Assassin’s Creed menyambut ulang tahunnya yang ke sepuluh tahun ini. Selepas berehat selama setahun ia akhirnya kembali ke PC, PlayStation 4 dan Xbox One penghujung bulan lalu. Ini dilakukan bagi memastikan permainan yang dihasilkan tidak akan mengecewakan peminat Unity menconteng arang ke muka Ubisoft dan meng-Guillotine reputasi siri Assassin’s Creed. Syndicate hadir mengubat luka tetapi ia menunjukkan sebarang inovasi berbanding permainan-permainan yang terdahulu.

Dengan Origins, AC secara harfiah kembali ke asal usul pembentukan Keikhwanan Assassins. Seperti reboot siri filem dan komik, kembali ke asal usul ialah cara paling mudah untuk memberikan nafas baru kepada francais yang semakin basi. Adakah Ubisoft dan pengarah Ashraf Ismail berjaya menghidupkannya semula AC seperti mumia Mesir atau menguburkannya seperti Laut Merah menabrak Firaun.

Cerita

Origins berlaku sekitar tahun 49 sebelum Masihi. Bayek seorang Madjey, iaitu pasukan polis Firaun Mesir telah menjadi mangsa kumpulan misteri yang mengawal Firaun Ptolemy XIII. Ahli kumpulan ini sedang memburu misteri Ancient Machines yang merupakan peninggalan kaum Precursor yang musnah ribuan tahun yang lalu. Dalam kegilaan mereka mencari artifak misteri ini, Khemu anak kepada Bayek telah terbunuh. Bayek bersumpah untuk memburu kesemua ahli kumpulan misteri yang menyebabkan kematian Khemu.

Jalan cerita Origins tidak begitu menarik. Motif membalas dendam ini merupakan asas kepada semua permainan Assassin’s Creed sebelum ini. Oleh itu kesemua jalan cerita dan plot twist yang berlaku boleh diagak dengan mudah. Kelemahan paling ketara Origins ialah jalan cerita yang generik. Pemain hanya perlu memburu pembunuh, mengenal pasti pembunuh, membunuh pembunuh sebelum pergi ke pembunuh seterusnya di dalam senarai pembunuh.

Tidak seperti Assassin’s Creed yang lain, interaksi dengan watak sebenar sejarah adalah minimum. Pemain berpeluang menemui Ptolemy XIII, Cleopatra, Julius Caesar dan Brutus. Yang membuatkan Assassin’s Creed menarik ialah sejarah “alternatif” yang dipaparkan sebelum ini. Melihat bagaimana keikhwanan Assassins terlibat dalam sejarah dunia adalah antara elemen yang membuatkan siri ini menarik.

Jalan cerita dunia sebenar di luar Animus adalah lebih menarik kali ini. Dengan kematian Desmond Miles, ia meninggalkan ruang vakum yang besar untuk diisi. Kami akui walaupun meminati AC, kami tidak dapat memberitahu anda nama watak dunia sebenar yang di kawal di dalam Black Flag, Unity, Rogue dan Syndicate. Kesemuanya jatuh ke dalam kategori terlalu mudah dilupakan kerana tidak mempunyai personaliti yang menarik.

Kali ini pemain mengawal Layla Hassan, seorang pekerja di Abstergo yang menguji mesin Animus baru yang mudah alih. Apa yang menarik dengan jalan cerita Layla Hassan ia mengesahkan kesemua yang berlaku  di  dalam filem Assassin’s Creed Disember tahun lalu mempunyai perkaitan dengan permainan video. Animus dengan lengan robot yang menambat Aguilar di dalam filem adalah antara eksperimen yang dihasilkan oleh Abstergo. Terdapat juga lebih banyak petunjuk bahawa dunia Watch Dogs mempunyai perkaitan dengan Assassin’s Creed selepas kali pertama diperlihatkan di dalam Black Flag.

Jalan cerita utama Origins tidak akan memenangi anugerah dalam kategori penceritaan asal terbaik. Jalan cerita dunia sebenar sedikit lebih baik tapi memerlukan pemain membaca puluhan dokumen dalam bentuk teks untuk mengorek maklumat baru.

