3 November lepas, Call Of Duty: WWII dilancarkan secara rasminya di Playstation 4, Xbox One dan PC. Permainan ini dibangunkan oleh Sledgehammer Games dan dilancarkan oleh Activision. Call Of Duty: WWII merupakan permainan siri ke-14 daripada siri Call Of Duty yang mana mereka kini kembali ke era peperangan perang dunia kedua setelah beberapa tahun lepas siri Call Of Duty memfokuskan peperangan moden.
Dengan bertempatkan di era peperangan dunia kedua, permainan Call Of Duty: WWII kini berjaya menarik semula peminat siri permainan tersebut dengan kembalinya ke akar permainan dimana permainan terakhir yang memfokuskan peperangan silam adalah Call Of Duty: World At War yang dilancarkan pada 2008 lepas.
Cerita
Penceritaan di dalam permainan Call Of Duty: WWII sememangnya tidak mengecewakan. Dengan jumlah jam permainan antara 7 sehingga 8 jam. Permainan tersebut sememangnya memaparkan bentuk penceritaan yang memuaskan.
Di dalam penceritaan Call Of Duty: WWII, pemain akan menggunakan watak Prebet Ronald Daniels daripada askar Amerika Syarikat. Pada permulaan permainan, pemain akan ditempatkan di pendaratan Normandy, ataupun dikenali sebagai D-Day. Bermulanya daripada lokasi tersebut, pemain akan bertempur sepanjang peperangan dunia kedua menentang Nazi dengan pelbagai peperangan yang memfokuskan bentuk penceritaan seperti persaudaraan.
Sebahagian daripada penceritaan permainan ini juga banyak mengambil inspirasi daripada filem terkenal seperti Saving Private Ryan yang mana juga bertempatkan di era yang sama. Namun, Call Of Duty: WWII berjaya menghasilkan penceritaan antara persaudaraan yang agak menyentuh hati.
Antara pertengahan permainan ini juga, permainan ini juga membuat beberapa perubahan dengan menukarkan sebilangan watak yang dimainkan oleh pemain seperti Camille Denis dimana pemain perlu menyusup masuk pangkalan musuh dan menjadi seorang pengitip. Dengan perubahan watak yang berlaku diantara permainan ini juga memberi satu impak yang menarik dari segi penceritaan dan kepelbagaian yang cemerlang.
Namun begitu, antara kelemahan penceritaan di dalam permainan ini adalah ia sering melompatkan kawasan-kawasan di dalam permainan dan ia membuat ia seolah berasa terlalu pantas dari segi kemajuan penceritaan. Dari semasa ke semasa juga, pembangunan watak juga seperti dipinggirkan dan membuat pemain merasa kurang terikat dengan sebilangan watak-watak lain.
Grafik
Visual grafik permainan Call Of Duty: WWII merupakan salah satu hasil kualiti permainan yang sangat menakjubkan. Setiap expressi muka, cuaca dan kawasan persekitaran permainan tersebut memaparkan hasil yang sangat mempersonakan. Sepanjang permainan tersebut, anda akan bertempur dengan pelbagai kawasan bermula dari pendaratan Normandy di pantai Omaha sehinggalah ke Kasserine Pass di Tunisia. Setiap persekitaran yang dihasilkan oleh Sledgehammer Games membawa hasil visual yang sangat menarik.
Tambahan pula dengan hasil kualiti expressi muka setiap watak juga memaparkan hasil yang sangat nyata. Persembahan watak Sarjan Pierson yang dilakonkan oleh Josh Duhamel juga merupakan salah satu hasil pelakon suara latar yang sangat mengagumkan. Tidak dilupakan juga watak-watak lain seperti Robert Zussman yang dilakonkan oleh Jonathan Tucker juga mempersembahkan dengan sangat baik sekali.
Setiap rekaan senjata, kelengkapan peperangan dunia kedua seperti kereta kebal dan lain-lain juga dipaparkan dengan sangat baik sekali. Rekaan terperinci seperti kandungan peluru dan termasuklah setiap kenderaan yang berupaya dinaiki oleh pemain mempunyai hasil kualiti model yang sangat nyata.
