Kami boleh katakan deman konsol generasi baharu secara rasminya bermula, Microsoft terlebih dahulu mengumumkan yang konsol Xbox generasi baharu akan tiba pada akhir tahun 2020. Manakala Sony pula sekadar mengumumkan konsol generasi baharu akan tiba sahaja.
Sehinggalah hari ini, apabila Sony akhirnya berkongsi lanjut mengenai konsol generasi baharu tersebut. Oleh disebabkan Sony melakukan pengumuman secara berperingkat, dan kebanyakan melalui laman Wired, melalui penulisan ini, kami akan kongsi segala perkara yang kita sudah ketahui mengenai konsol generasi baharu oleh Sony tersebut.
Oleh disebabkan terdapat banyak lagi informasi yang tidak dikongsi, ini bukanlah satu informasi penuh, apabila informasi baharu tiba kelak, kami akan kemaskini artikel ini.
Nama dan Tarikh Pelancaran
Pada 8 Oktober 2019, Jim Ryan iaitu Presiden dan CEO untuk Sony Interactive Entertainment (SIE) melalui laman rasmi PlayStation mengumumkan yang konsol generasi baharu oleh Sony akan mengekalkan penamaan seperti sebelum ini iaitu PlayStation 5.
Di pengumuman yang sama, beliau juga mengumumkan yang PS5 tersebut akan dikeluarkan pada “Holiday, 2020” ataupun akhir tahun 2020 iaitu sama dengan pengumuman yang dilakukan oleh Microsoft untuk konsol generasi baharu mereka sebelum ini.
Ini dengan kata lain, menandakan generasi konsol ke-8 yang bermula pada tahun 2012 akan berakhir pada akhir tahun hadapan iaitu selepas 8 tahun, menjadikan ia adalah generasi konsol paling singkat dan mempunyai jumlah konsol paling sedikit.

Di CES 2020, Sony juga berkongsi logo rasmi untuknya, yang tidak mempunyai sebarang perbezaan berbanding dengan logo sebelum ini kecuali nombor 4 digantikan dengan nombor 5.
Tarikh tetap buat masa ini tidak diumumkan lagi, tetapi kami menjangkakan sekitar bulan November ataupun pada awal Disember.
Spesifikasi
Buat masa ini tidak maklumat yang terperinci mengenai spesifikasi yang akan disertakan di dalam PlayStation 5, akan tetapi Sony sudah berkongsi apa yang boleh dilakukan oleh konsol tersebut, yang bagi kami adalah maklumat yang lebih penting berbanding mengetahui apa perkakasan yang digunakan.

CPU & GPU
Seperti konsol sebelum ini, PS5 akan terus mengekalkan penggunaan cip buatan AMD dan ia adalah berdasarkan generasi ketiga untuk siri AMD Ryzen dan akan mengandungi 8 teras yang menggunakan seni bina mikro 7nm Zen 2.
Manakala untuk GPU pula, ia akan menggunakan GPU rekaan khas yang dibina berdasarkan siri Radeon Navi. Di mana ia akan menyokong Ray-tracing, dan menurut sistem arkitek untuk PS5 Mark Cerny, ia akan disokong melalui perkakas GPU dan bukan melalui perisian. Dengan kata lain, ray-tracing yang disediakan adalah secara asli.
Selain itu ia juga akan menyokong 3D audio di mana Cerny mengatakan ia akan mengubah penghasilan bunyi di dalam permainan video, ia akan memberikan pengalaman yang lebih mendalam.
Dengan spesifikasi ini, PS5 akan menyokong resolusi sehingga 8K tetapi ia berkemungkinan besar bergantung kepada pembangun untuk menyertakan resolusi sebanyak itu, ataupun terus mengekalkan resolusi 4k sebagai asas, terutama pada awal pelancaran PS5 kelak.
Storan
Apa yang sudah disahkan buat masa ini adalah PS5 akan menggunakan Solid State Drive (SSD) dengan piawai PCIe 4.0 sebagai storan dalaman. Walaupun ia sudah menjadi kebiasaan untuk PC ataupun komputer riba, tetapi ia adalah sesuatu yang baharu untuk konsol. Menurut Cerny, SSD di konsol akan berfungsi lebih baik berbanding sesetengah SSD yang terpasang di PC.
