God Of War, iaitu salah satu permainan aksi pengembaraan yang menjadi satu francais terkenal bagi konsol Playstation, kini siri terbaru permainan tersebut bakal dilancarkan semula sebagai satu perolahan yang baru oleh Santa Monica Studio pada 20 April ini secara esklusif di Playstation 4.
Namun, mungkin ramai tertanya jika mereka perlu bermain siri God Of War sebelum ini untuk bermain God Of War terbaru ini? Jawapannya tidak, dimana Aaron Kaufman pengurus komuniti permainan tersebut menyatakan bahawa permainan ini sememangnya untuk mereka yang baru buat siri God Of War dan mereka yang sudah lama tidak bermain permainan God Of War. Bagi temu bual penuh, anda boleh menontonnya di sini.
Walaubagaimana pun, hari ini saya ingin berkongsi 5 perubahan utama buat permainan terbaru God Of War ini berbanding permainan God Of War sebelum ini yang membuatkan permainan menjadi lebih baik.
Tiada Lagi Kamera Statik Dan Mengelak Menggunakan Analog Kanan
Antara perubahan utama bagi permainan God Of War terbaru ini adalah perubahan bentuk sistem kameranya. Dimana pada permainan God of War sebelum ini, pemain tidak boleh mengawal kamera dan analog kanan hanya boleh digunakan untuk mengelak serangan musuh. Sekaligus ia mengehadkan penglihatan pemain dan pemain akan sering menghadapi kesukaran untuk bermain permainan tersebut.
Melalui perubahan ini, kini pemain berpeluang untuk mengawal penglihatan permainan tersebut dengan lebih meluaskan sekaligus pemain berupaya untuk melihat keadaan sekeliling permainan tersebut dan menikmati visual grafik yang cantik buat permainan tersebut. Selain itu, dengan kawalan kamera, sistem pertempuran menjadi lebih senang dan pemain berupaya untuk melihat ke arah musuh dengan lebih cepat.
Tambahan juga kini pemain akan berada di sudut kamera atas bahu Kratos sekaligus memberi pandangan pespektif Kratos dan pemain dengan lebih dekat. Ia sememangnya seolah membuat pemain untuk melihat buat sudut pandangan watak Kratos itu sendiri dan menghasilkan kesan yang lebih mendalam buat penceritaan permainan tersebut. Tambahan juga, keseluruhan permainan ini ditayangkan seolah kamera tunggal, sekaligus membuat ianya lebih mendalam dan mendekatkan dengan pemain.
Kawasan Permainan Yang Lebih Terbuka
Selain daripada perubahan bentuk kamera permainan, kali ini God Of War tiba dengan kawasan yang lebih luas untuk pemain teroka sekaligus ia melengkap antara satu sama lain dengan sistem kamera tersebut.
Dengan keupayaan untuk meneroka kawasan yang lebih luas, pemain diberi pelbagai ruangan untuk mencari pelbagai barangan dan juga sebilangan kawasan rahsia untuk mendapat sebilangan barangan tambahan bersama barangan-barangan koleksi.
Kawasan yang luas ini juga memberi kebebasan yang menarik bagi pemain yang mana kini pemain diberi peluang untuk meneroka kawasan bertemakan mitologi Norse yang sangat cantik. Kebebasan ini juga membuka peluang yang menarik untuk pemain menikmati permainan tersebut dan memberi perasaan “penerokaan” di dalam permainan pengembaraan ini.
Walaupun permainan ini tidaklah mempunyai kawasan dunia terbuka yang terlampau meluas, tetapi dengan kawasan yang lebih terbuka berbanding permainan sebelum ini, sememangnya memberi impak yang sangat menarik buat siri God Of War terbaru ini.
Pertempuran Yang Lebih Mendalam Dan Mendasar
Sistem pertempuran yang terdapat di dalam God Of War kali ini juga diubah dengan drastik dimana tidak seperti permainan sebelum ini pemain hanya menghempas butang kawalan untuk menyerang, kini pertempuran lebih mendalam dan mendasar sekaligus membuat pertempurannya lebih taktikal.
Mungkin ramai akan menganggap bahawa pertempuran God Of War kini semakin hampir dengan bentuk pertempuran permainan Dark Souls ataupun Bloodborne, namun pada pendapat saya, ia masih lagi mempunyai ciri-ciri seperti permainan God Of War sebelum ini seperti serangan tangkap dan serangan Spartan Rage ikonik Kratos.