Audio
Audio permainan Call Of Duty: WWII sekali lagi merupakan kualiti permainan yang mengagumkan. Hasil muzik yang dipertayangkan sememang sangat memuaskan. Terutamanya bagi anda yang menyukai hasil kualiti audio peperangan, permainan ini memaparkan kualiti audio peperangan yang akan mengejutkan anda. Memandang permainan ini ditempatkan di peperangan dunia kedua, anda akan mendengar pelbagai jeritan, letupan dan bunyi kesukaan saya adalah apabila klip peluru senjata M1 Garand melompat keluar dari senjata tersebut.
Hasil kualiti bunyi audio tersebut memberi saya begitu kepuasan tambahan apabila bunyi peluru yang ditembak melalui sebelah saya dengan bunyi letupan penembakkan daripada kereta kebal. Hasil kualiti audio yang dihasilkan oleh Sledgehammer Games ini sememangnya satu seni muzik yang sangat menakjubkan.
Ketika pengakhiran permainan ini juga, pemain akan ditempatkan di dalam di dalam kapal terbang perang yang membawa pemain ke pertempuran udara. Menariknya ketika peperangan udara tersebut juga, hasil kualiti audio yang dihasilkan oleh permainan ini juga adalah sangat nyata. Dengan setiap bunyi-bunyian penembakkan termasuk bunyi kapal terbang yang mencakar udara juga menghasilkan salah satu bentuk audio yang memuaskan.
Kawalan Permainan
Dari segi kawalan permainan, Call Of Duty: WWII tidaklah memaparkan sesuatu yang baru. Terutamanya bagi mereka yang giat bermain siri permainan Call Of Duty sebelum ini. Namun dengan memfokuskan bentuk permainan peperangan silam, bagi anda yang biasa dengan kaedah lonjatan berganda dan juga melunsur seperti permainan moden Call Of Duty sebelum ini, anda mungkin akan sedikit kecewa kerana fungsi-fungsi tersebut tiada di dalam permainan ini. Namun ini juga merupakan aspek yang penting memandangkan permainan ini ditempatkan di era peperangan dunia kedua.
Menariknya juga, bagi bentuk permainan secara solo, permainan ini mengembalikan bar nyawa seakan permaian-permainan klasik dan tidak lagi nyawa pemain dipulihkan secara automatik. Bentuk permainan ini juga memberi hasil permainan yang lebih taktikal ketika pemain bertempur dengan musuh-musuh Nazi.
Tambahan juga, permainan ini memainkan peranan bentuk permainan secara berkumpulan. Dimana setiap ahli daripada kumpulan anda akan mempunyai sebilangan kemahiran yang berbeza. Contohnya seperti Zussman, pemain berupaya untuk meminta kit perubatan untuk memulih bar nyawa anda.
Pada pertengahan permainan ini juga, pemain diberi peluang untuk bertempur di udara dengan menggunakan kapal terbang perang yang memberi impak bentuk permainan yang berlainan. Namun ia tidaklah begitu seronok untuk dimain dan juga dengan dihadkan dengan sebilangan senjata yang sikit, ia menjadi agak bosan dan berulangan.
Selain itu, menariknya juga salah satu misi yang terdapat di dalam permainan Call Of Duty: WWII adalah pemain perlu menyusup masuk ke pangkalan musuh dengan mengintip, sekaligus ia menghasilkan ia menghasilkan bentuk permainan yang lebih senyap dan memberi mengubah arah permainan secara keseluruhan. Sebahagian daripada misi yang diberikan juga membenarkan pemain untuk bertempur dengan dua cara yang berlainan seperti terus menyerang musuh secara terbuka ataupun secara senyap dan membunuh musuh satu per satu.
Mod Multi-Pemain
Antara faktor utama bagi permainan Call Of Duty: WWII adalah bentuk permainan secara multi-pemain. Bentuk permainan Call Of Duty: WWII memaparkan hasil kualiti yang agak menarik. Walaupun mod permainan seperti Deathmatch, Search and Destroy dan lain-lain seperti siri permainan Call Of Duty sebelum ini kembali. Call Of Duty: WWII masih lagi mempunyai bentuk permainan multi-pemain yang menyegarkan. Namun, dukacitanya bar nyawa di dalam mod permainan multi-pemain masih lagi menggunakan sistem yang sama seperti siri Call of Duty sebelum ini yang mana ia dipulihkan secara automatik.
