Disney+ hari ini membawakan siri thriller lapan episod berjudul Furious, sebuah naskhah ciptaan Elizabeth Meriwether. Mengambil inspirasi daripada filem Black Widow (1987), siri ini menterbalikkan stereotaip genre jenayah kejar-mengejar tradisional untuk meneroka kemarahan wanita, kesan trauma, dan penderaan sistemik secara mendalam. Siri ini tidak gentar menyelami sisi kelam psikologi manusia dengan garapan yang jujur dan memberi kesan mendalam. Ia mengisahkan mengenai ejen FBI yang cuba menyiasat pembunuhan bersiri menyasarkan lelaki kaya, tetapi siasatan mendapati ia tidak seperti yang dijangkakan bahkan mempunyai sesuatu yang lebih mendalam.

Kekuatan utama siri ini terletak pada barisan pelakonnya. Emmy Rossum mempamerkan lakonan luar biasa sebagai Alice Black, ejen FBI yang bergelut dengan sejarah lampau penderaannya. Ini merupakan penampilannya yang paling mendalam sejak siri Shameless. Mengimbangi watak tersebut, Lola Petticrew tampil memukau sebagai Catherine Grace, pembunuh bersiri yang menyasarkan lelaki berkuasa dan pemangsa. Kedua-dua pelakon ini menghidupkan watak masing-masing dengan tenaga yang sangat baik, terutama apabila adanya adegan-adegan bersama di antara mereka berdua.

Barisan pelakon pembantu juga tidak kurang hebatnya. Quincy Tyler Bernstine menyerlah melalui watak ejen FBI yang sinis dan sarat jenaka gelap, Nora Washington. Lakonan Scoot McNairy sebagai Danny menyuntik nilai emosi yang tinggi pada jalan cerita dan juga membantu untuk mempertingkatkan lagi watak Alice dan mungkin satu-satunya watak lelaki yang boleh disukai, manakala Steve Way meyakinkan sebagai orang kanan Catherine yang memberi lapisan berlainan untuk watak Catherine.

Setiap episod yang mempunyai durasi lebih kurang 50 minit, diisi dengan sangat memuaskan dan mempunyai rentak seimbang yang menjadikan siri ini sentiasa berdebar dan menarik. Tambahan lagi dengan penceritaan tidak hanya bergantung kepada apa yang terjadi atau dilakukan oleh Alice atau Catherine, penglibatan watak-watak lain turut diadun dengan kemas dan berkesan dan menjadikan cabang penceritaan yang menarik.

Siri ini bagaimanapun memiliki sedikit kelemahan dari sudut hubungan emosi penonton. Sukar untuk membina empati kerana setiap watak dibelenggu oleh bebanan emosi yang berat. Walau bagaimanapun, ini memaksa penonton menilai siri ini dari sudut pandang yang lebih objektif. Sebaik sahaja rentak ini difahami, kelemahan tersebut langsung tidak merencatkan pengalaman menonton. Furious berani menelusuri isu rasuah sistemik serta kesan psikologi trauma tanpa terperangkap dalam klise drama penyiasatan. Kualiti penceritaan pada separuh masa kedua musim juga jauh lebih utuh.

Akhir kata, siri ini merupakan naratif lapan episod yang menterbalikkan stereotaip genre jenayah kejar-mengejar tradisional untuk meneroka isu kemarahan wanita, kesan trauma, dan penderaan sistemik secara mendalam. Siri ini dipacu oleh lakonan luar biasa Emmy Rossum sebagai Alice Black, seorang ejen FBI yang bergelut dengan masa silam yang kelam, dan Lola Petticrew sebagai Catherine Grace, pembunuh bersiri yang menyasarkan lelaki berkuasa. Disokong oleh barisan pelakon pembantu yang mantap, termasuk Quincy Tyler Bernstine, Scoot McNairy, dan Steve Way, siri ini mengekalkan rentak berdebar dan seimbang pada setiap episod berdurasi 50 minit. Walaupun beban emosi berat yang dibawa oleh watak-watak agak menyukarkan penonton untuk membina hubungan empati, pendekatan ini mendorong pandangan yang lebih objektif terhadap elemen psikologinya. Ini menjadikan siri ini mengelak klise drama penyiasatan biasa dengan menyajikan naratif berkesan, mendalam dan menarik.

Gambar: Disney/Sarah Shatz

Furious
Siri ini merupakan naratif lapan episod yang menterbalikkan stereotaip genre jenayah kejar-mengejar tradisional untuk meneroka isu kemarahan wanita, kesan trauma, dan penderaan sistemik secara mendalam. Siri ini dipacu oleh lakonan luar biasa Emmy Rossum sebagai Alice Black, seorang ejen FBI yang bergelut dengan masa silam yang kelam, dan Lola Petticrew sebagai Catherine Grace, pembunuh bersiri yang menyasarkan lelaki berkuasa. Disokong oleh barisan pelakon pembantu yang mantap, termasuk Quincy Tyler Bernstine, Scoot McNairy, dan Steve Way, siri ini mengekalkan rentak berdebar dan seimbang pada setiap episod berdurasi 50 minit. Walaupun beban emosi berat yang dibawa oleh watak-watak agak menyukarkan penonton untuk membina hubungan empati, pendekatan ini mendorong pandangan yang lebih objektif terhadap elemen psikologinya. Ini menjadikan siri ini mengelak klise drama penyiasatan biasa dengan menyajikan naratif berkesan, mendalam dan menarik.
Positif
Lakonan berkualiti
Pengisian setiap episod yang padat
Tema penceritaan disampaikan dengan baik
Negatif
Setiap watak mempunyai bebanan tersendiri
9

Leave a Reply

Final Score