Lanjutan pengumuman pelancaran Re:Legend di Steam sebagai permainan akses awal sebelum ini, hari ini ketika acara persidangan Level Up KL 2019, Magnus Games Studio juga berkongsi sebilangan informasi lanjut berkenaan permainan tersebut sempena pelancarannya.
Antara pengumuman yang dikongsikan adalah permainan tersebut bakal menyertakan sebilangan kandungan-kandungan budaya dari Malaysia seperti bangunan, bunga-bungaan dan sebagainya. Menariknya sekali, DC Gan, pengasas studio tersebut juga mengesahkan bahawa “Nasi Lemak” juga bakal disertakan di dalam permainan ini.
Menariknya, berdasarkan imej yang dipertunjukkan oleh Magnus Game Studio, permainan tersebut bukan sahaja mempunyai bunga kebangsaan Malaysia iaitu Bunga Raya, malah Bunga Raflesia juga disertakan. Selain itu elemen bangunan seperti ruman panjang, layang-layang Wau dan juga alat muzik dari Malaysia juga diperlihatkan.
Seperti yang dilaporkan oleh kami, Re:Legend sebelum ini diperkenalkan melalui laman biayasama Kickstarter di mana mereka mengutip dana sebanyak S$630 ribu (~RM1.9 juta) yang berakhir pada tahun 2017. Mereka juga mengumumkan kerjasama dengan penerbit permainan 505 Games pada tahun lepas untuk menerbitkan permainan ini.
Re:Legend dijadualkan untuk dilancarkan di Playstation 4, Xbox One, Switch dan juga PC. Namun buat masa ini platform PC sahaja yang bakal tiba penghujung bulan ini melalui Steam. Bagi platform lain, Magnus Games Studio masih belum mengumumkannya.