Ini juga dapat dilihat melalui setiap impak serangan Kratos yang sentiasa mengingatkan kita bahawa Kratos mempunyai tenaga dan kuasa yang sangat kuat bersama kesan-kesan serangan beliau terhadap musuh membuat kita sentiasa asyik dengan keganasan yang dipaparkan. Tambahan juga, dengan kemahiran baru yang boleh dipelajari sepanjang permainan ini, ia sememangnya memhasilkan satu bentuk pertempuran yang unik dan memuaskan.
Akan tetapi, melalui bentuk pertempuran yang baru ini juga, pemain sentiasa perlu lebih berhati-hati dan setiap pertempuran dengan musuh tidak boleh dianggap mudah memandang kesilapan yang ringan akan memberi kesan yang buruk buat pemain.
Atreus Kini Membantu Anda Sepanjang Pengembaraan
Satu lagi perubahan dalam bentuk pertempuran juga, kini pemain ditemani dengan teman yang dikawal oleh kecerdasan buatan, iaitu Atreus. Walaupun Atreus dikawal dengan kecerdasan buatan, pemain juga berupaya untuk mengawal serangan Atreus dengan menggunakan kawalan butang segi empat untuk menyuruh Atreus untuk memanah musuh.
Pada masa yang sama, ketika pemain membuat sasaran untuk membaling kapak Leviatan, pemain juga berupaya untuk memilih sasaran bagi Atreus untuk menyerang panah beliau. Sekaligus ini menyenangkan lagi untuk pemain mengumpan musuh ke arah Atreus dan tidak ke arah pemain. Ini membuatkan bentuk permainan ini lebih dinamik dan memberi peluang untuk pemain memfokus pertempuran musuh secara berperingkat.
Satu lagi benda yang menarik adalah pemain tidak perlu mengasuh Atreus. Memandang Atreus tidak langsung mempunyai sebarang bar nyawa, beliau juga tidak akan mengganggu pemain ketika sesi permainan. Walaupun begitu, dari semasa ke semasa, Atreus mungkin juga akan ditangkap oleh musuh dan pemain perlu melepaskannya, akan tetapi ia semememangnya tidak memberi sebarang kesan drastik buat permainan tersebut.
Pernaik-tarafan Kelengkapan Dan Senjata
Satu aspek yang menarik yang terdapat di dalam permainan God Of War kali ini adalah fungsi pernaik-tarafan kelengkapan Kratos dan juga Atreus. Aspek elemen seakan permainan RPG ini membuka lebih luas lagi aspek bentuk permainan God Of War dimana ia memberi peluang pemain bukan sahaja meningkatkan taraf kekuatan Kratos, malah memberi perubahan visual terhadap kelengkapan-kelengkapan watak tersebut.
Sebelum ini, permainan God Of War hanya terhad dari segi pernaik-tarafan dan hanya memfokuskan kemahiran dan juga senjata. Kini melalui permainan God Of War terbaru ini, pemain bukan sahaja berpeluang untuk menaik-tarafkan senjata, malah kesemua kelengkapan Kratos termasuklah pakaian, perisai dan kelengkapan-kelengkapan Atreus.
Berdasarkan temu bual bersama Aaron Kaufman, beliau juga menyatakan bahawa bentuk pernaik-tarafan ini juga akan mengembangkan lagi bentuk pertempuran senjata tersebut dimana setiap kali pemain menaik-tarafkan sesuatu senjata, ia seolah pemain akan mendapat senjata yang baru.
Memang tidak dinafikan, permainan terbaru God Of War kali ini diolah semula dengan diberi nafas yang baru dan pada masa yang sama masih lagi mengekalkan watak Kratos yang sama daripada siri-siri God Of War sebelum ini. Namun begitu, ia tetap merupakan permainan buat mereka yang minat dengan siri God Of War dan juga mereka yang baru buat siri tersebut.
Minggu lepas, kami juga berpeluang untuk mencuba permainan tersebut bagi 3 jam pertama. Bagi anda yang ingin mengetahui pandang pertama bagi permainan tersebut, kami ada berkongsinya di artikel ini.
God Of War akan tiba pada 20 April ini secara ekslusif buat konsol Playstation 4. Ia akan dijual dengan harga bermula RM209 sehingga RM549 untuk Collector Edition melalui pengedar rasmi Playstation. Manakala berkas Playstation 4 Pro juga diumumkan dimana anda boleh mengetahuinya lebih lanjut di artikel ini.