Informasi Permainan Video Terkini
Level Up KL 2019 Bakal Berlangsung November Ini – Buat Pertama Kalinya Dibuka Kepada Awam

Level Up KL 2019 Bakal Berlangsung November Ini – Buat Pertama Kalinya Dibuka Kepada Awam

Diterbitkan pada Ogos 9, 2019 oleh .

Acara Level Up KL berlangsung dengan jayanya tahun lepas yang mana MDEC memperlihatkan pelbagai persidangan industri permainan video bukan sahaja di Malaysia, malah buat seluruh Asia Tenggara.

Terkini, ketika acara persidangan khas Level Up KL 2019, MDEC akhirnya berkongsi tarikh rasmi buat acara Level Up KL bagi tahun ini di mana ianya bakal berlangsung pada 6 hingga 10 November ini. Ini meletakkan acara tahunan ke-5 buat Level Up KL bagi tahun ini yang mana pasti akan mengumpul lebih banyak pembangun-pembangun permainan video dari seluruh dunia.

Menariknya, acara Level Up KL 2019 kali ini akan terbahagi kepada dua sesi, iaitu sesi pertama Level Up KL Biz yang lebih memfokuskan bahagian bisnes akan berlangsung pada 6 hingga 8 November di Connexion Bangsar South.

Manakala sesi kedua pula iaitu Level Up KL Play yang memfokuskan sesi awam akan berlangsung pada 9 dan 10 November di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Buat masa ini, harga rasmi bagi tiket dan pas akses masih belum diumumkan. Namun apa yang pasti MDEC mengesahkan bahawa mereka akan menyediakan beberapa pas berbeza buat mereka yang ingin mengunjung ke acara tersebut mengikut sesi sama ada sesi awam mahupun sesi bisnes. Kami di Aksiz pasti akan mengemaskini setelah pihak MDEC mengumumkannya kelak.

Menariknya sekali, menurut Puan Surina Shukri, ketua pegawai eksekutif MDEC, acara tersebut sememangnya bakal menjadi satu acara tahunan yang seakan Tokyo Game Show ataupun Gamescom di Malaysia yang mana mereka menjanjikan lebih dari 30,000 pengunjung yang bakal hadir menjelang November kelak.

Semestinya dengan berlangsungnya acara Level Up KL bagi tahun ini, pihak MDEC pasti akan terus menyokong industri permainan video tempatan bukan sahaja bagi pihak pembangunan, malah industri e-sukan yang mana semakin berkembang pesat di Malaysia.


TIPS & ULASAN