Permainan Re: Legend yang dibangunkan oleh pembangun Magnus Game Studio dari Malaysia, kini mengumumkan bahawa mereka akan bekerjasama bersama Digital Bros melalui anak syarikat pengeluar permainan mereka, 505 Games untuk mengeluarkan permainan tersebut.

Magnus Game Studio merupakan syarikat pembangun permainan yang pertama di Malaysia yang bekerjasama dengan pengeluar permainan dari Itali tersebut iaitu 505 Games dimana mereka terkenal dengan pengeluaran permainan seperti Terraria, Inside, Limbo dan Stardew Valley.

Menurut pengasas Magnus Game Studio, DC Gan menyatakan bahawa beliau sangat berbangga dengan kerjasama ini dan berharap pemain dapat mengembangkan lagi permainan Re: Legend secara global. Selain itu, mereka juga sedang membina beta terbuka untuk pemain dimana pemain berpeluang untuk mencubanya sebelum ia dilancarkan kelak.

Raffaele Galante, CEO daripada Digital Bros menyatakan bahawa beliau amat berbangga untuk bekerjasama bersama Magnus Game Studio dimana beliau berharap untuk membawa permainan Re: Legend ke pasaran global bukan sekadar di Asia Tenggara sahaja.

Ini merupakan satu kejayaan yang besar buat Magnus Game Studio memandangkan permainan tersebut dibangunkan oleh Malaysia. Kini dengan kerjasama 505 Games, permainan tersebut tampaknya akan mendapat pelbagai sokongan daripada pengeluar permainan tersebut.

Acara tersebut juga disokong oleh MDEC dimana Dato’ Ng Wan Peng, ketua pegawai operasi MDEC juga menyatakan bahawa beliau sangat berbangga dengan pencapaian Magnus Game Studio sekaligus berharap mereka akan terus berjaya pada masa akan datang.

Re: Legend adalah permainan penjanaan raksasa yang mengandungi elemen-elemen memancing, berkebun, crafting, pembinaan dan juga multi-pemain. Permainan ini asalnya dirancang untuk dilancarkan di konsol Playstation 4, Xbox One, Switch dan PC.

Melalui permainan ini, pemain berupaya untuk membina kebun sendiri, menjana raksasa dan mengembara untuk mencari barangan buat meningkatkan lagi taraf pemain. Permainan ini juga menyokong multi-pemain sehingga empat pemain melalui atas-talian.

Permainan ini asalnya dijana melalui Kickstarter pada tahun lepas yang mana mereka dijana melebihi RM2.4 juta sekaligus ia merupakan kempen Kickstarter yang dijana terbesar buat Asia Tenggara. Hasil janaan tersebut juga membenarkan mereka untuk melancarkan permainan tersebut di pelbagai konsol termasuklah Switch. Selain itu, Magnus Game Studio juga menjanjikan bahawa permainan tersebut akan mengandungi suara latar dan juga muzik khas yang direkod oleh sekumpulan orkestra.

Namun, buat masa ini tarikh pelancaran bagi permainan masih lagi belum diumumkan. Namun Magnus Games Studio menyatakan bahawa mereka sedang membangunnya dengan baik dan akan melancarkannya pada tahun ini.

Sohor Kini