Bandai Namco telah mengumumkan pelancaran ELDEN RING Tarnished Edition untuk platform Nintendo Switch 2 pada 28 Ogos 2026.
Edisi terbaharu ini menggabungkan permainan asas dengan kandungan tambahan Shadow of the Erdtree. Pemain juga akan menerima beberapa kandungan baharu termasuk dua kelas permulaan, set perisai watak tambahan, dan tetapan untuk mengubah suai rupa kuda tunggangan pemain iaitu Torrent.
Kandungan baharu dalam edisi ini tidak dikhususkan kepada Nintendo Switch 2 sahaja. Pemilik permainan asal di konsol lain boleh membeli penambahan tersebut di platform PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, dan PC melalui Steam pada tarikh yang sama.


Dihasilkan oleh Hidetaka Miyazaki dan George R.R. Martin, permainan bergenre Action-RPG dari FromSoftware ini menyokong mod pemain solo serta perlawanan dalam talian untuk sehingga enam pemain. Melalui penceritaan siri penambahan ini, pemain akan mengikuti jejak karakter Miquella untuk meneroka kawasan baharu yang menampilkan set bos, senjata, kebolehan, dan kelengkapan baharu.
ELDEN RING telah mencapai jualan keseluruhan sebanyak 30 juta unit di seluruh dunia dan menerima lebih 400 pencalonan untuk kategori “Game of the Year”.


