Skip to main content

Ketika acara State Of Play yang berlangsung malam ini, Capcom dan Sony akhirnya mengumumkan secara rasmi bahawa mereka akan membawa semula permainan Resident Evil 3 sebagai permainan olahan semula, seperti yang tertiris sebelum ini.

Ketika acara tersebut, Capcom mengumumkan Resident Evil 3 akan dilancarkan pada 3 April 2020 ini di konsol PlayStation 4. Meskipun begitu, Capcom juga mengesahkan permainan tersebut juga akan tiba di konsol Xbox One dan PC melalui Steam.

Menariknya juga, Capcom juga umum permainan Project Resistance yang diperlihatkan oleh mereka sebelum ini juga bakal tiba secara bersama buat permainan Resident Evil 3 ini.

Seperti anda sedia maklum, Project Resistance ataupun Resident Evil Resistance adalah permainan multi-pemain 4 lawan 1 yang memfokuskan bentuk koperasi. Informasi lanjut berkenaan permainan tersebut boleh dibaca di artikel ini.

Pada masa yang sama, Capcom juga berkongsi satu video khas yang dihoskan oleh enerbit permainan tersebut iait Peter Fabiono dan Masachika Kawata yang memperlihatkan bentuk permainan Resident Evil 3 yang diolah semula dengan lebih lanjut.

Antara perubahan besar di dalam permainan olahan semula ini adalah rekaan semula buat watak utama iaitu Jill Valentine dan Carlos Oliveira yang mana kini Jill berpakaian yang lebih sesuai dengan permainan beraksi ini.

Selain itu, Resident Evil 3 kali ini juga kelihatan mempunyai bentuk permainan tambahan berbanding Resident Evil 2 di mana pemain kelihatan berupaya untuk mengelak serangan zombi seperti permainan asal Resident Evil 3 sebelum ini. Selain itu, watak musuh utama iaitu Nemesis juga diperlihatkan dengan lebih jelas yang mana mereka juga menyatakan beliau akan menjadi lebih sukar jika ingin dibandingkan dengna Mr. X dari Resident Evil 2.

Selain itu, Capcom juga mengumumkan yang mana mereka akan melancarkan edisi terhad buat permainan ini yang akan menyertakan figura khas watak Jill Valentine, seperti edisi terhad Resident Evil 2 sebelum ini. Buat masa ini, edisi terhad ini hanya buat pasaran Amerika Syarikat, namun kami percaya ianya juga bakal tiba di pasaran Malaysia kelak.

Selain itu, Capcom juga umum buat mereka yang membuat pra-tempahan buat permainan ini, mereka juga akan sertakan kostum klasik buat kedua-dua watak Jill dan Carlos daripada permainan asal Resident Evil 3 yang dilancarkan pada 1999 lepas.

Sebagai seorang peminat siri permainan Resident Evil, sudah pasti ini merupakan pengumuman yang sangat menggembirakan dan kami pasti akan mengemaskini sebarang informasi lanjut termasuklah harga pasaran Malaysia dan pra-tempahannya setelah ia diumumkan kelak.

Leave a Reply