Pemain di Asia Tenggara, termasuk Singapura, Malaysia, dan Filipina, kini boleh membuat pendaftaran awal untuk permainan Monster Hunter Outlanders. Permainan bergenre survival hunting action untuk platform Mobile ini diterbitkan oleh Garena bagi pasaran serantau, dengan pembangunan oleh TiMi Studio Group dan berada di bawah pelesenan serta seliaan Capcom. Kempen pendaftaran awal kini sedang berlangsung menerusi laman web rasmi berserta acara penjejakan pencapaian komuniti.

Sebagai ganjaran, pemain berpeluang menerima Standard Contract x20, watak pengembara peringkat SR Raya, dan pelbagai ganjaran perkembangan lain. Ganjaran ini akan diberikan apabila sasaran pendaftaran dan jumlah pengikut media sosial berjaya dicapai menjelang pelancaran. Pihak pembangun akan mengumumkan maklumat terperinci mengenai syarat sasaran dan proses penebusan ganjaran pada masa akan datang.

Berlatarkan daratan baharu yang dipanggil Aesoland, permainan ini menampilkan ekosistem yang luas dengan keadaan rupa bumi dan cuaca yang berbeza mengikut wilayah. Bagi memudahkan pergerakan, pemain dibekalkan dengan sistem pembinaan lapangan untuk mendirikan kemudahan seperti pelancar, zipline, dan alat meluncur untuk meneroka serta mencari item tugasan.

Monster Hunter Outlanders mengekalkan teras permainan siri Monster Hunter seperti proses memerhati tingkah laku raksasa, mengumpul bahan, dan menempa kelengkapan. Kawalan permainan telah dioptimumkan supaya sesuai dimainkan pada skrin sentuh, di mana pemain boleh melakukan serangan kombo berturut-turut hanya melalui satu butang. Selain menampilkan raksasa klasik dari siri asal, pemain juga bakal berhadapan dengan raksasa baharu dan spesies eksklusif untuk judul ini yang dikenali sebagai “Radiant Species”.

Sistem watak dalam permainan ini terdiri daripada pelbagai individu yang digelar “adventurers” dengan latar belakang dan set kemahiran unik. Pemain akan turut dibantu oleh rakan pembantu semasa pemburuan. Selain Palico, terdapat dua rakan pembantu baharu yang diperkenalkan, iaitu Trillan dan Rutaco.

Permainan ini menyokong mod multi-pemain secara masa nyata yang membolehkan sehingga empat orang bekerjasama. Mod ini memberi ruang kepada pemain untuk membahagikan tugasan serta menggabungkan kemahiran. Terdapat juga sokongan sistem sosial berbentuk pasukan tetap dan persatuan pengembaraan.

Pemain boleh mula mendaftar menerusi laman web pra-pendaftaran serta mengikuti saluran rasmi permainan di Discord, Facebook, dan Instagram untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dunia Aesoland, pendedahan raksasa baharu, serta status pelancaran.

Leave a Reply