13 Oktober lepas, Tango Gameswork melancarkan permainan The Evil Within 2. Ia merupakan permainan seram sekuel kepada The Evil Within yang dilancarkan pada 2014 lepas. Permainan ini dikeluarkan oleh Bethesda Softworks untuk Playstation 4, Xbox One dan PC. Walaupun permainan The Evil Within yang pertama diarah oleh Shinji Mikami, The Evil Within 2 kini diarah oleh John Johanas. Bagaimana permainan The Evil Within 2? Ini adalah ulasan penuh kami.

Cerita

The Evil Within 2 sekali lagi memfokuskan watak Sebastian Castellanos dimana ia ditempatkan 3 tahun selepas permainan The Evil Within yang pertama. Juli Kidman, dari siri pertama permainan tersebut kembali menemui Sebastian dan memberitahu bahawa anak kepada Sebastian, Lily, masih lagi hidup dan ditempatkan di dalam Stem. Iaitu satu dunia maya yang dibangunkan berdasarkan satu teras.

Penceritaan di dalam permainan The Evil Within 2 sememangnya salah satu aspek yang menonjol di dalam permainan tersebut. Walaupun ia mempunyai penceritaan yang ringkas, ia masih lagi memberi saya kepuasan dari segi bentuk penceritaannya. Namun begitu, saya mengesyorkan anda untuk bermain permainan The Evil Within yang pertama dahulu untuk menikmati penceritaan dan juga beberapa watak penampilan dari permainan pertama yang terdapat di dalam permainan ini.

Grafik

Dari segi visual, permainan The Evil Within 2 tidak mengecewa dengan peningkatan visual yang sangat berbeza berbanding dengan permainan yang pertama. Namun begitu, ketika pembangunan permainan pertama The Evil Within, ia dibangunkan bersama dengan pelancaran di konsol generasi Playstation 3 dan Xbox 360. Disebabkan hal tersebut, ia mungkin menghadkan kualiti grafik bagi permainan tersebut. Namun, ia berbeza dengan pembangunan permainan ini. Kerana dibangunkan secara terus dari terasnya untuk konsol generasi terkini, justeru terus menghasilkan kualiti grafik yang sangat menakjubkan.

Menariknya juga permainan ini berjaya memberi impak yang sangat seram ketika saya bermain dengan pelbagai visual grafik yang sangat mengerikan. Sememangnya permainan ini bertemakan psikologi, dimana pemain akan menyelami keadaan-keadaan mentaliti musuh dengan pelbagai imej-imej yang mungkin akan memberi anda mimpi ngeri. Malah, bagi mereka yang mempunyai hati yang lemah untuk melihat visual yang ganas, anda mungkin lebih baik elak daripada bermain permainan.

Audio

Audio juga merupakan satu aspek yang penting untuk menikmati permainan seram sepenuhnya, dan permainan The Evil Within 2 sememangnya tidak mengecewakan. Permainan ini memaparkan hasil kualiti audio yang sangat seram dan sentiasa membuat saya panik ketika bertempur dengan musuh.

Namun, The Evil Within 2 tidaklah mempunyai audio muzik yang terlampau menyerlah disebabkan ia bertemakan permainan seram, audio di dalam permainan sering memberi saya perasaan yang menakutkan sepanjang saya bermain permainan tersebut. Contohnya apabila saya melalui satu koridor yang panjang, perasaan seram dan ngeri itu sentiasa menyelubungi saya sepanjang saya berjalan di koridor tersebut. Walaupun akhirnya saya tidak menemui apa-apa, ia tetap membuat saya berasa meremang bulu roma.

Kawalan Permainan

Kawalan permainan The Evil Within 2 adalah satu penaik-taraf yang utama berbanding permainan yang pertama. Kali ini, saya diberi peluang untuk melawati kawasan yang lebih luas seakan dunia terbuka. Seperti permainan dunia terbuka lain, The Evil Within 2 mempunyai bentuk permainan dimana anda berpeluang untuk membuat pelbagai misi sampingan dan mendapat pelbagai ganjaran seperti peluru, barangan senjata untuk menaik-taraf senjata dan juga gel hijau dimana pemain boleh menggunakannya untuk menaik-tarafkan watak pemain.

Menariknya juga ketika saya berjalan di dalam dunia permainan tersebut, saya perhatikan musuh-musuh atau zombi-zombi tersebut, mereka sering membuat sesuatu yang unik seolah-olah zombi tersebut sangat nyata. Ada satu bahagian dimana seekor zombi ini sedang mengumpul mayat-mayat manusia di dalam satu tempat dan ia berlaku secara nyata tanpa sebarang cutscene sekaligus ia menghasilkan atmosfera yang sangat seram dan saya rasa ia seolah nyata.

Namun, ketika awal permulaan permainan tersebut, saya menghadapi sedikit kesukaran untuk mengawal sasaran penembakkan. Disebabkan hal tersebut, saya berasa pada awal permainan ia agak susah untuk dimainkan, namun setelah saya mula biasa dan menaik-tarafkan watak saya sepanjang permainan tersebut, ia tidak menjadi satu masalah kepada saya lagi.

Kesimpulan

Akhir kata, permainan The Evil Within 2 sememangnya satu permainan survival seram yang sangat menyeronokkan dan juga sangat ngeri. Sepanjang 13 jam saya bermain permainan tersebut, saya sangat taksub dengan penceritaan dan jumlah kawasan yang saya boleh teroka untuk mengumpul barangan-barangan supaya saya lebih bersedia untuk berlawan bersama musuh-musuh di dalam permainan tersebut. Menariknya, permainan ini menampil pelbagai easter egg dari siri permainan Bethesda Softworks yang lain disamping juga memaparkan pelbagai penampilan dari permainan The Evil Within yang pertama.

The Evil Within 2 sudah dilancarkan pada 13 Oktober yang lepas dan anda boleh dapatkan sekarang dimana-mana pengedar rasmi permainan tersebut dengan harga RM229 atau anda boleh membelinya secara digital di PSN Store, Xbox Store dan Steam.

Sohor Kini