Minggu lepas, kami di Aksiz berpeluang untuk mencuba permainan God Of War yang dibangunkan oleh Santa Monica Studio. Permainan ini merupakan permainan aksi pengembaraan yang kelapan buat siri God Of War dan menurut Santa Monica Studio, ia merupakan siri yang diolah semula buat God Of War. Dengan memfokuskan mitologi Norse, berbanding sebelum ini mitologi Greek.

Melalui permainan God Of War, pemain akan menggunakan watak Kratos iaitu seorang Demigod dan ditemani anak beliau, Atreus. Berbeza dengan permainan God Of War sebelum ini, dimana kamera permainan seolah statik, kali ini pemain berupaya untuk mengawal kedudukan kamera secara menyeluruh. Terdapat pelbagai lagi perubahan yang dilakukan oleh Santa Monica Studio buat permainan tersebut dan bagi anda yang ingin mengetahui pendapat saya bermain 3 jam pertama God Of War, anda boleh membaca keseluruhan pendapat saya dibawah.

Cerita

Dari segi penceritaan, kami tidak akan berkongsi dengan terperinci, namun penceritaan God Of War kali ini sememangnya bertempatkan selepas God Of War 3. Bagi mereka yang tidak bermain permainan sebelum ini, anda tidak perlu khuatir kerana menurut Santa Monica Studio, anda tidak perlu bermain siri God Of War sebelum ini untuk memahami penceritaannya. Ini juga dapat diperlihatkan melalui tajuk permainan tersebut dimana menurut Aaron Kaufman, pengurus komuniti Santa Monica Studio menyatakan bahawa kenapa mereka tidak meletakkan sebarang tajuk tambahan mahupun nombor bagi sambungan permainan tersebut kerana ia sememangnya merupakan siri yang diolah semula buat God Of War dan pemain tidak perlu bermain permainan sebelum ini, untuk bermain permainan God Of War Ini.

Namun apa yang saya boleh kongsikan adalah permainan ini sememangnya memfokuskan pengembaran anak dan ayah iaitu Kratos dan Atreus dimana mereka mengembara, disamping menemui pelbagai watak-watak dari mitologi Norse. Bagi saya, sepanjang 3 jam pertama saya bermain, penceritaan God Of War kali ini sangat menarik yang mana setiap saat saya bermain, saya berasa sangat teruja dan pada masa yang sama, saya ingin mengetahui apa yang akan berlaku kelak. Dengan memfokuskan tema anak dan ayah, permainan God Of War kali ini akan berasa lebih mendasarkan.

Grafik dan Visual

God Of War 3 sebelum ini dilancarkan pada 2010 lepas dan setelah 8 tahun permainan tersebut dilancarkan, peningkatan visual sememang dapat diperlihatkan melalui permainan ini. Seperti paparan skrin yang anda lihat diatas, permainan ini mempunyai kualiti imej yang sangat terperinci. Ketika sesi percubaan permainan tersebut, saya bermainnya di konsol Playstation 4 Pro dan dari segi prestasi, ia dimainkan dengan baik sekali, namun permainan ini hanya dimainkan secara 30FPS sahaja. Namun ia tetap menyeronokkan bersama dengan visualnya yang cantik.

Selain itu, memandangkan kali ini pemain berpeluang untuk menukar arah kamera secara sendiri, kini ia menjadi lebih seronok untuk menikmati kawasan-kawasan yang dipamerkan di dalam permainan ini. Terutamanya berada di kawasan pergunungan dan bersalji tersebut, saya berasa sangat asyik dengan visual yang dipaparkan. Setiap kawasan, penulisan kuno mitologi Norse memaparkan visual yang sangat cantik. Rekaan watak dan musuh yang terdapat di dalam permainan ini juga sangat menarik, dan setiap musuh mempunyai bentuk yang berbeza. Termasuklah juga setiap rekaan senjata, pakaian dan perisai, identiti mitologi Norse jelas terpancar setiap saat di dalam permainan ini.

Namun, apa yang saya sangat menyukai berkenaan permainan ini adalah cara penyampaiannya. Sepanjang 3 jam pertama saya bermain permainan ini, arah kamera yang dipaparkan adalah dalam bentuk kamera tunggal. Ini bermakna permainan ini tidak mempunyai sebarang peralihan dan setiap adegan dan permainan dimainkan dengan lancar tanpa sebarang pemotongan adegan ataupun peralihan skrin. Tambahan juga, permainan ini tidak langsung mempunyai sebarang skrin permuatan dan dari permulaan sesi permainan, anda akan mengawal watak Kratos secara masa-nyata.

Kawalan Permainan

Permulaan permainan ini, pemain akan diberi pilihan untuk memilihan empat tahap kesukaran dimana tahap yang paling sukar adalah God Of War itu sendiri. Dari segi kawalan, ia memaparkan kawalan biasa seperti kebanyakkan permainan-permainan lain yang mana analog kiri akan digunakan untuk menggerakkan watak manakala analog kanan untuk menggerakkan kamera. Namun, Kratos kali ini tidak lagi berupaya untuk melompat seperti siri sebelum ini akan tetapi butang X kini menjadi butang untuk Kratos mengelak atau bergulung. Walaupun begitu, Kratos masih lagi boleh melompat melalui halangan persekitaran seperti melompat melepasi jambatan yang runtuh atau kawasan yang lebih tinggi dan sebagainya.