Namun buat masa ini tidak disahkan mengenai jumlah storan yang akan disediakan. Seperti kita sedia maklum, harga untuk SSD adalah lebih mahal berbanding storan biasa yang digunakan. Jadi untuk memastikan konsol tidak terlalu mahal, ada kemungkinan besar ia tidak akan menyertakan storan dalaman lebih banyak daripada 500 gb pada awal pelancaran.
Mungkin ia sudah mencukupi dan menurut Cerny, disebabkan mereka menggunakan SSD, pembangun tidak lagi perlu menyimpan data berulang (untuk mencepatkan pemuatan) yang akan menjadikan sesuatu permainan memerlukan storan yang lebih sedikit.
Seperkara lagi adalah melalui PS5, pemain diberi pilihan untuk memasang mana-mana bahagian permainan. Contohnya, jika permainan tersebut menyertakan mod solo dan mod multi-pemain, pemain boleh memasang mod multi-pemain sahaja dan memasan mod solo kemudian, ataupun memasang kesemuanya dan membuang sesuatu mod kemudian. Ini akan memberikan pengguna lebih pilihan untuk pengurusan storan.
Menurut Cerny lagi, dengan keupayaan ini, ia masih bergantung kepada pembangun untuk mengambil kesempatan dengan menghasilkan dunia yang lebih besar ataupun ingin memastikan permainan bersaiz kecil.
Untuk kelajuan storan pula, seperti kita ketahui ia adalah lebih pantas daripada storan biasa, dan berdasarkan video perbezaan yang diperlihatkan oleh Sony, sesuatu yang mengambil PS4 Pro memerlukan 8 saat, akan mengambil masa 0.83 saat sahaja di PS5. Ini dengan harapan untuk mengelak daripada permainan memerlukan skrin pemuatan, sesuatu yang sudah dicapai oleh permainan di generasi ini tetapi dengan menggunakan pelbagai trick.
Pemacu Optik
Ia akan terus menggunakan pemacu optik tetapi kini akan turut berfungsi untuk menjadi pemain bluray yang menyokong media 4K. Sesuatu yang sudah hadir di Xbox One. Permainan fizikal untuk PS5 akan hadir di dalam cakera optik sebesar 100GB (PS4 menyokong sehingga 50GB sahaja).
PS5 yang dibina berdasarkan arkitek PS4 akan mempunyai sokongan untuk permainan daripada konsol tersebut akan tetapi buat masa ini, tidak disahkan jika pemacu optik di dalam PS5 berupaya untuk membaca cakera optik tersedia daripada PS4. Kami menjangkakan (baca berharap) ia akan menyokongnya.
DualShock 5
Sony telah berkongsi beberapa maklumat baharu mengenai alat kawalan yang bakal hadir bersama dengan PS5, dan berdasarkan prototaip yang digunakan oleh Wired, mereka mengatakan ia mempunyai rekaan seperti DualShock 4.
Jika mengikut penamaan sebelum ini, alat kawalan tersebut mungkin akan bernama DualShock 5 akan tetapi Cerny mengatakan buat masa ini, ia tidak mempunyai sebarang nama rasmi. Maklumat lanjut mengenainya juga akan dikongsi kemudian.
Namun, Sony ada mengatakan yang mereka menyertakan dua inovasi untuk alat kawalan baharu tersebut. Inovasi pertama adalah mereka menggunakan haptik berbanding getaran (rumble) di alat kawalan sebelum ini. Haptik akan memberikan getaran di alat kawalan lebih realistik bergantung kepada apa yang berlaku di dalam permainan.
Berdasarkan yang dilaporkan oleh Wired, semasa mereka mencuba alat kawalan baharu tersebut, ia akan memberikan perasaan berbeza apabila watak di dalam permainan melalui kawasan yang berbeza seperti pasir dan. Ia juga memberikan getaran berbeza semasa pemain melompat dan meluncur.
Teknologi ini bukan satu perkara yang baharu, Nintendo sudah menggunakannya untuk Joy-con yang diguna sepenuhnya untuk permainan seperti 1-2 Switch, tetapi buat masa ini tidak boleh disahkan jika alat kawalan baharu Sony tersebut menggunakan teknologi yang sama ataupun yang lebih baik.
Inovasi kedua yang disertakan adalah picu penyesuaian (adaptive trigger) yang disertakan di butang R2/L2. Melaluinya pembangun boleh menyertakan kesan rintangan pada butang tersebut untuk memberi perasaan yang berbeza apabila memanah ataupun sedang memandu kereta di tanah.
