Informasi Permainan Video Terkini
10 Permainan Video Playstation 4 Terbaik Sepanjang Tahun 2017

10 Permainan Video Playstation 4 Terbaik Sepanjang Tahun 2017

Diterbitkan pada Dis 27, 2017 oleh .

Dengan berakhirnya tahun 2017, tahun ini merupakan salah satu tahun terbaik bagi Sony Interactive Entertainment dengan pelbagai permainan esklusif yang dilancarkan di konsol Playstation 4. Pada masa yang sama juga, dengan sokongan pihak ketiga daripada pembangun-pembangun permainan seluruh dunia, konsol Playstation 4 menjadi salah satu konsol terbaik pernah Sony keluarkan.

Walaupun terdapat lagi pelbagai permainan yang dilancarkan sepanjang tahun ini, namun 10 permainan ini adalah antara permainan yang terbaik bagi pendapat saya berkenaan permainan yang dilancarkan di Playstation 4 sepanjang tahun 2017.

10 – The Evil Within 2

The Evil Within 2 merupakan permainan sekuel daripada The Evil Within yang dilancarkan pada 2014 lepas. Siri permainan The Evil Within merupakan permainan yang asalnya dibangunkan oleh bapa kepada permainan seram, Shinji Mikami. Permainan ini dilancarkan pada 13 Oktober 2017 di Playstation 4, Xbox One dan juga PC.

Salah satu kenapa permainan ini di carta ke-10 adalah bentuk permainannya yang memfokus dunia terbuka sekaligus ia menghasilkan satu bentuk permainan yang sangat menarik. Penceritaan permainan ini juga adalah sangat baik sekali dipaparkan melalui penceritaan watak Sebastian Castellanos.

Pada November lepas, kami juga sempat berkongsi ulasan penuh bagi permainan tersebut. Pada masa yang sama, Bethesda Softworks dan Tango Gameworks juga menyediakan demo permainan The Evil Within 2 dimana anda boleh muat-turunnya secara percuma.

Permainan ini merupakan permainan seram dan memaparkan pelbagai adegan kejutan. Ia sememangnya bukan permainan untuk pemain yang lemah hati.

9 – Assassin’s Creed Origins

Assassin’s Creed Origins merupakan siri permainan Assassin’s Creed yang ke-10 yang mana kini ia memfokuskan bentuk penceritaan asal bagaimana Assassin’s Creed ditubuhkan. Assassin’s Creed Origins juga dilancarkan di konsol Xbox One dan PC selain konsol Playstation 4.

Salah satu sebab kenapa Assassin’s Creed Origins ditempat ke-9 adalah bentuk permainannya yang diubah-suai berbanding siri Assassin’s Creed sebelum ini yang mana Origins memaparkan bentuk permainan yang lebih terperinci dari segi RPG. Dengan kepelbagaian senjata, perisai dan kelengkapan termasuklah keluasan dunia terbuka yang sangat luas, permainan ini

Pada November lepas, kami juga berkesempatan untuk membuat ulasan penuh bagi permainan Assassin’s Creed Origins yang bagi pendapat kami ia sememangnya salah satu permainan dunia terbuka yang terbaik dilancarkan tahun ini.

Assassin’s Creed Origins merupakan permainan dunia terbuka yang sangat luas dan memerlukan kesabaran yang tinggi untuk pemain menaik-tarafkan segala kelengkapan permainan secara berperingkat jika ingin pemain ingin memajukan penceritaan di dalam permainan ini.

8 – Crash Bandicoot N.Sane Trilogy

Crash Bandicoot N.Sane Trilogy merupakan permainan pernamba-baikkan daripada siri Crash Bandicoot yang dilancarkan pada 1999 di konsol Playstation 1. Menariknya, permainan ini merupakan koleksi permainan yang mana ia merangkumi ketiga-tiga permainan penuh berdasarkan siri permainan Crash Bandicoot tersebut.

Vicarious Visions, pembangun permainan tersebut melakukan tugas yang sangat baik dimana mereka mengekalkan kesukaran asal bagi permainan Crash Bandicoot disamping peningkatan visual grafik yang sangat memuaskan berbanding siri asalnya. Permainan ini dilancarkan secara esklusif di Playstation 4 pada 30 Jun 2017.

Crash Bandicoot N.Sane Trilogy menyertakan ketiga-tiga siri asal permainan Crash Bandicoot, iaitu Crash Bandicoot, Crash Bandicoot: Cortex Strikes Back dan Crash Bandicoot: Warped.

7 – Gravity Rush 2

Pada pendapat saya, Gravity Rush 2 merupakan permainan kurang dihargai yang dilancarkan tahun ini. Mungkin juga disebabkan ia dilancarkan pada awal tahun iaitu pada 18 Januari 2017, namun permainan ini sememangnya salah satu permainan berkonsepkan anti-graviti yang sangat menarik untuk dimainkan,

Gravity Rush 2 merupakan permainan sekuel kepada Gravity Rush yang dilancarkan pada 2012 lepas di Playstation Vita. Namun pada 2016, Sony Interactive Entertainment melancarkan semula Gravity Rush di Playstation 4 sebagai permainan pernambah-baikkan.

