Remedy Entertainment ketika State of Play telah mengumumkan CONTROL Resonant, sekuel kepada judul CONTROL, akan dilancarkan secara rasmi pada 24 September 2026 untuk platform PlayStation 5, Xbox Series, dan PC melalui Steam serta Epic Games Store.

Fokus penceritaan kali ini beralih kepada watak Dylan Faden, yang dilakonkan oleh Sean Durrie. Dylan dihantar oleh Federal Bureau of Control (FBC) ke Manhattan yang kini berubah akibat satu kejadian, untuk menangani ancaman bentuk resonans asing baharu di samping musuh sedia ada iaitu Hiss dan Mold. Misi utamanya adalah menjejaki kakaknya yang juga Pengarah FBC, Jesse Faden, yang dilaporkan hilang. Dalam usahanya menyelamatkan keadaan, dia perlu bekerjasama dengan sekutu baharu FBC, Zoe de Vera, serta watak yang kembali dari permainan asal iaitu Simon Arish dan Emily Pope.

Dari sudut teknikal, CONTROL Resonant akan menyokong perkhidmatan penstriman awan GeForce NOW pada hari pertama pelancaran. Versi Mac untuk pengguna Steam dan App Store pula dijadualkan tiba pada penghujung tahun ini. Permainan ini juga menawarkan localization paling meluas bagi Remedy setakat ini, dengan sokongan audio, antara muka, dan sari kata dalam pelbagai bahasa.

Pra-tempahan kini dibuka dan khusus untuk platform PlayStation 5, Edisi Digital Deluxe akan memberikan akses awal selama 48 jam kepada pemain. Selain itu, mana-mana pemain yang membuat pra-tempahan akan menerima artifak Pickpocket’s Tool dan pakaian Hiss Corruption untuk watak Dylan.

Leave a Reply