Yang menyebabkan kami menghabiskan lebih 70 jam di dalam Origins ialah misi tambahan yang menarik. Misi-misi tambahan mempunyai lebih banyak variasi dan plot twist yang tidak dijangka. Pihak Ubisoft beberapa kali menegaskan mereka banyak meminjam cara penceritaan dari The Witcher 3 dan Horizon Zero Dawn bagi menghasilkan misi tambahan yang lebih menarik dari misi jalan cerita utama.

Kawalan Permainan

Corak permainan yang berulang-ulang dan basi adalah dua sebab utama mengapa siri AC direhatkan selama setahun. Ubisoft kembali ke meja lukisan untuk memberikan nafas baru kepada siri yang sudah menjadi seperti FIFA – permainan tahun lalu dengan grafik dipertingkatkan sedikit tanpa sebarang perubahan dari segi corak permainan.

Hasilnya ialah Origins pada hemat kami ialah permainan yang terbaik di dalam siri ini sejak Assassin’s Creed 2. Pada awalnya sistem combat dan RPG Aksi yang digunakan kali ini boleh menimbulkan kemarahan kerana terlalu berbeza dengan permainan sebelumnya. Tetapi selepas beberapa jam kami mula menyedari mengapa perubahan dilakukan.

Di dalam Assassin’s Creed sebelum ini, watak yang dikawal terlalu mudah menjadi seakan “dewa” yang sukar untuk dibunuh. Menekan butang block akan secara automatik menghalang serangan musuh. Musuh-musuh pula berhati kudus menyerang secara bergilir.

Origins membuang kesemua sistem combat terdahulu dan digantikan dengan musuh yang lebih bijak menyerang dari pelbagai sudut. Mereka juga sudah tidak lagi kudus dan menyerang secara serentak. Pemain perlu bijak memilih senjata yang perlu digunakan mengikut jenis musuh yang ditemui.

Apabila diserang sekumpulan dubuk dan badak air misalnya, senjata panjang seperti kapal panjang adalah yang terbaik. Dengan sekali libas lebih daripada satu musuh boleh dihambat. Apabila berdepan dengan musuh tahap kapten yang menggunakan perisau pula, senjata berat diperlukan bagi menghalang perisai melindungi tubuh musuh. Setiap senjata juga mempunyai kelebihan masing-masing. Ini memberikan peluang kepada pemain untuk menghasilkan Bayek yang paling sesuai dengan corak permainan peribadi.

Terdapat tiga kelas yang boleh dipilih pemain iaitu Warrior, Seer dan Hunter. Warrior memberikan kelebihan senjata melee. Seer memberikan kelebihan menyusup serta pelbagai jenis racun. Akhir sekali ialah Hunter yang memberikan kelebihan kepada pengguna senjata jarak jauh seperti busur. Ada beberapa skill yang diberikan kami rasakan sepatutnya diberikan sebagai default. Contohnya ialah kemampuan membunuh menggunakan hidden knife dari udara yang hanya boleh diakses l

Sistem kelas ini pernah ditemui di alam Syndicate tetapi permainan terlalu mudah memberi Attribute Points menyebabkan kesemua skill boleh diperolehi sebelum mencapai level tertinggi. Origins adalah permainan AC yang paling sukar di dalam siri ini kerana walaupun sudah mencapai tahap 40, masih banyak skill yang belum mampu diperolehi. Hanya dengan kerajinan melakukan grinding ratusan (ya ratusan) misi sampingan kami mampu memperolehi kesemua skill yang ditawarkan.

Bercakap mengenai tahap, Origins memerlukan pemain mencapai tahap tertentu sebelum melakukan misi utama. Anda boleh mencuba melakukan misi pada tahap lebih rendah tetapi kebarangkalian gagal adalah tinggi. Musuh yang bertahap tinggi boleh mengorbankan Bayek dengan hanya dua pukulan pedang. Pemain tidak mempunyai pilihan selain melakukan misi sampingan untuk mencecah tahap minimum melakukan misi.

