Kemaskini: Video sesi penuh permainan diperlihatkan.

Lanjutan daripada video acah yang diperlihatkan oleh Capcom sebelum ini buat permainan Project Resistance, kini mereka akhirnya mempertontonkan video acah untuk gambaran keseluruhan permainan tersebut yang mana ianya memfokuskan bentuk permainan multi-pemain 4 lawan 1 dengan elemen koperasi.

Seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, Project Resistance ini sememangnya permainan sampingan berdasarkan siri Resident Evil yang mana ianya dibangunkan oleh NeoBards Entertainment dan diterbitkan oleh Capcom untuk konsol Playstation 4, Xbox One dan juga PC.

Menurut Capcom, permainan ini akan memfokuskan bentuk multi-pemain 4 lawan 1 yang mana 4 pemain akan bermain sebagai pasukan manusia dan perlu bekerjasama untuk melarikan diri daripada 1 pemain yang akan memburu pemain melalui kamera litar tertutup, dan meletakkan pelbagai perangkap dan halangan buat pemain.

Menariknya, 1 pemain tersebut juga berupaya untuk mengawal Mr. X iaitu bagi anda yang bermain permainan Resident Evil 2 yang diolah semula sebelum ini pasti akan mengetahui betapa berkuasanya watak tersebut.

Menariknya lagi, keempat-empat watak yang dikawal oleh sepasukan pemain tersebut juga mempunyai beberapa kemahiran berbeza yang mana setiap satunya berupaya untuk melakukan sebilangan perkara seperti keupayaan untuk merosakkan kamera litar tertutup, serangan jarak dekat yang berkuasa, menyembuh pemain lain dan sebagainya.

Menurut Capcom, mereka juga akan mengadakan sesi beta tertutup dan ianya akan bermula 4 hingga 7 Oktober 2019 ini. Bagi anda yang berminat, pendaftaran boleh dibuat sekarang bermula 11 hingga 18 September ini melalui laman rasmi permainan tersebut.

Buat masa ini, permainan ini sememangnya kelihatan agak menarik dengan bentuk strategi dan taktikal yang pelbagai dicampur dengan bentuk aksi penembak multi-pemain koperasi yang pasti akan memberi cabaran buat pemain. Kami pasti akan mengemaskini sebarang informasi lanjut setelah ianya diumumkan kelak.

Sohor Kini