Selain daripada itu, Sony juga mengesahkan yang alat kawalan baharu ini akan menyertakan kapasiti bateri yang lebih besar, ia juga akan menggunakan USB Type-C yang berdasarkan pengalaman kami akan memberikan kadar pengecasan lebih pantas. Oleh disebabkan hadirnya enjin untuk kesan haptik, alat kawalan ini akan menjadi lebih berat berbanding DS4 tetapi masih lebih ringan berbanding alat kawalan Xbox One bersama dengan bateri.
Mengenai sokongan pembantu A.I. di alat kawalan, Cerny tidak memberi sebarang pengesahan sebaliknya mengatakan mereka sering mengeluarkan paten dan ada yang akan disertakan di produk akhir, ada yang tidak.
Antaramuka
Bagi kami perubahan antaramuka daripada PS3 ke PS4 adalah sangat minima, oleh disebabkan itu kami tidak pasti jika Sony akan menyertakan perubahan yang drastik ataupun akan terus mengekalkan antaramuka yang sama tetapi dengan pelbagai penambah-baikkan.
Namun sesuatu yang sudah disahkan adalah, laman utama untuk PS5 akan memberi pemain lebih banyak maklumat. Sasaran Sony adalah untuk mengelak pemain perlu melancar permainan untuk mengetahui apa yang boleh dilakukan. Contohnya, jika satu permainan yang mempunyai pelbagai misi utama dan misi sampingan, pemain boleh melihat senarai misi tersebut di laman utama tanpa perlu melancarkan permainan tersebut.
Perkara yang sama untuk permainan multi-pemain, pemain dapat melihat secara masa nyata mengenai acara yang sedang berlaku untuk sesuatu permainan, tanpa memerlukan pemain melancarkan permainan tersebut. Jika pemain ingin bermain acara tersebut, ia boleh dilancarkan terus daripada laman utama.
Apa yang masih kita tidak tahu?
Maklumat-maklumat yang sudah dikongsi serba sedikit memberi kita gambaran mengenai PlayStation 5. Namun, terdapat pelbagai lagi maklumat penting kita tidak tahu.
Antaranya adalah harga, dengan pelbagai penambahan yang boleh dikatakan agar besar berbanding PS4 termasuk juga PS4 Pro, adakah ia lebih mahal daripada harga asal untuk PS4 Pro iaitu RM1,799. PS4 semasa dilancarkan pada tahun 2013 bermula dengan harga RM1,449.
Kami merasakan ia akan ditawarkan dengan harga mencecah RM2000, yang bagi kami harga permulaan yang mahal untuk menarik ramai pemain. Hujah kami untuknya adalah, Sony akan terus menjadikan PS4 Pro sebagai konsol yang akan hadir bersama dengan PS5. Dengan kata lain, PS4 sekarang akan digantikan dengan PS4 Pro, dan PS4 Pro akan digantikan dengan PS5.
Kita juga tidak tahu mengenai permainan-permainan yang akan hadir semasa PS5 dilancarkan kelak. BluePoint iaitu pembangun yang membawa olahan semula Shadow of the Colossus sedang membangunkan permainan untuk PS5.
Selain daripada itu, apa yang kami boleh katakan, Guerilla Games adalah antara studio yang tidak mempunyai sebarang projek untuk konsol generasi sekarang selepas mengeluarkan Horizon Zero Dawn pada tahun 2017, mungkin sedang membangunkan satu permainan.
Rekaan konsol juga masih menjadi rahsia, menurut Wired, apa yang diperlihatkan semasa mereka mencuba konsol baharu adalah sekadar kit pembangunan PS5, yang mempunyai rekaan seperti yang tertiris sebelum ini akan tetapi rekaan kit pembangunan kebiasaan bukan rekaan yang akan digunakan pada konsol akhir.
Akhir tahun 2020 akan menjadi permulaan untuk generasi konsol baharu, berdasarkan beberapa analisa dan ura-ura, ia juga akan menjadi generasi konsol terakhir sebelum industri permainan video beralih ke penstriman.
Seperti yang kami nyatakan di atas, apabila sebarang maklumat baharu dikongsi, kami akan kemaskini artikel ini dengan maklumat terbaru. Kami menjangkakan yang Sony akan melakukan pengumuman lanjut mengenai PS5 di acara PlayStation Experience yang mungkin dianjurkan pada akhir tahun ini dan maklumat seterusnya akan dikongsi pada E3 2020 termasuk juga tarikh ia dilancarkan.
Sumber: