Samsung telah mengemas kini penawaran peranti boleh lipat mereka untuk tahun 2026 melalui pengenalan tiga model berbeza: Galaxy Z Fold8 Ultra, Galaxy Z Fold8, dan Galaxy Z Flip8. Siri kali ini membawakan pembahagian varian yang jelas bersama peningkatan perisian berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta pengenalan rekaan baharu. Berikut adalah antara perkara menarik untuk pengumuman terbaharu oleh Samsung ini:
1. Harga Penawaran dan Pakej Pra-tempahan
Bagi pasaran tempatan, siri Galaxy Z Fold8 Ultra ditetapkan pada kedudukan premium dengan tanda harga bermula dari RM8,099 untuk storan 256GB dan mencapai RM10,499 bagi versi 1TB. Model Z Fold8 biasa bermula dari RM7,299 (256GB) hingga RM9,699 (1TB). Bagi pengguna yang mencari peranti lebih kecil, Z Flip8 dipasarkan pada harga RM5,399 (256GB) dan RM6,199 (512GB). Pembeli terawal ditawarkan insentif termasuk rebat eksklusif sehingga RM800, potongan segera bank bernilai RM500, serta sistem ansuran 0% sehingga 36 bulan.
2. Pengenalan Rekaan Baharu
Bagi penawaran tahun ini, Samsung memperkenalkan rekaan baharu untuk Galaxy Z Fold8 yang tampil dengan profil lebih lebar berbanding generasi sebelum ini. Model ini menggunakan skrin luar 5.5 inci (nisbah 16:10) dan skrin dalam 7.6 inci (nisbah 4:3) yang direka agar sesuai dengan penggunaan aplikasi tanpa perlu memutar peranti. Reka bentuk tradisi siri Fold yang lebih tinggi pula kini masih ditawarkan melalui jenama Galaxy Z Fold8 Ultra, yang mengekalkan profil nipis 4.1 mm (apabila dibuka) bersama paparan utama 8.0-inci.

3. Kemas Kini Pemproses Generasi Baharu
Fokus utama spesifikasi dalaman siri ini terarah kepada kemas kini cip pemprosesan bagi menyokong keperluan pengguna dan perisian AI. Galaxy Z Fold8 dan Fold8 Ultra kini dipacu oleh cip mercu Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy. Bagi varian Galaxy Z Flip8 pula, peranti tersebut dikemas kini dengan unit pemprosesan Exynos 2600. Ketiga-tiga model ini beroperasi menggunakan sistem operasi Android 17 (One UI 9) dan dilengkapi sokongan rangkaian Wi-Fi 7.
4. Konfigurasi Kamera 200MP untuk Model Ultra
Sistem fotografi menjadi sempadan pemisah antara model Ultra dan standard. Galaxy Z Fold8 Ultra dilengkapi sistem tri-kamera baharu yang menyertakan sensor utama 200MP (dengan sokongan HDR baharu) bersama lensa ultra-lebar 50MP dan telefoto 10MP. Galaxy Z Fold8 standard membawakan tetapan dwi-kamera 50MP untuk lensa lebar dan ultra-lebar. Manakala Z Flip8 menggunakan kamera utama 50MP dan lensa ultra-lebar 12MP yang dipadankan bersama cip ProVisual Engine bagi pemprosesan imej potret.

5. Struktur Skrin Flex Titanium
Bagi sistem paparan boleh lipat, Samsung mengintegrasikan teknologi Flex Titanium. Binaan ini menggunakan plat titanium yang digabungkan dengan filem aloi untuk mengukuhkan sokongan struktur paparan, menyerap tekanan, serta menjadikan kesan lipatan (crease) pada skrin kurang kelihatan dari semasa ke semasa.
6. Pengecasan 45W dan Kapasiti Bateri
Model Z Fold8 Ultra dibekalkan dengan bateri 5,000 mAh berserta sistem seni bina pengecasan dwi-laluan 45W yang berupaya mengisi bateri ke tahap 67% dalam masa 30 minit. Model Z Fold8 menerima unit 4,800 mAh dengan format pengecasan pantas 45W yang sama. Kapasiti bateri bagi Z Flip8 adalah 4,300 mAh dengan had kelajuan pengecasan berwayar pada paras 25W.

7. Integrasi Gemini Intelligence
Perisian One UI 9 menyepadukan teknologi Gemini Intelligence yang bertindak sebagai ejen automasi untuk mengawal selia lebih 40 aplikasi berbeza. Siri Z Flip8 mendapat manfaat antaramuka FlexWindow baharu yang memaparkan maklumat diringkaskan melalui fungsi “Now Brief” dan “Now Nudge” bagi memudahkan pengguna melihat jadual, cuaca, dan notifikasi keselamatan terus dari skrin luar. Setiap pembelian peranti juga akan disediakan bersama langganan selama 6-bulan utnuk Google AI Pro yang berharga RM97.99 sebulan.
8. Peralihan Data Merentas Platform (Smart Switch)
Proses pertukaran ekosistem dipermudahkan melalui kemas kini perisian Smart Switch. Pengguna peranti iOS kini boleh mengimbas kod QR untuk memindahkan fail, kata laluan, maklumat eSIM, dan sejarah panggilan secara nirwayar tanpa aplikasi tambahan. Fungsi Quick Share turut menyokong protokol AirDrop, membenarkan pertukaran fail dua hala secara terus antara siri Galaxy Z baharu dan peranti Apple.

9. Teknologi Rakaman Video
Bagi tujuan rakaman video, Z Fold8 Ultra menawarkan sokongan codec APV baharu untuk fail 8K serta manipulasi visual berformat Cine LUT. Model Z Fold8 menyediakan fungsi “My FanCam” yang menjejak subjek secara automatik dan mengubah nisbah paparan untuk media sosial. Sistem rakaman Z Flip8 pula disokong oleh profil “Super Steady” berserta penguncian ruang mendatar (Horizontal Lock) untuk kestabilan rakaman bergerak.
10. Keselamatan Perisian dan Penarafan IP48
Siri peranti ini mengekalkan penarafan IP48 bagi memberikan perlindungan asas terhadap rendaman air tawar sehingga 1.5 meter selama 30 minit. Dari aspek sekuriti digital, fungsi AI Assistant Activity menyediakan papan pemuka khusus untuk pengguna memantau tindak tanduk automasi AI pada peranti. Data pengguna disulitkan di bawah ekosistem perlindungan perkakasan dan perisian melalui Knox Vault serta Knox Enhanced Encrypted Protection (KEEP).


