Pelancaran konsol naik taraf pertengahan generasi sudah dijangkakan sejak PlayStation 5 awal dilancarkan lagi, dan hampir 4 tahun kemudian, Sony Interactive Entertainment (SIE) melancarkan PlayStation 5 Pro secara rasmi dengan beberapa perubahan yang bukan sahaja menyediakan konsol yang lebih berkuasa tetapi juga memberi gambaran kepada masa hadapan konsol yang mungkin sedang dirancang oleh SIE untuk PlayStation. Dilancarkan dengan harga RM3,849 ia adalah satu harga yang tinggi jika ingin dibandingkan dengan konsol-konsol sebelum ini walaupun untuk versi Pro, tiadanya pemacu optik tetapi disertakan dengan 2TB storan dan juga sokongan pelbagai teknologi untuk memberikan pengalaman bermain yang lebih baik adakah alasan mencukupi untuk mendapatkan PS5 Pro sebagai PS5 pertama atau naik taraf?


Sebelum saya menjawab persoalan tersebut, saya ingin terlebih dahulu berkongsi spesifikasi untuk PlayStation 5 Pro dan saya bandingkan juga dengan PS5:
Spesifikasi | PS5 Slim | PS5 Pro |
CPU | AMD Ryzen Zen 2 (8 teras, 16 jalur, 3.5 GHz) | AMD Ryzen Zen 2 (8 teras, 16 jalur, up to 3.85 GHz) |
GPU | AMD RDNA 2 (10.28 teraflops, ray tracing) | AMD RDNA 2 (16.7 teraflops, improved ray tracing) |
RAM | 16 GB GDDR6 (448 GB/s) | 16 GB GDDR6 (448 GB/s) |
Storan | 1TB SSD (5.5 GB/s) | 2 TB SSD (5.5 GB/s) |
Sambungan | WiFi 6 | WiFi 7 |
Harga | RM2,499 / RM2,069 (Digital) | RM3,849 |
Sepertimana yang sudah diharapkan melalui konsol ‘Pro’ ia hadir dengan spesifikasi yang lebih baik berbanding konsol asas, terutama di bahagian GPU dan overclocked untuk CPU. Ini di atas kertasnya bermakna yang PS5 Pro boleh menjalankan permainan dengan lebih baik, mencapai resolusi ataupun kadar kelancaran yang lebih tinggi dan stabil. Ia juga memberikan pembangun lebih banyak ruang untuk menawarkan permainan mereka dengan cara yang terbaik. Pada masa yang sama, Sony sudah semestinya ingin mengelak daripada masalah Xbox Series X dan Xbox Series S berlaku bagi penawaran PS5 dan PS5 Pro dengan kata lain walaupun PS5 Pro konsol yang lebih berkeupayaan, ia tidak dihasilkan untuk terlalu jauh meninggalkan PS5 kerana ia akan terus menjadi konsol yang dimiliki oleh kebanyakan pemain.
PlayStation Spectral Super Resolution (PSSR)
Dengan pengenalan teknologi DLSS oleh NVIDIA, menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin di dalam menjadikan permainan dapat dimainkan dengan lebih lancar sudah menjadi kebiasaan, bahkan ia menjadi antara penarik utama untuk pembelian kad grafik oleh mereka. Teknologi PlayStation – PlayStation Spectral Super Resolution (PSSR) cuba melakukan perkara yang sama dan buat pertama kali ia disokong oleh konsol.
Dengan bahasa mudahnya, permainan dijalankan dengan resolusi 1080p, untuk menjadikannya lebih lancar kemudian PSSR akan mempertingkatkan resolusi kepada 2K ataupun 4K tanpa menjejaskan kadar kelancaran tersebut dan pada masa yang sama tidak terlalu menjejaskan kualiti permainan tersebut. Seperti yang kita lihat melalui DLSS, kita juga boleh lihat melalui PSSR yang permainan boleh memberikan kualiti gambar dengan resolusi lebih tinggi tetapi permainan dapat berjalan dengan sama ataupun lebih baik berbanding di PS5.

PSSR merupakan satu teknologi yang sangat baik untuk ada di dalam konsol, akan tetapi pada masa yang sama ia juga mungkin akan membawa beberapa masalah seperti kualiti gambar kelihatan kurang baik atau tidak seperti yang diharapkan. Ia merupakan teknologi yang baharu diperkenalkan kepada pembangun, dan saya merasakan ia akan digunakan dengan lebih baik dari semasa ke semasa.
Tambahan pada itu, PS5 Pro juga membawa tetapan baharu iaitu “PS4 Image Enhancement”, tetapan ini akan menjadikan permainan PS4 yang dimainkan di PS5 Pro dipertingkatkan resolusi untuk permainan tersebut tanpa sebarang kemaskini oleh pembangun. Saya tidak pasti jika ia juga boleh digelar sebagai PSSR akan tetapi bagaimana ia berfungsi adalah lebih kurang, dengan mengambil permainan yang dijalankan secara 1080p ke resolusi lebih tinggi termasuk juga 4K menggunakan AI.

