Simulacra

Kaigan Games merupakan pembangun permainan yang terkenal dengan hasil permainan mereka, Sara Is Missing yang dilancarkan pada tahun lepas buat telefon pintar dan PC dan mendapat pujian ramai dengan keunikkan bentuk permainannya.

Kini, Kaigan Games kembali dengan permainan terbaru iaitu Simulacra dimana ia menggunakan konsep permainan yang sama dimana anda menemui telefon pintar seseorang dan anda perlu menyelesaikan misteri melalui telefon tersebut.

Cerita

Penceritaan merupakan aspek utama di dalam permainan ini dimana ia memfokuskan watak Anna, iaitu pemilik telefon pintar tersebut. Anda ditugaskan untuk menyelesaikan misteri dan mengembalikan telefon bimbit tersebut kepada pemiliknya Anna. Namun, sepanjang anda melayari segala kandungan di telefon tersebut, anda mendapati terdapat pepijat yang membuat telefon tersebut tidak berfungsi dan kandungannya hilang.

Dari segi penceritaan, permainan ini memaparkan hasil yang sangat menarik dimana setiap hubungan antara watak-watak yang anda hubungi bersama kandungan gambar-gambar yang terdapat di dalam telefon tersebut memaparkan penceritaan yang berterusan tanpa sebarang kecacatan.

Menariknya setiap perwatakan yang dipaparkan seperti Greg, teman lelaki Anna ketika beliau menghubungi anda, ia berasa seolah nyata dengan espressi watak tersebut. Terutamanya apabila mereka membuat salah ejaan typo yang sering dihadapi oleh kita. Ia membuat seolah setiap watak yang dihubungi ketika di dalam permainan tersebut berasa nyata dan meyakinkan.

Namun begitu, ketika penghujung permainan ini, saya berasa sedikit kecewa dengan pengakhiran yang ringkas dan tidak memberi saya sebarang kepuasan dari segi pengakhirannya. Walaupun permainan ini terdapat pelbagai pengakhiran yang berlainan, ia masih lagi ringkas dimana setiap pengakhiran tersebut tidaklah memberi impak penceritaan yang terlalu berbeza. Skrip penceritaan permainan ini juga bagi saya agak mengecewakan dengan beberapa dialog yang sedikit cringe.

Tambahan pula, permainan ini mempunyai penceritaan yang agak pendek kerana saya boleh menghabiskan permainan ini dengan kurang daripada 4 jam sahaja. Walaupun saya boleh bermain semula untuk mendapatkan pengakhiran yang berlainan, ia tidak memberi saya sebarang kepuasan dan setiap kali sesi permainan tersebut saya perlu mengulangi dan menyelesaikan semula teka-teki di dalam permainan tersebut secara berulang kali.

Grafik

Dari segi visual grafik, permainan ini memberi satu gambaran yang sangat menarik dalam bentuk paparan antaramuka telefon pintar dan ia membuat saya berasa seolah betul-betul menggunakan telefon pintar milik Anna. Menariknya juga, setiap hasil gambar, video mahupun rekaan antaramuka permainan ini, ia meyakinkan saya bahawa telefon ini benar-benar mempunyai kandungan yang sangat misteri dan membuat saya berasa sangat janggal setiap kali saya melihat kandungan-kandungan telefon tersebut. Ia kerana anda berasa seolah anda betul-betul melayari telefon milik orang lain.

Permainan ini sememangnya dilancarkan di telefon pintar dan juga di PC melalui Steam, namun bagi saya, saya sangat mengesyorkan anda untuk bermainnya di telefon pintar kerana fungsi-fungsi permainan ini lebih sesuai dimainkan bersama skrin sesentuh kerana ia menyerupai pengedalian seperti telefon pintar dan ia merasai pengalaman yang lebih immersif.

Audio

Audio di dalam permainan Simulacra ini sememangnya memberi saya pengalaman yang ngeri dengan pelbagai bunyian seperti pepijat, jeritan dan sebagainya. Ia juga menghasilkan satu pengalaman yang mengejutkan terutamanya apabila skrin paparan tersebut menukar secara tiba-tiba dan audio seperti bunyi retakan berlaku.

Dari segi suara latar pula, pada pendapat saya setiap watak yang dilakonkan adalah sangat baik dan meyakinkan. Terutamanya watak Anna dimana ketika saya mempelajari sedikit demi sedikit berkenaan watak tersebut selepas menonton video Vlog beliau dan sebagainya, ia meyakinkan saya untuk menyelamatkan beliau disamping memberi saya pengalaman yang membuat saya risau dan mengambil berat terhadap watak tersebut.

Kawalan Permainan

Permainan ini sememangnya mempunyai kawalan permainan yang sangat unik. Seperti permainan Sara Is Missing sebelum ini, anda akan melayari kandungan-kandungan telefon pintar tersebut seperti memasuk aplikasi Jabbr, iaitu aplikasi seperti Twitter. Manakala aplikasi Spark yang menyerupai aplikasi Tinder dan aplikasi Gallery dimana pemain berupaya untuk melihat gambar-gambar kandungan yang terdapat di dalam telefon tersebut.

Setiap tindakan yang dilakukan oleh pemain merupakan satu aspek penting untuk menyelesaikan misteri permainan Simulacra tersebut. Menariknya juga pemain juga berpeluang untuk membalas mesej-mesej yang dihantar mengikut pilihan yang disediakan sekaligus menghasilkan satu perbualan yang sangat meyakinkan.

Pemain juga perlu menyelesaikan beberapa teka-teki seperti membuka imej-imej yang dikunci dengan memilih pilihan gambar dengan tepat dan menyelesaikan kandungan mesej yang diterima untuk memajukan penceritaan disamping menyelesaikan misteri permainan tersebut.

Setiap aspek bentuk permainan Simulacra tersebut sememangnya memberi satu bentuk yang sangat meyakinkan seolah anda menggunakan telefon pintar milik Anna. Namun, terdapat juga had yang boleh dilakukan di dalam permainan ini seperti saya tidak berupaya untuk menjawab panggilan dan menghantar mesej tanpa menggunakan pilihan yang diberikan.

Kesimpulan

Akhir kata, permainan Simulacra sememangnya sebuah permainan yang sangat menyeronokkan dan sangat menyeramkan. Ia memberi satu pengalaman yang menarik dan pada masa yang sama agak janggal kerana anda sedang melayari kandungan telefon pintar milik orang lain.

Hasil kualiti permainan ini juga sangat menakjubkan dengan watak-watak yang menyakinkan pada masa yang sama memberi satu misteri pengalaman permainan yang sangat unik sepanjang saya bermain permainan tersebut.

Namun dengan penceritaan yang agak pendek dan pengakhiran yang agak mengecewakan, saya berasa ia masih lagi perlu pernambah-baikkan dari segi pengakhiran. Permainan ini juga menjadi kurang menakutkan apabila anda bermain untuk kali kedua jika anda ingin mendapatkan pengakhiran yang berbeza.

Tetapi dengan hanyalah berharga RM20, saya percaya ia berbaloi dengan harganya, terutamanya bagi mereka yang berminat dengan bentuk permainan Sara Is Missing yang mana dibangunkan oleh Kaigan Games juga.

Muat-Turun Simulacra di Android (RM19.99)

Muat-Turun Simulacra di iPhone (RM19.90)

Muat-Turun Simulacra di Steam (RM12.50)

Sohor Kini