Walaupun begitu, Gravity Rush 2 sememangnya mempunyai bentuk permainan yang sangat menarik dimana pemain berupaya untuk memanupulasikan graviti dan pemain berupaya untuk terbang dan menggunakan pelbagai kuasa dengan kuasa tersebut. Menariknya juga, Gravity Rush 2 ini juga memfokuskan penceritaan yang sangat menarik dan ia juga memaparkan konklusi bagi penceritaan watak utama permainan ini, Kat. Dengan hasil penceritaan bersama bentuk permainan yang menarik, Gravity Rush 2 sememangnya layak berada di dalam senarai ini.

Permainan Gravity Rush 2 lebih seronok dimainkan bagi mereka yang pernah bermain permainan pertamanya Gravity Rush yang mana ia memfokuskan penceritaan yang mendalam berkenaan pengembaraan Kat.

6 – Resident Evil 7 Biohazard

Resident Evil 7 Biohazard adalah satu pencapaian Capcom yang sangat menarik buat mereka bagi tahun 2017. Ia dilancarkan pada 24 Januari 2017, permainan Resident Evil 7 Biohazard mengubah bentuk permainan daripada siri permainan klasik Resident Evil daripada bentuk penembak pandang ketiga kepada bentuk penembak pandang pertama.

Menariknya juga, ketika permainan ini dilancarkan pada Januari lepas, ia dilancarkan bersama dengan sokongon realiti-maya bersama set kepala Playstation VR. Kombinasi antara permainan seram dan permainan realiti-maya merupakan salah satu aspek yang menarik bagi permainan tersebut.

Permainan ini juga memberi impak yang sangat menyeramkan terutamanya bagi mereka yang menyukai tema asal bagi siri permainan Resident Evil, anda pasti akan menyukai permainan Resident Evil 7 Biohazard.

Resident Evil 7 Biohazard boleh dimainkan secara realiti-maya dari awal permainan sehinggalah akhir permainan. Ia juga memaparkan pelbagai adegan kejutan yang boleh melemahkan hati anda.

5 – NieR: Automata

NieR: Automata merupakan permainan yang dibangunkan oleh Platinum Games dan dilancarkan oleh Square-Enix. Permainan ini diarahkan oleh Yoko Taro dimana sebelum ini beliau terkenal dengan siri permainan Drakengard.

NieR: Automata merupakan permainan aksi pengembaraan yang memfokuskan peperangan antara manusia dan robot. Menariknya permainan ini ia memaparkan pelbagai bentuk permainan yang menarik dimana dari semasa ke semasa ia sering mengubah bentuk permainan daripada permainan aksi pertempuran yang memfokuskan pedang sehinggalah pertempuran secara penembakkan seperti permainan klasik 2D Shooter.

Populariti permainan ini juga sangat memberansangkan oleh peminat seluruh dunia dengan keunikkan penceritaan dan juga watak-watak yang terdapat di dalam permainan tersebut.

Permainan NieR: Automata mempunyai pengakhiran yang pelbagai dan salah satu pengakhiran permainan tersebut akan memadamkan fail simpanan permainan anda.

4 – Call Of Duty: WWII

Call Of Duty: WWII merupakan siri permainan Call Of Duty ke-14 yang dilancarkan oleh Activision dan kali ini, ia dibangunkan oleh Sledgehammer Games dan memfokuskan era peperangan dunia kedua. Menariknya permainan ini merupakan tindakan Activision untuk kembalikan siri Call of Duty kepada akar permainannya yang mana ia memfokuskan peperangan kuno berbanding permainan mereka yang sebelum ini memfokuskan peperangan moden.

Permainan Call of Duty: WWII memaparkan bentuk permainan yang menarik dengan bentuk multi-pemain yang sangat memuaskan. Salah satu mod multi-pemain yang saya sukai adalah mod War yang memfokuskan bentuk permainan secara berobjektif berperingkat. Dengan kandungan permainan yang pelbagai dicampur dengan penceritaan yang menarik, Call of Duty: WWII merupakan permainan yang sangat memuaskan.

Kami juga telah membuat ulasan penuh bagi permainan tersebut yang mana anda boleh membacanya disini. Permainan ini juga dilancarkan di konsol Xbox One dan PC selain di Playstation 4.

Call of Duty: WWII mempunyai kandungan tambahan yang mana pemain berupaya untuk membeli melalui pas musim ataupun pernambahan DLC. Kandungan yang disediakan sememangnya sangat banyak dan pelbagai namun pemain perlu membayar lebih untuk mendapatkannya.

3 – Nioh

Nioh mungkin adalah salah satu permainan yang dikejutkan oleh komuniti pemain Playstation dimana ia dibangunkan oleh Team Ninja. Permainan ini merupakan permainan aksi pengembaraan yang memfokuskan pertempuran samurai dan bertempatkan di Jepun.

Menariknya, bagi anda yang biasa dengan siri permainan pertempuran seperti Dark Souls, anda pasti akan menyukai permainan ini kerana ia mempunyai bentuk permainan yang hampir sama, namun lebih mendalam dengan teknik-teknik pertempuran samurai. Memandangkan permainan ini memfokuskan pertempuran samurai, pemain berupaya untuk mengubahkan bentuk pegangan senjata sekaligus memberi impak yang sangat menarik dari segi pertempuran.

Disamping itu, permainan ini juga menyertakan pelbagai tema-tema budaya Jepun yang sangat menarik seperti semangat-semangat Jepun disamping pelbagai senjata bermula Katana, pedang samurai sehinggalah senjata berat seperti kapak.

Nioh merupakan permainan yang asalnya dilancarkan di Playstation 4 pada 7 Februari 2017 lepas. Namun pada 7 November 2017 lepas, Team Ninja melancarkan permainan tersebut di PC melalui Steam.

Nioh merupakan permainan yang agak sukar, namun ia juga menyokong bentuk permainan secara multi-pemain sebanyak dua permainan melalui koperasi dan pemain tersebut boleh membantu anda di dalam misi permainan tersebut.

2 – Horizon Zero Dawn

Horizon Zero Dawn merupakan permainan yang dibangunkan oleh pembangun permainan yang terkenal dengan siri Killzone iaitu Guerrilla Games. Dengan memfokuskan dunia pasca-apokaliptik, pemain akan mengembara bersama watak Aloy dimana dunia tersebut telah ditakhluk oleh dinosaur robotik.

Salah satu antara kenapa permainan ini dicarta kedua bagi senarai ini adalah penceritaannya yang sangat menarik disamping dengan bentuk permianan dunia terbuka yang sangat meluas. Bagi anda yang menyukai permainan secara dunia terbuka, Horizon Zero Dawn sememangnya memberi kepuasan yang sangat menakjubkan dari segi rekaan dunianya yang sangat unik.

Tambahan juga, permainan ini juga memfokuskan bentuk pertempuran seakan Monster Hunter dimana pemain berupaya untuk merangkap musuh, memburu haiwan dan menaik-taraf kelengkapan sekaligus membuat permainan ini sangat seronok dimainkan.

Horizon Zero Dawn merupakan permainan esklusif yang dilancarkan di Playstation 4 pada 28 Februari 2017 lepas. Guerrila Games juga melancarkan Horizon Zero Dawn Complete Edition pada 5 Disember 2017.

Guerrilla Games juga baru-baru ini melancarkan pernambahan DLC bagi permainan Horizon Zero Dawn iaitu The Frozen Wilds yang mempunyai kandungan pernambahan yang sangat banyak dengan kawasan yang baru.

1 – Persona 5

Salah satu permainan keluaran Atlus untuk tahun ini, iaitu Persona 5 sememangnnya merupakan permainan yang sangat menarik dan mengujakan. Walaupun permainan ini dilancarkan di Jepun pada September 2016, versi global bagi permainan tersebut dilancarkan pada 4 April 2017.

Persona 5 merupakan permainan JRPG yang memfokuskan sekumpulan remaja di Jepun dimana mereka merupakan sekumpulan pencuri “Phantom Thief” yang mencuri hati-hati penjahat untuk mengubah hati mereka menjadi baik. Menariknya permainan ini banyak memfokuskan isu-isu semasa seperti rasuah, masalah keluargaan dan sebagainya yang dipaparkan dengan sangat menarik melalui permainan ini.

Persona 5 juga mempunyai visual seni yang sangat menarik dengan rekaan paparan antara muka yang mengasyikkan disamping muzik latar yang seronok didengar dan memuji antara satu sama lain. Bentuk permainan Persona 5 juga dibangunkan dengan sangat baik dengan pengembaraan persekitaran dan tekaria yang tidak membosankan.

Persona 5 juga adalah satu bentuk permainan JRPG yang sesuai bagi mereka yang ingin cuba menyelami permainan JRPG buat pertama kali. Dengan sokongan penceritaan yang sangat menarik disamping bentuk permainan yang mudah untuk dimainkan, ia sememangnya merupakan permainan terbaik yang terdapat di konsol Playstation 4 pada tahun 2017.

Persona 5 mempunyai kandungan permainan yang melebihi 80 jam dan juga kandungan pengulangan permainan yang sangat banyak.

Ini adalah senarai 10 permainan terbaik bagi konsol Playstation 4 bagi tahun 2017. Namun, sepanjang tahun ini, terdapat pelbagai lagi permainan lain yang kami tidak sempat untuk bermain. Adakah anda bersetuju dengan pilihan kami? Pada pendapat anda, apakah permainan yang terbaik yang dilancarkan pada tahun ini di konsol Playstation 4 dan kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah.


TIPS & ULASAN