Memandangkan acara terbesar permainan video, E3 (Electronic Expo Entertainment) semakin hampir pada 12 hingga 14 Jun ini, rakan kami di Kakucho Purei menyenaraikan kesemua senarai penuh buat acara persidangan oleh pembangun dan pengeluar permainan yang bakal berlangsung ketika acara tersebut.

Berikut adalah senarai acara bersama tarikh dan waktu tempatan buat persidangan siaran langsung dan spekulasi kami berkenaan acara tersebut yang bakal dikongsikan oleh pembangun dan pengeluar permainan tersebut.

EA Play Hollywood – 10 Jun, Ahad jam 2 pagi

Seperti biasa, EA mungkin akan berkongsi kemaskini terbaru buat siri permainan FIFA, Madden dan NBA. Dan pada masa yang sama, mungkin mereka akan memfokuskan permainan Anthem dan Battlefield terbaru yang diumumkan sebelum ini.

Microsoft (Xbox) – 11 Jun, Isnin jam 4 pagi

Dari segi spekulasi kami, tak banyak yan kami boleh katakan buat Xbox, namun kami percaya Microsoft akan mengumumkan permainan baru seperti Gears Of War 5 yang tertiris baru-baru ini ataupun kemaskini buat permainan Crackdown 3 yang mana ia sering ditangguhkan oleh Microsoft sebelum ini.

Bethesda Softworks – 11 Jun, Isnin jam 9.30 pagi

Memandangkan permainan Rage 2 sudah pun diumumkan, kami berasa Bethesda akan memfokuskan permainan tersebut dan mungkin juga permainan pernambahan Elder Scrolls Online. Kita juga mungkin akan memperlihat permainan Skyrim dilancarkan sekali lagi dalam bentuk versi baru?

Devolver Digital – 11 Jun, Isnin jam 11 pagi

Tampaknya Devolver Digital bakal kembali tahun ini dengan acara persidangan mereka. Mungkin seperti tahun lepas, mereka bakal mengejutkan kita dengan pelbagai lagi lawak jenaka yang pelik dan juga sebilangan pengumuman permainan baru?

Square-Enix – 12 Jun, Selasa jam 1 pagi

Setelah 3 tahun, Square-Enix tampaknya tahun ini akan kembali mengadakan acara siaran langsung khas dan kami berharap mereka akan berkongsi pelbagai lagi informasi berkenaan permainan Final Fantasy VII Remake. Kami juga berasa mereka masih lagi akan mengumumkan pelbagai lagi DLC pernambahan buat Final Fantasy XV.

Limited Run Games – 12 Jun, Selasa jam 3 pagi

Tidak banyak yang dikongsikan oleh Limited Run Games berkenaan E3 tahun ini, namun memandangkan mereka sudah lama bertapak di dalam arena industri permainan video dan telah pun melancarkan pelbagai permainan-permainan terhad edisi fizikal, mungkin E3 kali ini kita bakal memperlihatkan mereka ke arah konsol lain selain Playstation dan Nintendo?

Ubisoft – 12 Jun, Selasa jam 4 pagi

Memandangkan permainan Splinter Cell tampaknya macam tertiris sebelum ini, mungkin Ubisoft akan mengumumkan permainan tersebut bersama permainan Division 2? Dan pastinya Ubisoft akan berkongsi permainan seterusnya Just Dance untuk tahun ini.

PC Gaming Show – 12 Jun, Selasa jam 6 pagi

Bagi permainan di PC, tak banyak juga yang kami boleh spekulasikan berkenaan acara ini. Mungkin juga kita akan mengetahui sebilangan permainan baru buat siri X-Com?

Sony (Playstation) – 12 Jun, Selasa jam 9 pagi

Menurut Playstation, tahun ini mereka akan memfokuskan empat permainan akan datang iaitu Death Stranding, Spider-Man, The Last Of Us Part II dan Ghost Of Tsushima. Dari segi spekulasi, kami berasa Kojima Productions akhirnya akan berkongsi bentuk permainan bagi Death Stranding dan The Last Of Us Part II mungkin akan dapat tarikh pelancarannya.

Nintendo Direct – 13 Jun, Rabu jam 12 pagi

Spekulasi buat Nintendo Direct, kami berasa Nintendo akan terus memfokuskan permainan-permainan yang diumumkan oleh mereka sebelum ini seperti Metroid Prime 4 dan permainan Pokemon. Namun, kami juga berharap Nintendo berkongsi lagi banyak permainan baru buat Nintendo Labo.


Berikut adalah tarikh dan masa buat acara E3 tahun ini bersama spekulasi kami berkenaan acara tersebut. Seperti anda, kami di Aksiz juga tidak sabar untuk lihat pelbagai pengumuman utama yang bakal diumumkan oleh pembangun dan pengeluar permainan di atas.

Kami juga ingin mengetahui pendapat dan spekulasi anda berkenaan acara E3 tahun ini, jangan lupa untuk tinggalkan komen anda dibawah dan berkongsi bersama kami.

Sohor Kini