Skip to main content

Sebelum ini kami berkongsikan yang mana Simulacra 2 akan dilancarkan sekitar tahun ini yang mana ianya adalah permainan seterusnya oleh Kaigan Games, iaitu pembangun tempatan untuk siri permainan genre “telefon hilang”.

Terkini, ketika acara media Level UP KL yang berlangsung awal pagi ini di Bangsar, Shahrizar Roslan iaitu pengasas studio tersebut berkongsi sebilangan kemaskini berkenaan permainan tersebut.

Perkara pertama yang dikongsikan adalah muzik latar rasmi buat permainan akan datang tersebut kini sudah boleh distrim di platform muzik seperti Spotify dan Apple Music. Menurut Shahrizar, muzik tersebut merupakan muzik rasmi yang berdasarkan watak-watak di dalam permainan tersebut.

Selain itu, Shahrizar juga mengesahkan yang mana tarikh pelancaran permainan Simulacara 2 akan diumumkan ketika acara Level UP KL yang bakal berlangsung November ini.

Manakala bagi anda yang masih belum permainan pertama Simulacra, Shahrizar hari ini juga menyatakan bahawa mereka kini bekerjasama bersama Wales Interactive untuk melancarkan permainan tersebut di konsol iaitu PlayStation 4, Xbox One dan juga Switch. Namun, informasi lanjut akan diumumkan kemudian.

Semestinya ini adalah pengumuman yang harus dibanggakan atas kejayaan pembangun tempatan bukan sahaja berjaya ke peringkat antarabangsa, malah pelancaran di pelbagai platform yang mana pasti akan menarik minat lebih banyak pemain di seluruh dunia.

Kami di Aksiz ingin mengucapkan tahniah dan segala informasi lanjut berkenaan permainan ini di acara Level UP KL pada November kelak, pasti akan kami kongsikannya.

Leave a Reply