Salah satu fungsi terbaru buat permainan Call Of Duty: WWII adalah fungsi Headquarters dimana pemain dikumpulkan di dalam satu kawasan sebelum bermulanya sebarang perlawanan. Disitu pemain boleh berbuat pelbagai aktiviti seperti membuka atau membeli lootbox dan berlatih menembak di ruangan tempat latihan menembak. Pemain juga berupaya untuk mempamerkan kandungan lootbox terhadap pemain lain dan ini merupakan salah satu fungsi yang mendapat kritikan dan menjadi satu bahan jenaka ketika permainan ini dilancarkan.
Bagi fungsi kelas watak permainan pula, permainan ini memfokuskan lima kelas askar yang pemain boleh pilih ketika permulaan permainan tersebut. Antara lima kelas tersebut adalah Infantry, Airborne, Armored, Mountain dan Expeditionary. Setiap kelas askar mempunyai sebilangan kandungan yang berbeza dan juga bentuk senjata yang berbeza. Pemain juga berpeluang untuk mengubah-suai segala senjata, kemahiran dan juga pakaian untuk setiap kelas askar tersebut dengan kemajuan permainan ataupun mendapatkannya melalui lootbox.
Antara mod permainan terbaru yang diperkenalkan adalah War Mode, yang mana ia memfokuskan bentuk permainan secara berobjektif berperingkat. Mod ini adalah mod permainan yang sangat menyeronokkan bagi saya kerana ia memfokuskan bentuk permainan yang lebih taktikal berbanding mod-mod yang lain yang hanya mementingkan jumlah nilai pembunuhan sahaja. Mod ini juga memaparkan sebilangan bentuk permainan yang berdasarkan perang sebenar.
Contohnya seperti di kawasan pendaratan Normandy dimana pemain boleh menghidupkan semula peperangan tersebut dengan bermain sebagai askar yang mendarat di pantai Omaha dan memperjuang untuk menakluk pantai tersebut. War Mode sememangnya adalah salah satu bentuk permainan multi-pemain yang sangat menyeronokkan namun sayangnya ia hanyalah mempunyai tiga kawasan sahaja.
Dari segi mod zombi pula, permainan Call Of Duty: WWII tidaklah memaparkan sesuatu yang unik berbanding permainan sebelum ini kecuali tema permainan yang meletakkan pemain di kawasan peperangan dunia kedua dan bertempur dengan zombi Nazi. Seperti siri permainan Call Of Duty sebelum ini, pemain dan tiga lagi pemain lain akan diletakkan di kawasan yang luas dimana sebahagian kawasan tersebut perlu dibuka dengan membeli nilai yang mana pemain akan dapat jika mereka membunuh zombi. Nilai tersebut juga boleh digunakan untuk membeli sebilangan senjata dan untuk teruskan permainan. Pemain-pemain perlu untuk terus hidup dengan serangan zombi secara berperingkat disamping membantu sesama pemain lain. Dari segi kepelbagaian, ketika ini ulasan ini ditulis, mod zombi ini hanyalah terdapat satu kawasan sahaja.
Kesimpulan
Akhir kata, permainan Call Of Duty: WWII sememangnya satu permainan penembak pandang pertama yang sangat menarik. Dengan kandungan yang banyak dicampur dengan hasil kualiti visual dan audio yang memberangsangkan, permainan ini memberi impak peperangan dunia kedua yang sangat memuaskan. Walaupun dari segi penceritaan ianya tidaklah begitu mengagumkan, tetapi dengan konsep persaudaraan yang terdapat di dalam permainan ini dicampur dengan persembahan pelakon suara latar yang meyakinkan, ianya merupakan salah satu pengalaman yang sangat dinikmati oleh saya.
Dari segi bentuk multi-pemain juga, permainan ini merupakan salah satu penembak pandang pertama yang sangat seronok untuk dimainkan bersama rakan-rakan mahupun bersama sebilangan pemain-pemain lain. Namun dengan limitasi kandungan kawasan yang agak terhad, anda mungkin berminat untuk mendapatkan pas musim yang mana Sledgehammer games menjanjikan lagi pelbagai kandungan tambahan pada masa akan datang.
Bagi anda yang menyukai tema peperangan dunia kedua bersama kandungan pertempuran tembak-menembak multi-pemain yang seronok, saya sarankan anda untuk dapatkan permainan ini. Ia merupakan salah satu siri Call Of Duty yang terbaik bagi saya dari segi bentuk permainan dan juga kualiti yang dihasilkan.