Skip to main content

Melalui saluran Youtube Residence Of Evil, iaitu salah satu saluran yang sering berkongsi berkenaan berita-berita permainan Resident Evil, hari ini berkongsi beberapa informasi yang tertiris berkenaan Resident Evil 8 oleh Capcom.

Resident Evil 8 buat masa ini masih belum diumumkan secara rasmi oleh Capcom dan seperti anda sedia maklum, permainan seterusnya buat siri Resident Evil adalah Resident Evil 3 yang bakal tiba April ini.

Meskipun begitu, memandangkan ini hanyalah satu khabar angin, sudah pasti ianya bukanlah satu informasi ataupun kenyataan rasmi dan ianya mungkin adalah tidak benar. Akan tetapi, sebagai peminat siri ini, sudah pasti kami ingin berkongsi beberapa informasi yang dinyatakan. Bagi video penuh anda boleh menontonnya di bawah.

Antara perkara yang dikongsikan adalah watak Ethan Winters, daripada permainan Resident Evil 7 sekali lagi akan menjadi watak utama di dalam permainan ini. Watak Chris Redfield juga disahkan akan kembali, namun ianya tidak pasti sama ada watak tersebut boleh dimainkan ataupun tidak. Permainan Resident Evil 8 juga disahkan sedang dalam percubaan tahun lepas dan ianya tidak akan dinamakan Resident Evil 8 dan ia mungkin akan mempunyai tajuk yang berlainan.

Apa yang paling menarik sekali adalah Resident Evil 8 tersebut akan mengekalkan konsep dan bentuk permainan penembak pandang pertama, seperti Resident Evil 7. Dari segi lokasi, ianya akan memfokuskan kawasan perkampungan, istana seakan permainan Resident Evil 4.

Musuh zombi juga kembali, tidak seperti Resident Evil 7 iaitu musuh Molded. Menariknya juga, musuh serigala jadian juga dinyatakan bakal tiba sebagai salah satu daripada musuh yang pemain akan temui. Dari segi aspek musuh lain, saluran tersebut juga menyatakan berkenaan akan terdapat “hantu” yang akan mengikuti pemain, namun akan hilang jika ditembak. Sekaligus ini mungkin adalah satu konsep seram seterusnya buat siri ini.

Sekali lagi kami ulangkan yang mana informasi ini masih satu khabar angin buat masa ini. Meskipun begitu, kami sendiri sebagai peminat siri Resident Evil tidak sabar dan berharap agar Capcom mengekalkan bentuk pandang pertama, memandangkan ianya adalah satu arah baharu untuk siri tersebut yang mana pasti menjadi satu permainan seram yang sangat menakutkan.

Leave a Reply