Oleh kerana tetapan ini fungsi utamanya untuk mempertingkatkan resolusi, tetapan ini hanya boleh digunakan apabila anda menggunakan monitor ataupun TV yang menyokong resolusi 1440p atau 2160p sahaja, jika anda menggunakan paparan dengan resolusi 1080p, ia tidak boleh digunakan. Saya ada mencuba di permainan seperti Bloodborne, gambar kelihatan lebih tajam akan tetapi hanya jika dilihat secara teliti. Ia bukanlah sebaik jika permainan itu hadir dengan versi khusus untuk PS5 dan kadar kelancaran masih terhad seperti tetapan asal.
Prestasi Permainan
Semasa dilancarkan, SIE telah mengumumkan lebih 50 permainan ditambah-baik untuk menyokong PS5 Pro, daripada 50 permainan ini, saya menguji menggunakan tiga permainan iaitu Horizon: Zero Dawn Remastered, Marvel’s Spider-Man 2 dan juga Final Fantasy VII Rebirth.
Sebelum saya bercakap mengenai setiap permainan, sedikit rungutan, saya berharap yang SIE ataupun PlayStation mengeluarkan ‘arahan’ kepada pembangun untuk sekurang-kurangnya meletakkan apa yang boleh dijangkakan daripada tetapan berbeza di dalam permainan dengan lebih spesifik agar ia tidak mengelirukan dan lebih mudah untuk pemain membuat pilihan.
Berbalik kepada tiga permainan, bagi Horizon: Zero Dawn Remastered ia menggunakan pilihan tetapan yang sama dengan versi PS5, iaitu “Favor Graphics”, “Balanced”, dan “Favor Performance” tetapi di PS5 Pro setiap tetapan tersebut disertakan tambahan perkataan “Pro”. Selain berkongsi nama, ia juga berkongsi had kelancaran yang sama iaitu 30FPS, 40FPS dan 60FPS, cuma apabila dimainkan di PS5 Pro setiap tetapan ini membawa kualiti grafik yang lebih baik berbanding PS5, dengan ini mungkin kali seberapa saya sudah bermain permainan ini, dapat mengalaminya dengan pengalaman sebaik ini membuatkan saya mengatakan yang versi Remastered ini perlu untuk PS5 Pro.


Bagi Marvel’s Spider-Man 2 pula, ia juga menyertakan tetapan yang sama dengan versi PS5 tetapi dengan jenama Pro di belakang iaitu “Fidelity Pro” dan “Performance Pro”, bagi mudah untuk menggambarkan kelebihan yang di bawa oleh PS5 Pro, Fidelity di PS5 membawa kualiti grafik yang terbaik bagi permainan ini, tetapi ia terhad kepada kelancaran 30FPS, namun kualiti yang sama digunakan untuk “Performance Pro” yang dimainkan secara 60FPS. Manakala “Fidelity Pro” memberikan kualiti grafik yang lebih baik terutama dengan penggunaan Ray Tracing yang lebih pelbagai dan kadar kelancaran terhad kepada 30FPS. Anda boleh mengubah beberapa tetapan untuk mempertingkatkan kelancaran tetapi ia tidak akan mencapai “Performance Pro”


Final Fantasy VII Rebirth mengambil langkah yang sedikit berbeza dengan dua permainan sebelum ini, berbanding menawarkan tetapan yang sama tetapi versi Pro, Rebirth sebaliknya menyertakan satu tetapan yang khusus untuk PS5 Pro sahaja iaitu Versatility. Mod sebelum ini masih disokong seperti Graphic dan Performance yang memberikan kelancaran yang lebih stabil, tetapi Versatility benar-benar memperlihatkan kebolehan PS5 Pro dan penggunaan PSSR dengan menyasarkan resolusi 4K tetapi terus dapat dimainkan dengan kadar kelancaran 60FPS. Jika anda membaca ulasan saya untuk permainan ini, sepanjang ulasan saya menggunakan tetapan Graphic kerana kualiti grafik yang lebih baik, melalui Versatility saya boleh katakan grafik adalah lebih baik berbanding tetapan Graphic tetapi boleh dimainkan dengan lebih lancar.


Selain tiga permainan ini, terdapat juga penambah-baikkan bagi permainan seperti EA Sports FC 25 tetapi ia kelihatan terhad kepada kelancaran menu sahaja. Sesi bermain masih sama kerana kadar kelancaran masih terkunci kepada 60FPS. Jika ada penambahan yang lain saya mungkin tidak menyedarinya, tambahan lagi tatamain masih tertakluk kepada kualiti sambungan kepada pelayan dan bukan pemprosesan di konsol sahaja.
Ke Arah Era Digital
Ia juga kini hadir dengan storan lalai sebesar 2TB sebagai ganti, ia tidak menyertakan pemacu cakera. Benar, pemacu cakera boleh dibeli secara berasingan akan tetapi melalui penawaran ini saya boleh katakan yang ia menggambarkan sasaran PlayStation untuk memberi fokus kepada penawaran secara digital. Ini tidak mengejutkan kerana jika melihat laporan kewangan Sony, nisbah pembelian permainan digital dan fizikal sentiasa lebih tinggi untuk digital.


