Boss Key Production merupakan pembangun kepada permainan Lawbreakers yang gagal mendapat tempat di pasaran yang menurut mereka disebabkan oleh kejayaan PUBG.

Selepas kegagalan itu mereka mula beralih pembangunan kepada permainan baru iaitu Radical Heights yang merupakan permainan battle royale bertemakan 80an. Permainan ini boleh dimainkan secara percuma melalui akses awal di Steam.

Semasa pengeluaran permainan baru ini kami tertanya jika ia cukup untuk membantu kerugian yang ada kerana kegagalan Lawbreakers. Nampaknya tidak apabila pengasas Boss Key Productions Cliff Bleszinski, beliau mengumumkan studio mereka akan ditutup melalui kuciran di akaun Twitter rasmi beliau.

Tambah beliau lagi untuk sementara waktu permainan Radical Heights akan boleh terus dimainkan akan tetapi kemungkinan besar tidak akan menerima sebarang kemas kini.

Ini adalah satu berita yang agak menyedihkan, selain beliau sudah semestinya pasukan yang terdapat di dalam studio ini akan kehilangan kerja. Menurut Cliff, beliau akan mengambil masa untuk berehat dan melihat kembali pencapaian beliau sebelum bermula semula menghasilkan permainan.

Kami ingin mengucapkan semoga berjaya kepada beliau dan juga pembangun-pembangun di dalam Boss Key Productions.

Sohor Kini