Dari segi bentuk pertempuran pula, God Of War mempunyai dua serangan utama iaitu R1 untuk serangan ringan dan R2 untuk serangan berat. Manakala butang L1 pula akan digunakan sebarang pertahan dan memesongkan serangan musuh dengan menggunakan perisai. Kapak Leviathan tersebut juga boleh dibaling seakan penukul Thor dengan menggunakan L2 untuk membuat sasaran dan membalingnya dengan R1. Anda juga boleh memanggilkan kapak tersebut semula dengan menekan butang tiga segi dan kapak tersebut akan terbang kembali ke Kratos. Butang petak pula membenarkan pemain untuk menggunakan serangan daripada Atreus seperti memanggilnya untuk menembak panah terhadap musuh dan sebagainya. Manakala butang bulat digunakan sebagai butang interaksi.

Saya menyukai aspek yang mana saya tidak perlu mengasuh watak Atreus tersebut dan setiap pergerakkan Atreus dikawal secara kendiri. Saya juga tidak perlu risau berkenaan nilai nyawa Atreus sekaligus membuat permainan ini lebih senang untuk dimainkan tanpa saya perlu mengasuh Atreus.

Manakala, serangan tangkap yang terdapat di dalam permainan sebelum ini juga kembali, namun ia sedikit berbeza. Di meter nyawa musuh, terdapat dua meter dimana meter atas adalah meter nyawa musuh tersebut manakala dibawah adalah meter Stun. Seperti God Of War sebelum ini, pemain berupaya untuk menangkap musuh dan melakukan serangan tangkapan seperti menggoyak musuh ataupun melakukan sebilangan serangan yang sangat kejam. Untuk melakukan serangan tersebut, pemain perlu menaikkan meter Stun musuh sehingga penuh seperti melakukan serangan tumbukan ataupun serangan oleh Atreus. Setelah meter tersebut sudah penuh, pemain hanya perlu menekan R3 untuk membuat serangan tersebut.

Tambahan juga, serangan pantas melalui masa ataupun Quick Time Event (QTE) tidak lagi berada di dalam permainan ini. Namun Santa Monica Studio mengubah sedikit bentuk serangan tersebut seperti menangkap musuh dan pemain berpeluang untuk menekan R1 atau R2 untuk membuat serangan. Selain itu setiap adegan-adegan bertempur akan berlaku secara berterusan disamping terdapat mekanik ringkas seakan QTE. Seperti yang diterangkan kami sebelum ini berkenaan serangan tangkap oleh Kratos, serangan ini juga dihasilkan melalui serangan tangkap tersebut.

Selain itu, sepanjang permainan, pemain juga berupaya untuk mempelajari kemahiran, yang dikenali Runic Attack. Runic Attack boleh ditetapkan melalui kombinasi butang L1 dan R1 atau R2. Sekaligus pemain berupaya untuk menetapkan dua serangan Runic Attack. Terdapat sebilangan serangan Runic yang pemain boleh tetapkan dan setiap serangan tersebut akan membantu pemain seperti memeningkan musuh dan sebagainya. Namun, Runic Attack tersebut mempunyai kadar masa penggunakan. Dimana setiap kali pemain menggunakannya, pemain perlu menunggu untuk kemahiran tersebut diaktifkan semula dalam beberapa saat, sebelum pemain dapat menggunakannya semula. Tambahan pemain boleh mengaktifkan Spartan Rage apabila meter tersebut penuh. Untuk mengaktifkan, pemain hanya perlu menekan L3 bersama R3 dan pemain berupaya untuk menyerang musuh dengan lebih kuat dan pantas seperti permainan God Of War sebelum ini.

Seperti kebanyakkan permainan bentuk RPG yang lain, pemain juga berupaya untuk mempelajari kemahiran baru seperti serangan kombinasi antara serangan ringan dan serangan berat dan sebagainya. Melalui permainan ini, pemain perlu mendapatkan nilai XP setelah menewaskan musuh dan menggunakan untuk mempelajari pelbagai jenis kemahiran. Antaranya adalah kombinasi serangan ringan dan berat yang akan membuat serangan Kratos menjadi lebih kuat. Kemahiran ini juga akan membantu pemain untuk membuat serangan kombinasi yang lebih lama dan pada masa yang sama memudahkan pemain untuk meneruskan serangan.

Dari segi kawasan permainan, God Of War kali ini seakan mempunyai bentuk kawasan seperti permainan Uncharted, dimana anda berupaya untuk meneroka satu kawasan yang luas dan pada masa yang sama anda boleh mencari barangan, jalan rahsia dan mengumpul barangan-barangan koleksi seperti mainan, Codex, matawang hacksilver dan sebagainya. Permainan ini juga mempunyai sebilangan tekaria yang pemain perlu selesaikan untuk meneruskan ke kawasan seterusnya. Kebanyakkan tekaria tersebut menggunakan menggunakan mekanik yang ringkas seperti menyejukkan sesuatu gear dengan membaling kapak Leviathan dan sebagainya.

