Sebelum ini, Bethesda Softworks mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan permainan Fallout 76 pada 14 November ini yang mana ia merupakan permainan yang memfokuskan multi-pemain secara atas-talian.
Sebelum ini Todd Todd Howard juga menyatakan bahawa permainan ini akan mempunyai kandungan saiz empat kali ganda lebih besar dari Fallout 4 dan ianya bertempatkan sebagai permainan sebelum daripada siri Fallout sebelum ini. Mereka juga menyatakan bentuk pemain lawan pemain juga akan berada di dalam permainan ini.
Kini melalui temu bual yang dilakukan oleh GameIndustry.Biz bersama pengarah pasaran permainan tersebut, Pete Hines menyatakan bahawa permainan Fallout 76 tidak akan mempunyai sebarang NPC (Watak yang tidak boleh dimainkan) dan dunia permainan tersebut akan dipenuhi oleh pemain atas-talian sahaja.
Menurut beliau, di dalam permainan Fallout 76 kali ini, tidak akan mempunyai sebarang kedai namun, pemain berupaya untuk menjual beli sesama pemain lain. Melalui cara ini juga, pemain akan berinteraksi sesama pemain lain.
Beliau juga menegaskan bahawa permainan ini bukan permainan seperti pertempuran royale atau multi-pemain lain. Ianya masih lagi sebuah permainan berbentuk pengembaraan RPG. Pemain masih lagi boleh melakukan misi melalui pita holo yang dijumpa oleh pemain dan juga robot-robot yang berada di dalam permainan tersebut.
Ini merupakan satu konsep yang menarik dan pastinya tepat dengan tema pasca-apokaliptik permainan buat siri Fallout. Walaupun begitu, Pete Hines juga menyatakan bahawa mereka masih lagi perlu masa untuk memastikan sistem ini boleh dikawal termasuklah keadaan permainan yang tidaklah menghukum pemain.
Buat masa ini tidak banyak lagi informasi tambahan lain yang dikongsikan, namun dengan sesi temu bual ini, kami di Aksiz semakin tidak sabar untuk bermain permainan dan pastinya dengan permainan Fallout yang memfokuskan multi-pemain, ia bakal memberi pengalaman yang baru buat pemain.
Fallout 76 merupakan permainan pasca-apokaliptik seterusnya buat siri Fallout. Ia dirancang untuk dilancarkan buat konsol Playstation 4, Xbox One dan PC pada 14 November 2018.