ayat-ayat yang pelik, mungkin kerana masalah penterjemahan, tetapi prestasi kesemuanya harus dipuji. Mereka benar-benar memberi nafas segar kepada watak-watak tersebut dan menghidupkan watak-watak tersebut.
Perbualan di-antara watak semasa mengembara, di mana mereka sering mengejek sesama sendiri sangat lawak, walaupun ada masa ia terasa cringe tetapi ia cringe yang ramai sudah biasa daripada permainan ini.
Manakala muzik latar sesuatu yang tidak perlu diperkatakan lagi, ia adalah baik dan menjadi teman anda, semasa pertempuran ia memberikan perasaan cemas, semasa mengembara ia memberi perasaan yang tenang. Terdapat juga collectible khas yang berkait dengan muzik-muzik ini.
Akhir kata, Square Enix mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membawa IP kegemaran ramai dan memberi nafas baru, dan di kebanyakan bahagian permainan ini, mereka berjaya melakukan dengan sangat baik. Penceritaan dikembangkan dengan baik, walaupun ada beberapa unsur yang boleh dipersoalkan.
Sistem pertempuran yang walaupun diperbaharui, tetapi masih memberi perasaan bermain permainan klasik JRPG, kesukaran yang mencabar tetapi tidak terlalu sukar, sehinggakan anda mati terlalu kerap. Kandungan lain yang padat, diisi dengan teliti bukan sahaja untuk memanjangkan permainan ini, tetapi memberi lebih nilai tambah kepada keseluruhan permainan.
Ia ditambah lagi dengan grafik serta lakonan suara yang sangat baik, walaupun ada sedikit masalah mengenai tekstur dan juga penulisan di sesetengah bahagian.
Jadi adakah permainan ini, berhak untuk dianggap satu permainan penuh? Buat masa ini ya, tetapi jika Square Enix mengulangi perkara yang sama di bahagian kedua daripada segi pengisian, ia mungkin terasa terlalu “mahal”. Oleh itu, saya dengan mudah mengesyorkan permainan ini untuk pemain secara umum kerana ia adalah permainan yang berkualiti.
Saya juga berharap, Square Enix akan membawa sesuatu yang lebih baik, dengan pengisian yang lebih banyak untuk bahagian seterusnya.