Skip to main content

Dengan industri telefon pintar buat masa ini memfokuskan kepada AI, begitu juga dengan Samsung melalui penawaran telefon-telefon pintar mereka, termasuk juga Samsung Galaxy S25 Ultra tidak mengejutkan jika aspek lain di telefon ini tidak diberi penekanan ataupun penambahan yang besar, seperti yang saya nyatakan di dalam Pandang Pertama sebelum ini, ia tidak menjadi masalah kerana penawaran sedia ada sudah antara yang terbaik di pasaran oleh itu walaupun penambahan yang kecil masih lagi menjadikannya antara telefon Android terbaik di pasaran.

Paparan6.9-inci QHD+ AMOLED (3120 x 1440), 120Hz
Cip PemprosesanQualcomm Snapdragon 8 Elite
GPUAdreno 830
RAM12GB
Storan256GB
Batteri5,000mAh (45W pengecasan pantas)
HargaRM5,999

Perubahan ketara yang boleh dikatakan jika dibandingkan dengan Galaxy S24 Ultra sebelum ini adalah penggunaan cip, yang beralih daripada Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 kepada Snapdragon 8 Elite yang membawa lebih 30% lebih laju untuk CPU clock speed, di atas kertas GPU juga 22% lebih baik yang seharusnya memberikan prestasi secara keseluruhannya lebih baik, tidak kira bagi penggunaan umum ataupun semasa bermain permainan mudah alih.

Sepanjang bermain kesemua permainan HoYoverse seperti Genshin Impact, Honkai: Star Rail dan juga Zenless Zone Zero saya boleh menggunakan tetapan yang tertinggi tanpa sebarang masalah. Saya tidak boleh katakan ia lancar sepenuhnya, kerana masih ada beberapa tempat ataupun ketika yang membuatkan ia tersangkut-sangkut. Namun, ia merupakan satu masalah yang saya alami tidak kira menggunakan apa sahaja telefon, termasuk juga yang terkini. Secara keseluruhannya ia masih memberikan prestasi bermain yang sangat memuaskan.

Saya juga mencuba telefon ini dengan beberapa permainan popular di Malaysia seperti PUBG Mobile di mana saya mendapat kadar kelancaran 120FPS atau secara puratanya ia sekitar 110FPS dengan tetapan grafik ‘Smooth’ bukan kerana untuk mendapatkan kelancaran terbaik tetapi ia dihadkan oleh permainan ini sendiri. Dengan pilihan grafik seperti Ultra HDR hanya boleh menggunakan tahap kelancaran ‘Ultra’ sahaja ataupun 45FPS, saya merasakan yang dengan cip yang digunakan di dalam telefon ini, ia masih boleh menyokong tahap grafik yang lebih tinggi daripada ini.

Manakala bagi permainan Mobile Legends: Bang Bang pula saya dapat menggunakan tetapan yang terbaik iaitu Ultra untuk Frame Rate dan juga Grafik. Saya dapat bermain dengan tetapan ini tanpa sebarang masalah termasuk juga semasa pertempuran berkumpulan yang besar, contohnya melibatkan kesemua pemain di satu tempat dengan segala partikel kuasa dikeluarkan masih tidak menjejaskan kadar kelancaran yang ketara, memberikan pengalaman yang memuaskan.

Bagi skrin pula, ia tidak membawa perubahan yang besar kerana satu-satunya perbezaan adalah ia saiz yang sedikit lebih besar iaitu 6.9-inci berbanding 6.8-inci sebelum ini. Perbezaan ini hadir daripada bezel yang mengecil untuk telefon tahun ini. Jika diletakkan secara bersebelahan mungkin tidak dapat melihat perbezaan di antara dua saiz ini, tetapi ia sentiasa perkara yang baik untuk mempunyai bezel yang lebih nipis kerana memberikan ruang yang lebih untuk skrin.

Selain daripada itu, skrin masih menggunakan skrin Dynamic AMOLED2X, dengan resolusi Quad HD+ dan kadar kelancaran sehingga 120Hz yang masih lagi antara terbaik yang ditawarkan di peranti-peranti mercu. Kualiti paparan juga seperti sebelum-sebelum ini iaitu antara paparan terabik yang ada di pasaran untuk mana-mana produk yang mempunyai skrin. Kualiti serta kejituan warna yang dipamerkan sangat memuaskan tidak kira semasa menonton video ataupun bermain permainan mudah alih. Ia juga satu paparan yang selesa untuk kegunaan umum seperti membaca tulisan.

Bateri tidak membawa sebarang perubahan berbanding penawaran S24 Ultra, iaitu 5,000 mAh dengan pengecasan pantas 45W. Dengan telefon pintar sekarang telah menawarkan saiz bateri yang lebih besar ataupun pengecasan yang pantas, dan ia tidak terhad kepada bahagian mercu sahaja, menjadi sesuatu yang mengecewakan kerana tiada peningkatan bagi bahagian ini. Namun, melalui penggunaan, ia tidaklah mengecewakan. Bagi penggunaan biasa, saya boleh mendapatkan lebih 8 jam SOT, yang sudah cukup memuaskan dan walaupun sekadar 45W, ia mengambil masa lebih kurang sejam sahaja untuk pengecasan penuh daripada sifar yang bagi saya sudah cukup pantas untuk kebanyakan jenis penggunaan.

Bagi kegunaan umum pula, S25 Ultra dilengkapi dengan One UI 7 yang kelihatan lebih segar dengan lebih berwarna-warni, selain itu ia juga satu sistem operasi yang lancar. Bagi S-Pen ia bukan sesuatu yang saya sering gunakan, tetapi agak berguna semasa melakukan untuk mencatat sebarang nota, ataupun melakukan suntingan grafik dengan lebih jitu. Saya juga boleh katakan yang S25 Ultra mempunyai penyejukan yang baik kerana saya tidak pernah mendapati ia menjadi terlalu panas walaupun sedang bermain permainan dengan tetapan tertinggi dan untuk tempoh yang lama. Melalui aplikasi Gaming Hub, ia juga memudahkan pengurusan permainan mudah alih di dalam telefon ini, tambahan lagi melalui fungsi Game Booster yang memudahkan saya untuk melakukan tetapan yang terbaik.

Samsung Galaxy S25 Ultra saya boleh rumuskan masih lagi antara telefon mercu terbaik di pasaran seperti mana Galaxy S24 Ultra, walaupun dengan perubahan yang agak minimal, dengan cip yang lebih berkuasa ia menjanjikan prestasi terbaik untuk sekurang-kurangnya 4 hingga 5 tahun lagi, skrin dan bateri pula juga tidak membawa perubahan yang besar tetapi masih lagi memuaskan untuk kegunaan umum dan juga kegunaan untuk bermain permainan mudah alih dan juga menonton kandungan video. Selain itu, One UI 7, S-Pen dan juga Gaming Hub juga memberi nilai tambah kepada telefon ini.

Selain spesifikasi yang saya guna ini iaitu 12GB RAM/256GB storan dengan harga RM5,999 ia juga ditawarkan dengan pilhan 512GB storan dengan harga RM6,599 dan 1TB storan dengan harga RM7,799. Ia hadir dengan 7 pilihan warna iaitu Titanium Silverblue, Titanium Gray, Titanium Black, Titanium Whitesilver dan Titanium Jetblack, Titanium Jadegreen dan Titanium Pinkgold yang ditawarkan secara eksklusif melalui Samsung.com.

Leave a Reply