Death Stranding Disahkan Bakal Tiba Di PC Pada Tahun Hadapan

Kemaskini: Melalui laporan, versi PC permainan ini disahkan akan diterbitkan oleh 505 Games, namun platformnya masih belum diumumkan.

Tampaknya ura-ura berkenaan permainan Death Stranding tidak akan menjadi permainan eksklusif di PlayStation 4 adalah betul di mana hari ini, Kojima Productions mengumumkan permainan tersebut akan tiba di PC pada suku ketiga tahun hadapan.

Buat masa ini, platform PC yang bakal mereka lancarkan masih belum diumumkan. Namun, kami percaya ianya mungkin akan tiba di Epic Games Store memandangkan platform tersebut merupakan salah satu pilihan kebanyakan pembangun dan penerbit permainan video. Meskipun begitu kami pasti akan berkongsi setelah ia diumumkan kelak.

Selain itu, Kojima Productions juga umum acara jelajah seluruh dunia yang mana Hideo Kojima sendiri, iaitu pereka dan pengarah permainan tersebut akan ke Singapura pada 17 November ini.

Death Stranding merupakan permainan dunia terbuka oleh Kojima Productions dan ia bakal tiba 8 November 2019 ini di konsol Playstation 4.

Bagi anda yang berminat, pra-tempahan sudah pun bermula dan senarai edisi dan harga permainan tersebut boleh dibaca melalui artikel ini. Selain itu, Sony Interactive Entertainment juga umum berkas khas Playstation 4 Pro yang anda boleh pra-tempah dengan harga RM1,799.

Sohor Kini