Sejak daripada PS5 yang pertama lagi saya sudah membeli versi Digital, dan kemudian beralih kepada PS5 Slim saya juga mendapatkan yang digital oleh itu PS5 Pro tidak mempunyai pembaca cakera bukan masalah untuk saya, dan secara jujur-nya saya tidak memiliki walaupun satu permainan fizikal. Namun, berbeza bagi anda lebih menyukai versi fizikal, dan jika anda membeli sekarang, koleksi permainan fizikal anda tidak boleh dimainkan, ia merupakan satu masalah yang agak menjengkelkan. Benar, pemacu boleh dibeli secara berasingan, tetapi seperti mana berlaku ketika pelancaran awal PS5, pemacu sukar untuk dibeli kerana kekurangan stok.
Oleh itu, walaupun kita mungkin di dalam fasa peralihan untuk memfokuskan kepada permainan digital, akan tetapi tidak boleh dilupakan yang masih ramai sekadar bermain secara fizikal atau mempunyai koleksi permainan fizikal, namun Sony sekurang-kurangnya perlu memudahkan untuk pemilik PS5 Pro mendapatkan pemacu, ataupun ditawarkan secara berkas pada masa hadapan.
DNA Slim Tetapi Pro
PS5 Pro hadir dengan rekaan yang agak sama dengan dengan PS5 Slim, boleh dikatakan berkongsi DNA rekaan yang sama, saiz juga tidak jauh berbeza dengan PS5 Pro hanya kelihatan sedikit lebih tinggi dan berat juga mungkin sekitar 100 gram sahaja berbeza yang membuatkan rekaan PS5 Pro boleh dikatakan sangat mengagumkan, atau kita mungkin boleh berharap PS5 Slim yang lebih Slim? Oleh kerana mempunyai rekaan yang sama, Cover boleh menggunakan yang sama dengan PS5 Slim tetapi bahagian bawah sahaja, manakala bahagian atas tidak boleh bertukar ganti dan perlu menantikan Sony hadir dengan Cover khusus untuk PS5 Pro.


Seperti PS5 Slim juga, di dalam kotak ia tidak hadir dengan penegak untuk meletakkan secara menegak, dan perlu dibeli secara berasingan, tetapi masih ada penegak plastik untuk meletakkan secara melintang. Ia sedikit mengecewakan akan tetapi dengan konsol yang tidak bertambah besar saiznya, bahkan lebih kecil berbanding konsol PS5 yang asal, ia tidak terlalu menjadi masalah untuk meletakkan secara melintang sekurang-kurangnya buat sementara waktu.
Dengan rekaan kecil ini, saya mempunyai sedikit kekhuatiran yang ia akan mempunyai masalah pemanasan seperti yang saya hadapi dengan PS5 Slim, akan tetapi hampir sebulan saya menggunakannya termasuk juga untuk satu tempoh yang lama, ia tidak mempunyai masalah dan tahap suhu adalah seperti yang kebiasaan untuk konsol.
Kesimpulan
Akhir kata, PS5 Pro bukanlah satu lompatan teknologi yang besar di dalam penawaran konsol, namun ia adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan kerana sepanjang generasi konsol ini, pemain yang menggunakan PS5 atau PS5 Slim akan sentiasa lebih ramai berbanding PS5 Pro. Namun, pengenalan teknologi PSSR benar-benar membawa satu perkara yang mengujakan untuk melihat apa yang boleh dilakukan oleh pembangun. Walaupun dengan jumlah sample yang kecil, tetapi sudah ada beberapa permainan yang benar-benar mengambil peluang teknologi ini seperti Final Fantasy VII Rebirth.


Tiadanya pemacu cakera bukan masalah yang besar bagi saya secara peribadi akan tetapi tidak semestinya bukan satu masalah untuk orang lain, walaupun disertakan dengan storan 2TB tetapi saya merasakan Sony perlu melakukan sesuatu agar pemain yang memiliki PS5 Pro dan inginkan pemacu cakera boleh dapatkannya dengan tanpa sebarang masalah terutama bagi yang secara eksklusifnya, bermain permainan secara fizikal ia akan menjadi satu halangan untuk mereka bermain.
Bagi menjawab persoalan yang saya ajukan di perenggan pertama, PS5 Pro menyertakan penawaran yang menarik dan mengujakan untuk masa depan yang menjadikan pembayaran yang tinggi ini berbaloi, tetapi kekurangan yang dibawa seperti pemacu cakera dan bukan satu lompatan teknologi yang besar masih membuatkan PS5 Slim mempunyai nisbah penawaran dan harga yang lebih baik berbanding PS5 Pro, namun jika anda melakukan pembelian PS5 Pro saya tidak merasakan anda akan menyesal.