Ini ialah dilema Origins. Adalah anda mahukan permainan yang mencabar kemampuan anda sebagai seorang Assassin? Sekiranya ya Origins dicipta khas untuk anda. Sekiranya anda mahu terasa seperti dewa di dalam Animus, Origins akan mengecewakan anda.

Kami tergolong di dalam kategori pertama. Selepas 10 tahun memainkan permainan yang sama saban tahun, perubahan drastik Origins ini membuatkan kami terasa tercabar.

Grafik

Grafik adalah elemen yang penting bagi sebuah permainan video. Tahun ini terdapat banyak permainan yang memaparkan tahap grafik yang hampir realistik. Origins dengan selesa berada di dalam senarai 10 permainan video dengan grafik tercantik yang sempat kami mainkan tahun ini. Dua tahun yang lalu grafik untuk Syndicate jelas kurang menarik jika dibandingkan dengan Unity. Unity pula mengalami masalah pepijat dan prestasi yang kronik walaupun ia mempunyai grafik yang cantik.

Dengan Origins Ubisoft nampaknya berjaya mengimbangi kemampuan grafik yang tinggi dan framerate yang munasabah. Kami mengulas veris PlayStation 4 dan walaupun pada konsol yang sudah agak berusia ini Origins masih kelihatan menarik.

Bandar Alexandria, Piramid Giza dan kota Memphis benar-benar hidup dengan watak yang menjalankan kehidupan seharian. Pemain boleh melihat sendiri proses mumifikasi, penghasilan gram nitron, penghasilan batu, proses menghasilkan kulit buaya, pelombongan bongkat granit dan sebagainya. Mesir purba di dalam Origins boleh mengajar pemain tentang kehidupan manusia pada zaman tersebut. Kemaskini yang bakal diterima tahun hadapan akan mengaktifkan mod Discovery Tour yang membolehkan pemain mempelajari kehidupan rakyat Mesir lebih 2000 tahun yang lalu.

Buat masa ini sekiranya anda berminat, anda boleh melihat sendiri pekerja lombong bekerja di waktu pagi, berhenti untuk makan sebelum pulang ke rumah untuk tidur. Semua NPC di dalam Origins mempunyai kitaran kerja seharian yang diprogramkan dengan agak realistik.

Permainan dunia terbuka terutamanya yang dihasilkan oleh Ubisoft terkenal kerana pelbagai pepijat. Sepanjang 70+ jam di dalam dunia Origins, kami hanya mengalami masalah crash to desktop sebanyak dua kali dan tiga game breaking bug. Masalah ini walaubagaimanapun berjaya diselesaikan selepas menerima kemaskini V 1.03. Perkara negatif mengenai patch ini ialah ia memadam gambar-gambar yang diambil sebelum patch dimuat turun.

Origins ialah Assassin’s Creed dengan kualiti grafik yang terbaik sejak Unity dengan masalah pepijat yang minimum. Pada konsol ia masih kelihatan cantik tetapi masih mempunyai masalah pop-up dan slow downs dalam situasi tertentu.

Audio

Memainkan Origins dengan menggunakan fon kepala ialah sesuatu yang amat kami syorkan. Bunyi derapan kuda, panas terbang beberapa inci dari kepala, hentakan pedang pada perisau dan dengusan unta amat realistik. Runut bunyi adalah agak minimum tidak seperti AC terdahulu.

Sound design Ubisoft memang antara yang terbaik di pasaran. Bayek bercakap dengan loghat penduduk Afrika Utara. Warga berbangsa Yunani kedengaran seperti insan dari selatan Eropah manakala watak dari Rom berbicara seperti pelakon Shakespeare. Berdasarkan loghat yang pelbagai, asal-usul NPC boleh diagak. Ini membuatkan dunia Origins lebih hidup.