Menariknya juga, permainan ini mempunyai sebilangan kawasan perangkap yang asalnya ditujukan untuk Kratos, tetapi ketika saya bermain, saya berupaya untuk memanipulasi perangkap tersebut untuk digunakan terhadap musuh sekaligus menewaskanya. God Of War kali ini juga mempunyai sebilangan misi sampingan yang dipanggil Favors, dan juga misi cabaran yang dipanggil Labors. Manakala bagi misi utama, ia dipanggil Journey, memandangkan permainan tersebut meletakkan pengembaraan Kratos dan Atreus.

Selain itu, permainan ini juga memberi peluang kepada pemain untuk menaik-taraf kelengkapan Kratos dan Atreus. Ketika saya bermain, saya berjumpa seorang kerdil bernama Brok dimana beliau berupaya untuk menaik-taraf senjata Kratos dan kelengkapannya. Menariknya, sebilangan pernaik-tarafan tersebut memerlukan pemain untuk mencari barang khusus. Terdapat juga pilihan untuk hanya menggunakan wang sahaja. Seperti permainan RPG yang lain, setiap perubahan kelengkapan Kratos seperti pakaian mahupun senjata, akan memberi perubahan visual kelengkapan yang dinaik-tarafkan tersebut.

Kratos juga kali ini mempunyai sebilangan statistik watak seperti kekuatan, ketahanan dan nyawa. Statistik ini juga memainkan peranan penting ketika peningkatan kemahiran watak Kratos dimana ia boleh ditingkatkan melalui pernaik-tarafan kelengkapan Kratos seperti atas. Setiap peningkatan tersebut juga akan memberi kesan terhadap statistik watak Kratos sekaligus ia menjadikan permainan ini seakan berbentuk RPG.

Walaubagaimana pun, dari segi bentuk permainan ketika bertempur dengan ketua musuh. Saya menghadapi sedikit kekecewaan. Namun ini hanya berlaku pada sebilangan ketua musuh sahaja. Kerana ketika saya bertempur dengan satu ketua musuh ini, yang bersaiz agak besar, saya hanya perlu menyerang kakinya ataupun membaling kapak Leviathan. Ini seolah bentuk perlawanan yang agak membosankan. Tambahan juga, setelah nilai nyawa ketua musuh tersebut berkurangan, saya hanya perlu membuat serangan akhir dengan menggunakan R3 iaitu seakan serangan tangkapan yang saya terangkan diatas.

Akan tetapi, ketika saya bermain, saya juga bertempur dengan satu ketua musuh yang agak menarik dan saya juga perlu menggunakan strategi yang berlain ini berlawan musuh tersebut. Namun begitu ia masih lagi mempunyai bentuk pertempuran yang sama dimana saya hanya perlu menyerang, mengelak dan pada akhir pertempuran saya hanya perlu menangkap ketua musuh dan mengakhirnya perlawanan. Ia sememangnya bukanlah sesuatu yang sangat negatif dan mungkin juga saya masih lagi berada di peringkat awal permainan, akan tetapi ia menjadi agak bosan dan berulangan sepanjang sesi pertempuran tersebut.

Kesimpulan

Akhir kata, pandang pertama bagi God Of War sememangnya permainan ini sangat menarik. Dengan perubahan bentuk permainan yang lebih mendasar dan pada masa yang sama lebih memfokuskan penceritaan, permainan ini sangat seronok untuk dimainkan. Tambahan pula, bagi mereka lebih menyukai bentuk perlawanan yang lebih memfokuskan ketepatan seperti Bloodborne ataupun Dark Souls, anda mungkin akan berminat dengan permainan. Walaupun begitu, permainan ini sememangnya bukanlah klon permainan Dark Souls mahupun Bloodborne, ia mempunyai bentuk permainan tersendiri malah kawalan yang berbeza.

Tetapi, tidak lagi seperti permainan God Of War sebelum ini dimana anda sering menghempas butang kawalan permainan, kali ini God Of War memerlukan pemain untuk bertempur dengan lebih taktikal. Ditambahkan dengan visual yang menarik, cara penyampaian seolah kamera tunggal bersama penceritaan bertemakan anak dan ayah, ia sememangnya akan menarik peminat siri God Of War mahupun pemain yang baru buat siri tersebut yang ingin mengetahui kisah selanjutnya pengembaraan Kratos.

God Of War akan tiba pada 20 April ini secara ekslusif buat konsol Playstation 4. Ia akan dijual dengan harga bermula RM209 sehingga RM549 untuk Collector Edition melalui pengedar rasmi Playstation. Manakala berkas Playstation 4 Pro juga diumumkan dimana anda boleh mengetahuinya lebih lanjut di artikel ini.

Sohor Kini