Studio pembangunan baharu Dead Astronauts, yang dibarisi oleh barisan bekas kakitangan Massive Entertainment dan Epic Games, telah mendedahkan permainan sulung mereka secara rasmi di acara Summer Game Fest. Permainan bertajuk HAEX ini merupakan sebuah multiplayer first-person survival shooter yang menempatkan pemain di kawasan belantara sub-artik yang telah diubah oleh anomali makhluk asing dan diselubungi kabus paranormal.


Pemain akan memulakan permainan dengan terjaga daripada nahas helikopter dan perlu mencari jawapan di sebalik kehilangan ahli ekspedisi sains mereka. Dunia HAEX menjanjikan persekitaran yang merbahaya, di mana pemain terpaksa berhadapan dengan makhluk serta mesin asing yang muncul dari dalam kabus misteri. Semakin jauh kawasan yang diterokai di dalam kabus tersebut, semakin tinggi tahap bahaya dan cabaran musuh yang menanti.
Boleh dimainkan secara solo atau secara koperasi dengan tiga rakan lain, elemen kelangsungan hidup menjadi teras utama permainan. Bagi meneruskan perjalanan, pemain perlu menguruskan suhu badan yang sejuk, rasa lapar dan dahaga, di samping mengumpul sumber serta menyediakan kelengkapan. Pertempuran menentang ancaman dari kabus ini memerlukan taktik yang pelbagai melalui penggunaan senjata api, senjata jarak dekat yang berat, dan gajet kelangsungan hidup khusus.


Satu mekanik utama yang membezakan HAEX adalah penggunaan benih makhluk asing yang boleh dicari atau dicipta oleh pemain. Tumbuhan asing ini berfungsi untuk mengubah struktur kawasan open-world tersebut, memberikan akses kepada laluan serta sumber baharu, yang boleh mengubah persekitaran secara positif atau negatif.
Bagi menyokong gaya permainan berbilang pemain, sistem kemajuan watak dan kemajuan dunia akan disimpan secara berasingan. Ini membolehkan pemain membawa watak mereka yang telah dilengkapkan sepenuhnya ke dalam sesi permainan orang lain tanpa menjejaskan atau mengubah jalan cerita di dalam dunia asal mereka sendiri.


