Skip to main content

Pada awal tahun ini, Samsung telah melancarkan penawaran telefon mercu mereka iaitu Samsung Galaxy S25 Ultra, S25+ dan juga S25, bagi melengkapi penawaran telefon pintar untuk tahun ini, Samsung juga telah melancarkan penawaran telefon kelas pertengahan pula iaitu Samsung Galaxy A56, A36 dan A26 yang ditawarkan mengikut bajet-bajet yang berbeza. Saya sudah meluangkan lebih 2 minggu menggunakan A56 dan saya boleh katakan yang tidak merasa perbezaan yang ketara beralih daripada S25 Ultra ke telefon ini kerana ia memberikan pengalaman yang memuaskan untuk bahagian yang penting.

Paparan6.7-inci FHD+ AMOLED (2340 x 1080), 120Hz
Cip PemprosesanExynos 1580
GPUXclipse 540
RAM12GB
Storan256GB
Batteri5,000mAh (45W pengecasan pantas)
HargaRM2,199

Bahagian yang penting yang saya maksudkan di atas adalah paparan untuk bermain permainan mudah alih dan juga menonton kandungan hiburan, prestasi untuk penggunaan umum dan bermain permainan mudah alih dan juga bateri. Bahagian-bahagian ini bagi saya memberikan pengalaman yang mencukupi, sudah semestinya ada perbezaan jika ingin dibandingkan dengan S25 tetapi dengan perbezaan harga, ia adalah sesuatu yang sudah dijangkakan.

Bagi paparan, ia hadir dengan skrin 6.7-inci yang menggunakan resolusi FHD+ dan menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz. Dengan menggunakan panel Super AMOLED, yang masih lagi antara panel terbaik di pasaran, ia memberikan pengalaman yang baik untuk memaparkan permainan mudah alih dan juga menonton kandungan hiburan. Warna yang ditunjukkan adalah jitu dan terang, dengan tambahan sokongan HDR10+, kandungan-kandungan HDR dipaparkan dengan lebih baik.

Beberapa perbezaan ketara yang saya boleh katakan jika ingin dibandingkan dengan S25 adalah tahap kecerahan, saya boleh menggunakan S25 di tempat yang lebih terang berbanding A56, kerana perbezaan kadar kecerahan tertinggi iaitu 2600 nits berbanding 1900 nits. Namun, sepanjang saya menggunakan telefon ini, tidak kira di dalam bangunan ataupun di luar, termasuk juga ketika terik matahari, ia masih boleh digunakan walaupun perlu melihat dengan lebih dekat.

Seterusnya adalah prestasi, di atas kertas sudah semestinya Snapdragon 8 Elite jauh meninggalkan Exynos 1580 kerana ia adalah cip pemprosesan yang di dua kelas yang berbeza. Bagi penggunaan sebenar pula, saya tidak boleh katakan yang ia mempunyai perbezaan ketara terutama untuk bermain permainan mudah alih. Ini adalah kerana kebanyakan permainan sudah dibina untuk dimainkan dengan baik bagi pelbagai kelas telefon pintar dan kelebihan cip pemprosesan mercu tidak sangat ketara.

Saya mencuba permainan seperti Genshin Impact dan saya boleh menggunakan tetapan tertinggi dengan kadar kelancaran 60FPS, saya boleh menggunakan tetapan ini untuk kebanyakan bahagian akan tetapi bagi memastikan mendapat kelancaran yang lebih stabil, merendahkan tetapan grafik dan mengekalkan kadar kelancaran juga boleh dijadikan satu pilihan. Begitu juga dengan permainan lain oleh HoYoverse seperti Honkai: Star Rail dan Zenless Zone Zero iaitu ia boleh dimainkan dengan tetapan tertinggi tetapi menggunakan tetapan yang lebih pertengahan akan memberikan kelancaran yang lebih baik.

Bagi permainan PUBG Mobile, tetapan dengan kadar kelancaran tertinggi iaitu Extreme (60FPS) hanya boleh digunakan menggunakan kadar grafik Smooth yang bagi saya sedikit mengecewakan kerana apabila saya menggunakan tetapan ini, ia boleh dimainkan dengan lancar dengan kata lain saya boleh dapatkan sama ada grafik yang lebih baik ataupun kadar kelancaran yang lebih tinggi. Manakala bagi permainan Mobile Legends: Bang Bang, tetapan terbaik yang saya boleh gunakan adalah Super (90FPS) bagi Frame Rate dan Ultra untuk grafik, ia boleh dimainkan dengan sangat baik di mana saya mendapat kadar kelancaran 90FPS yang konsisten.

Satu perkara yang saya boleh katakan, selepas bermain permainan-permainan ini, telefon akan menjadi sedikit panas, ada masa saya perlu meletakkan telefon di bawah kerana ia menjadi kurang selesa, tetapi ia hanya berlaku semasa saya menguji sesuatu permainan untuk jangka masa yang lama dengan tetapan tertinggi. Selain daripada itu, ia terasa suam dan masih boleh digunakan tanpa sebarang masalah. Bagi kegunaan umum, ia adalah lancar. Saya tidak pernah merasa sebarang lagging semasa menggunakan, ia mungkin bukan peranti multitask sebaik telefon mercu, tetapi saya masih membuka dua aplikasi seperti pelayar bersama dengan YouTube pada satu masa tanpa sebarang masalah.

Dengan menggunakan bateri sebesar 5,000 mAh, ia memberikan ketahanan yang memuaskan. Saya boleh menggunakan sepanjang hari dengan bermain permainan mudah alih secara ringan da SoT yang saya peroleh adalah lebih kurang 5 jam. Bagi pengecasan pula, ia mempunyai pengecasan pantas 45W membolehkan telefon ini dicas penuh daripada kosong dalam masa 1 jam 10 minit. Ia mungkin tidak sepantas beberapa telefon lain tetapi bagi corak kegunaan saya, mengambil masa 1 jam sahaja untuk pengecasan bukan satu tempoh yang lama.

Seperti S25, A56 juga hadir dengan fungsi AI iaitu Awesome Intelligence berbanding Galaxy AI dan membawa fungsi yang lebih terhad. Namun, fungsi-fungsi yang ada masih menarik dengan memfokuskan kepada gambar dan video seperti membuang perkara yang tidak diinginkan daripada gambar, memilih muka yang terbaik untuk gambar dan membuang bahagian yang tidak penting daripada sesuatu video. Ia juga mempunyai fungsi untuk menambah-baik gambar dan memberikan cadangan untuknya.

Akhir kata, Samsung Galaxy A56 merupakan satu telefon kelas pertengahan yang mencukupi untuk fungsi-fungsi yang penting bagi saya iaitu paparan yang baik, prestasi yang mencukupi dan juga ketahanan bateri yang memuaskan. Jika tiga perkara ini juga penting untuk anda, saya boleh katakan yang telefon ini tidak akan mengecewakan.

Leave a Reply