Kelemahan terletak pada watak NPC sampingan yang berbicara seperti tanpa perasaan. Ini apabila dipadankan dengan animasi wajah yang kaku (tidak seperti cutscene penting yang berkualiti lebih baik) sedikit mengganggu immersion ketika bermain.

Mod Tambahan

Tiada sokongan multiplayer seperti Unity tetapi permainan ini mempunyai ratusan misi sampingan yang dengan mudah memberikan kandungan mencecah 100 jam permainan. Antara misi sampingan yang kami rasakan lebih menarik dari yang lain ialah menyelongkar makan purba, lumba pedati, membunuh gajah perang dan arena Gladiator. Bagi penggemar fotografi, Photo Mode yang disertakan memberikan pelbagai kawalan untuk menangkap gambar yang cantik lengkap dengan mod manual.

Arena Gladiator ini adalah ganti kepada kelab kelahi yang sudah wujud sejak AC Brotherhood. Kemampuan pemain benar-benar diuji kerana senjata paling asas diberikan untuk menentang musuh tahap tinggi. Memburu gajah perang pula ialah jawapan Origins kepada Legendary Ships di dalam Black Flag.

Terdapat banyak kandungan tambahan yang memastikan anda akan terus memainkan Origins selepas usai misi-misi utama. Kami hanya kecewa misi-misi yang telah diselesaikan tidak boleh dimainkan semula. Kecewa kerana ia antara fitur tradisi yang disertakan di setiap AC sebelum ini.

Terdapat juga cabaran harian dan mingguan untuk mendapatkan gear yang lebih tinggi. Cabaran harian memberikan Heka Chest (loot box) secara percuma tanpa perlu membeli menggunakan emas dalam permainan. Cabaran minggu Challenge of The Gods pula memberikan pemain tujuh hari untuk menyelesaikannya. Di akhir Challenge of The Gods set baju zirah Anubis akan diberikan.

Beberapa DLC turut telah diumumkan oleh Ubisoft. Seperti yang kami katakan sebelum ini DLC Discovery Tour akan membenarkan pemain mengembara di dalam Origins sambil mempelajari sejarah Mesir di akhir dinasti Ptolemy.

Kesimpulan

Assassin’s Creed Origin ialah suntikan adrenalin ke dalam salur darah siri AC yang hidup segan mati tak mahu sejak tiga tahun kebelakangan ini. Mengubahnya menjadi sebuah ARPG dan sistem combat baru adalah pilihan yang berisiko tinggi tetapi adalah yang tepat untuk memberikan kelainan berbanding permainan terdahulu.

Pemain tidak lagi akan terasa seperti dewa yang membunuh insan dengan menekan satu butang. Kali ini posisi, masa dan kepakaran diperlukan untuk menjadi seorang Assassin. Kami tahu perubahan yang amat besar ini mungkin akan menyebabkan sebilangan pemain tidak akan membeli Origins. Tetapi sebagai peminat siri ini sejak 2007, kami tergolong di dalam kumpulan yang menyambut perubahan yang dilakukan kerana permainan kini terasa segar semula.

Grafik yang cantik dipadankan dengan dunia yang benar-benar terasa hidup. Terdapat ratusan misi untuk dimainkan, makan untuk dijarah, kem tentera untuk diceroboh dan piramid untuk dipanjat. Membayar RM 258 untuk permainan ini terasa berbaloi kerana terdapat banyak kandungan tambahan yang disertakan oleh Ubisoft.

Kekurangan masih ada kerana jalan cerita yang cliche. Yang menyebabkan kami terus bermain ialah watak Bayek yang menarik serta cabaran yang diberikan oleh setiap misi.

Sekiranya anda gemarkan permainan ARPG seperti Horizon Zero Dawn dan Witcher 3, Origins ialah permainan yang akan menggembirakan anda. Bagi pemain siri Assassin’s Creed yang mahukan corak permainan lama ini bukan untuk anda. Ia lebih kompleks dan memerlukan puluhan jam untuk dihabiskan. Dari pandangan peribadi kami, Origins ialah antara permainan dunia terbuka yang terbaik dihasilkan tahun ini.

Sohor Kini